SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Saturday, February 7, 2009

Bandau 1960an dari kacamata kyro@akibaragon

Assalamu alaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan bloggers SAM dan para pembaca budiman,diharap semuanya sentiasa bahagia dan ceria. Kalau Tandek di tahun 60an dijadikan pekan penghubung ke pekan-pekan utama di Sabah, Bandau pula dijadikan pusat pentadbiran dimana sebuah bangunan pejabat daerah telah didirikan di pekan Bandau sejak zaman pemerintahan British lagi.Bangunan ini memang agak kecil jika dibandingkan dengan bangunan pejabat Majlis Daerah yang ada sekarang. Bangunan ini di perbuat daripada kayu, mempunyai tiang dengan aras ketinggian lantai lebih kurang empat kaki dari tanah.Berwarna putih dan mempunyai tingkap berbingkai kayu juga berwarna putih.Atap bangunan ini pula diperbuat daripada bilahan kulit kayu yang disusun kemas sepertimana roof tiles yang kita gunakan hari ini.Warna atap ini dikekalkan seperti warna asal kulit kayu. Bentuk bangunan ini seperti Rumah Limas iaitu bentuk rumah tradisi melayu Tawau zaman dulu.Terdapat sebuah pintu besar serta tangga dibahagian hadapan bangunan ini sebagai pintu masuk utama.Didalam bangunan inilah ditempatkan Pejabat Pos, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Tanah, bilik pejabat Pegawai Daerah, bilik pejabat CDO (community development officer) atau pada hari ini dikenali sebagai PKR (Pemimpin Kemajuan Rakyat) kalau tidak silap saya dan bilik pejabat Ketua Anak Negeri atau Native Chief. Terdapat juga sebuah bilik berukuran sekitar 20' x 20' yang dijadikan bilik mesyuarat dan sesekali digunakan sebagai dewan perbicaraan mahkamah anak negeri. Pejabat Pos, Jabatan Tanah, Jabatan Pendaftaran, bilik pejabat Pegawai Daerah dan bilik mesyuarat terletak dibahagian hadapan bangunan ini. Manakala dibahagian belakang bangunan ini pula ditempatkan bilik pejabat CDO dan Native Chief yang mempunyai tangga dan pintu masuk berasingan disamping sebuah pintu kecil dibahagian tengah bangunan sebagai akses untuk masuk ke ruang utama.Terdapat sebuah kaki lima yang agak luas dibahagian luar pejabat CDO dan Native Chief ini.Kaki lima ini berfungsi sebagai ruang menunggu bagi orang ramai yang datang berurusan dengan CDO atau Native Chief dimana 2 buah bangku panjang disediakan. Mungkin ada yang tertanya-tanya...macamanalah si kyro@akibaragon ini tau betul selok-belok pejabat ini...sedangkan dia sendiri masih kecil waktu itu ? Sebenarnya hampir setiap bulan saya datang ke pejabat ini mengikuti bapa saya untuk mengambil gaji.Lagipun Native Chief pada masa itu adalah datuk saudara saya yang bernama Haji Jamal atau lebih dikenali dikalangan cucu-cucunya termasuk saya sebagai Nenek Jamari manakala CDO pada masa itu pula adalah pakcik saya sendiri merangkap menantu kepada Haji Jamal iaitu Haji Madinah Unggut.Jadi tak hairanlah jika dikatakan bahawa saya agak bebas keluar masuk pejabat tersebut. Pekan Bandau waktu itu hanya mempunyai 2 deretan kedai yang diperbuat daripada kayu serta mempunyai tiang dimana aras lantainya tinggi sekitar 4' dari tanah.Terdapat lebih kurang 15 buah pintu kedai yang dimiliki oleh orang-orang tionghua yang menjalankan perniagaan runcit dan kedai kopi.Namun begitu saya amat berbangga kerana diantara 15 buah pintu kedai itu terselit sebuah kedai kopi milik seorang bumiputra melayu banjar iaitu Encik Ismail Abdul Rashid.Kedai kopi beliau ini terkenal hingga ke hari ini sebagai Restoran Ismali. Memandangkan ayah kepada Encik Ismail iaitu Encik Abdul Rashid Pintik adalah keluarga bapa saya serta teman merantau dari Tawau ke Bandau,maka setiap bulan selepas mengambil gaji di pejabat daerah Bandau, bapa akan mengajak saya singgah di Restoran Ismali atau ke rumah Pakcik Abdul Rashid yang terletak berhampiran masjid Bandau untuk bersilaturahmi. Selain Pakcik Abdul Rashid ada seorang lagi rakan bapa saya yang sama-sama merantau dari Tawau ke Bandau iaitu Encik Sulaiman yang menjalankan perkhidmatan menggunting rambut atau barber.Kalau di Tandek terdapat sebuah salon rambut untuk wanita didalam sebuah rumah, Pakcik Sulaiman pula menjalankan perniagaan kedai gunting rambut ini dibawah sepohon pokok yang rendang.Beliau hanya merentangkan sehelai kain yang dijadikan kemah sebagai tempat berlindung dari panahan matahari dan sebuah bangku tempat pelanggannya duduk sementara rambut mereka digunting. Disinilah bapa saya akan menggunting rambut bersama pelanggan-pelanggan lain.Sambil menunggu giliran, mereka akan duduk berbual-bual dibawah pokok ini.Tidak seorang pun diantara mereka ini yang merungut kerana lambat atau panas.Begitu damai dan harmonis suasana.Saya melihat orang ramai tidak kira bangsa mahupun agama saling menghormati dan bersahabat baik.Saya sangat kagum dengan cara orang dulu-dulu membawa diri.Begitu tinggi nilai budi pekerti mereka. Seperti juga Tandek, pekan Bandau terletak di tepi sungai.Mungkin kerana kedudukan geografinya yang berhampiran dengan Teluk Marudu maka tempat ini dipilih untuk dijadikan pekan.Suatu masa dahulu Teluk Marudu adalah merupakan tempat kapal-kapal dagang berlabuh untuk berlindung daripada ribut dan ombak besar.Malah pernah terjadi peristiwa dimana sebuah kapal milik datuk saya Kee Kim Swee @ Kee Abdullah (ayah kepada bapa saya) yang membawa barang-barang dagangan telah tenggelam di Teluk Marudu sewaktu dalam pelayaran ke Sandakan sekitar tahun 1880an.Walaupun Teluk Marudu tidak dijadikan pelabuhan tetapi ia tetap menjadi pilihan para pedagang untuk berlabuh sementara sebelum meneruskan pelayaran ke Sandakan. Selain 2 deretan kedai, terdapat sebuah dispensari, sekolah rendah GPS Bandau dan masjid di pekan ini. Hanya di penghujung tahun 60an dan setelah adanya jalan raya yang menghubungkan Bandau, Kota Belud dan Jesselton barulah bertambah bangunan kedai di pekan ini.Pejabat Penerangan juga didirikan berhampiran bangunan pejabat daerah cuma ianya lebih kecil dan tiangnya lebih tinggi mungkin sekitar lapan kaki. Kebanyakan bangunan yang didirikan di pekan Bandau dan Tandek mempunyai tiang dengan aras lantai sekurang-kurangnya 4' dari tanah.Mungkin kerana kedua-dua pekan ini sering dilanda banjir.Alat perhubungan atau telekomunikasi yang digunakan pada waktu itu pula ialah telegraph.Selain di pejabat daerah Bandau sebuah alat telegraph ini juga diletakkan di dispensari Tandek dan ia lebih banyak digunakan untuk hal-hal kecemasan. Dengan adanya jalan raya dan orang ramai mula memilih kenderaan darat untuk berpergian, pekan Bandau semakin 'hidup' manakala pekan Tandek pula bertukar suram.Dari pemerhatian saya arus pembangunan yang begitu deras telah secara tidak langsung meminggirkan beberapa pekan yang 'terkeluar' dari alur aliran arus ini seperti Kudat dan Tandek, kerana melalui jalan darat orang ramai boleh terus ke Jesselton dari pekan Bandau tanpa perlu ke Kudat terlebih dahulu.Akhirnya perkhidmatan 'kapal laut' di Tandek dan kapal terbang di Kudat terpaksa dihentikan. Bagaimana pun ini bukanlah sesuatu yang perlu dikesalkan kerana pekan-pekan ini masih boleh dihidupkan semula.Sama-samalah kita fikirkan caranya. Sehingga berjumpa lagi di entri yang akan datang.....salaaammmmm.......

4 comments:

ILLIE said...

terima kasih atas entri nostalgia ini..sekurang-kurangnya generasi muda kini akan mengetahui sejarah pekan bandau yang sekarang ini tidak wujud lagi....

Carl S. Adun said...

Masih sempat melihat dan berlegar-legar di Pekan Tandek sekitar tahun 1977 setelah berpindah dari Tambunan. Dulu aura pekan Tandek kuat; khususnya ketika masih di siring sungai Tandek & mi sup si "Kimin"...sekarang di kedai baru tu macam suram ja...

ILLIE said...

siapa2 bulih buat entry pasal sup Kimin?..

Little Mike said...

susah tu mo buat entry pasal sup si kimin. boleh rasa dalam naluri ja tapi tidak dapat luahkan dalam kata2.. hehe demikian la 'saktinya' sup si kimin nie... hehe

semasa kryo mengimbau kota marudu dan tandek ini, saya belum lahir lagi... tapi kesannya masih ada di pekan lama...