SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, February 17, 2009

Penjawat Awam Dalam Dilema?

Oleh, Umar al-Longobi http://abuainulyasin.wordpress.com/
Semalam saya telah menghadiri satu mesyuarat berkenaan dengan Penyelarasan Projek RMK-10 Peringkat Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh YB. Dato` SUK Kelantan. Yang dijemput adalah semua wakil jabatan peringkat persekutuan dan negeri. Apa yang menariknya adalah, ahli mesyuarat terkasima seketika apabila pengerusi membuka mesyuarat dengan nada tegas mengatakan, "... kita jangan main politik. Kita bukan orang politik. Kita bekerja untuk rakyat demi mencapai matlamat DEB iaitu perpaduan kaum..."
Saudara, benarkah wujud perbezaan di antara Kerajaan (Cth: Kerajaan Malaysia, Kerajaan Indonesia dll.) dan Parti Pemerintah (Cth: BN-Persekutuan, PR-Selangor dll)? Di sini terdapat pelbagai pendapat dan timbul banyak persoalan. Realiti yang berlaku sekarang adalah, seolah-olah tidak wujud langsung beda di antara dua perkataan ini. Kerajaan adalah Parti Pemerintah dan Parti Pemerintah adalah Kerajaan. Kekaburan yang perlu dirungkai adalah, benarkah? Saya serahkan gelanggang perbincangan ini kepada pembaca SAM yang penuh bijaksana untuk memperhalusi tanda tanya ini secara ilmiah, tanpa dipengaruhi oleh rentapan emosi politik kepartian. Lilitan dilema ini perlu dilonggarkan agar tidak wujud kekeliruan di kalangan masyarakat, khususnya penjawat-penjawat awam. Jikalau ini tidak usai, natijahnya akan wujudlah prasangka-prasangka buruk sesama kita. Bobrok keharmonian. Akan kedengaranlah label seperti `anti kerajaan`, `tidak berterima kasih kepada kerajaan`, `penyalahgunaan aset awam untuk kegunaan parti/peribadi` dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.
Sebagai seorang penjawat awam dan warganegara Malaysia, pada saya kedua-dua perkataan itu memang saling berkait di antara satu sama lain. Akan tetapi, ianya sungguh berbeda umpama minyak dengan air. Ya, memang benar untuk membentuk sebuah kerajaan dalam negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan ini sudah digariskan bahawa mesti melalui pilihanraya di bawah kendalian SPR. Ekoran itu, lahirlah parti-parti politik (termasuk yang tidak berparti/bebas) bagi menyempurnakan pertandingan di dalam pilihanraya tersebut. Yang itu, tiada siapa boleh menafikan.
Bagaimanapun, apabila sesebuah parti itu mencapai kemenangan yang membolehkan mereka membentuk kerajaan, mereka perlulah tidak mencapur adukkan kepentingan parti di dalam urus tadbir sesebuah kerajaan. Walau apapun parti mereka, apabila mereka dalam kerajaan secara automatik mereka harus, mesti dan wajib meneutralkan diri. Sebab, kerajaan adalah hak semua rakyat tanpa mengira anutan politik. Sebagai kerajaan walau dari parti manapun, walau di negara manapun sepatutnya berkhidmat kepada rakyat seadilnya tanpa ada bibit prejudis, diskriminasi dan pengabaian. Gaji dan segala keistimewaan yang mereka perolehi adalah daripada `wang rakyat`, bukan wang parti. Justeru, apabila menggunakan `wang rakyat` menjadi kewajiban mereka mengembalikan hak rakyat di tempat yang sepatutnya.
Oleh itu, mungkin dapat disimpulkan bahawa Kerajaan dan Parti Pemerintah adalah dua perkara yang amat berbeza, bagi anda bagaimana?. Sebagai penjawat awam, sudah menjadi kewajiban untuk mempertahankan kerajaan. Kerana kita berkhidmat kepada kerajaan walau parti apapun yang menang. Parti boleh bertukar ganti. Tapi kerajaan hanya satu iaitu Kerajaan Malaysia. Amatlah malang dan menyedihkan sekiranya ada penjawat awam yang menggunakan jawatan yang 'diberikan' rakyat kepada mereka untuk menghentam parti yang dibencinya dan menyanjung parti yang dianggotainya.
Dengan hujah, mereka mempertahankan kerajaan. Sedangkan apa yang dibicarakannya adalah wacana dari parti yang dianggotainya, berdasarkan faham dan fikir senget bahawa kerajaan dan parti itu adalah satu. Ini silap! Sebenarnya, mereka menggunakan badan kerajaan untuk mempromosikan parti mereka. Bagi saya mudah, kalau mahu tunjuk hebat sangat lepaskan jawatan sebagai penjawat awam itu dulu. Kemudian, menyalaklah sehingga bergegar Gunung Kinabalu sekalipun, tidak ada orang yang kisah bah... Jawatan itu 'pemberian' rakyat dan rakyat bukan semuanya separti dengan kita. Mesti NEUTRAL!
Lainlah kalau kita wakil rakyat. Kalau tiada komitmen dengan mana-mana badan kerajaan, berjuanglah 24 jam sehari untuk parti. Jika kebetulan ada memegang potfolio dalam kerajaan, jangan rojakkan urusan parti dan kerajaan. Tapi, sebagai penjawat awam tidak usahlah kita berlagak seperti wakil rakyat. Bukan bermakna penjawat awam perlu tutup mata dan telinga terhadap politik. Tapi, jangan keliru dan salah faham. Jangan menganggap kerajaan itu adalah parti. Jangan cabuli badan kerajaan untuk mencapai cita-cita parti politik masing-masing. Kalau ingin bersuara, teruskan. Walau apa parti yang kita perjuangkan. Tapi jangan sama sekali, membawa jawatan dalam kerajaan sebagai 'pelaris' parti kita. Sebelum kita dapat kesimpulan yang tuntas, mungkin pembaca sekalian ada pendapat yang lebih baik. Silakan...
Possibly related posts:

8 comments:

ison said...

Mantap. Bukan pak turut kata sanguru, tapi kalau memang benar, apa mau ulas lagi. Ngamlah kasi sedar 'diorang2' yang belum bangun2 ni.

SANGURU said...

SYA PUN TURUT DR NELSON, DAN BUKAN JUGA PAK TURUT.
Entry yg sgt bagus kerana mengajak pembca berfikir dan memperbaiki sistem politik/kerajaan. Umpama sistem komputer, mmg perlu upgrading bah...untuk kebaikan siapapun parti yang jadi kerajaan. Untuk kebaikan rakyat dan negara.

JMimie Mabin said...
This comment has been removed by the author.
JMimie Mabin said...

Ya..sudah sepatutnya penjawat2 awam mesti bersikap NEUTRAL!
Malangnya, senario pengurusan/penampilan penjawat2 awam hari ini semakin tunggang langgang kerana sikap 'mabuk' politik menjadi-jadi leluasanya. Contohnya, dalam proses memohon (hingga mendapat kelulusan)pekerjaan mahupun kemasukan ke pengajian tinggi di kalangan generasi muda hari ini..jangan cuba2 bersaing kalau indada 'urang dalam'. Layak tidak layak perkara no.2. Siapa yg paling byk kenal2 dan rapat2 org politik..ehem..sinang2 bah tembus kalau sekadar melalui 'screening process' yg dikendalikan oleh penjawat2 awam. Manakah tidak kalau pemohon datang bersama sokongan2/rekomendasi kuat dari orang2 politik...apalagi otomatik buli kasi lulus..sementara pemohon yg mempunyai qualification yg lebih baik terpaksa diketepikan kerana dia bukan siapa2 dengan si A, B, C..bla..bla. Inilah antara pengaruh dan sentimen politik yg sering menghumban penjawat2 awam ke dalam dilemma yg akhirnya mencalarkan--SANGAT MENCALARKAN--profesion dan sikap jujur amanah dalam diri masing-masing..

Hee...entahlah relevan ka tidak ni ulasan sya ni Umar dgn entry ko..tiba2 saja limpas dlm otak sya hal ini..mungkin bagus juga kalau ko dapat buat satu lagi entry ttg ini..atau kawan2 SAM lain juga sangat dialu-alukan..just an opinion.

Umar al-Longobi said...

dr. nellson & dr. rakyat (sanguru),

terima kasih. buat apa mau ulas lagikan, lagipun idea ini adalah drp dr. berdua juga, hehe... dlm diam, sy byk belajar drp kalian berdua. tq sifu kimaragang...



mimie,

pendapat anda memang relevan. tidak sepatutnya berlaku begitu. boleh rosak bangsa dan negara. sebenarnya, sy pun pernah mengalami apa yg mimie gambarkan. mentang2 yg seorang adik YB, dia pula yg dapat. padahal bilang urang, tiada putungan langsung, hehe! tapi, nda apalah bah. kita berharap masalah ini belum terlambat utk dirobah.

Little Mike said...

Setuju dengan Umar.

Satu kupasan yang mantap! Parti menang membentuk kerajaan. Bila kerajaan terbentuk, ia bukan lagi membawa bentuk perjuangan kepartian, tetapi masa depan rakyat dan jangka hayat negara.

Penjawat AWAM perlu bersikap NEUTRAL kerana mereka bukan lantikan berkhidmat untuk parti tapi kepada kerajaan yang telah diamanahkan untuk menjaga rakyat dan segala kepentingan negara...

Umar al-Longobi said...
This comment has been removed by the author.
Umar al-Longobi said...

tq LM, sy bersetuju dgn sdr. sy pun baru mengetahui ttg perbezaan ini sewaktu tahun akhir di IPT. tulisan ini bukan hanya ditujukan kpd BN, tapi juga kpd PR dan yg sewaktu dgnnya. bagaimanapun, sy masih yakin bhw ramai lagi yg keliru atau buat2 tak tahu ttg perkara ini. tidak kurang juga, ada golongan yg berkepentingan mengambil kesempatan atas kekeliruan ini utk mengenyangkan `perut` sendiri dan pd masa sama menaburkan pasir ke dalam periuk rakyat. apapun, jika kita istiqamah sy cukup optimis ia masih boleh diperbaiki.