SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, February 3, 2009

Coret Kimaragang: Menangani Konflik Kepentingan Sosiologi Bumi Marudu

(Sudah lama tidak menulis. Bukan tidak mahu menulis tapi demi untuk menghormati permintaan tekong agar memberikan tempat kepada entri pemilihan logo.) SALAM SAM!. Tahun baru, ilatizam yang baru dengan harapan dapat melihat Tandek dan seluruh kawasan Kota Marudu jika bukan secara drastik, dimaksimakan secara perlahan-lahan dalam semua segi yang memangkin pemupukan kemajuan dan pembangunan kawasan, pengurusan etika dan budaya kerja termasuk menyoroti aplikasi dan perspektif politik agar selari dengan aspirasi dan kehendak rakyat . Kita boleh sahaja beranggapan secara santai bahawa tahun baru sekadar satu peralihan waktu semata-mata tanpa melihat bahawa ada dimensi lain yang lebih besar malah lebih mencabar. Tugas berat menanti menuntut setiap satu individu agar lebih fokus dan siaga dalam menangani konflik tempatan iaitu bagaimana mengurus kepentingan sosial dalam mentransformasikan masyarakat kepada satu kelompok komuniti yang lebih berinisiatif, dinamik dan kompetetif. Ramai di antara kita yang mengabaikan makna kepentingan sosiologis dalam menghadapi konflik tempatan, nasional dan era globalisasi. Ketika Kota Marudu secara keseluruhannya terkapai-kapai, lesu zaman berzaman, antara suara bangsa yang tidak didengari dan kurang diendahkan, masyarakat dibebankan oleh keretakan pengukuhan jati diri dek sergahan rantaian isu sosial seperti penyimpangan moral, ketidakseimbangan sosio ekonomi, kemuraman dalam aspirasi politik dan beberapa masalah lain yang merencat nadi Kota Marudu. Jika diperhatikan secara berhemah, timbulnya permasalahan ini adalah akibat bersumberkan daripada kegagalan masyarakat menyedari peri kepentingannya akan tanggungjawab sosial diurus secara sepakat dan diusahakan secara bersama. Tidak dapat tidak, Kota Marudu sebenarnya tidak dapat melarikan diri daripada konflik dalam kehidupan bermasyarakat. Makna sosiologis itu sendiri membawa pengertian nilai hubungan kemasyarakatan. Sebarang kelongaran dan kegagalan dalam menghayati nilai kemanusiaan membawa kepada konflik kepentingan. Konflik kepentingan inilah yang harus diberikan perhatian, dikelola dengan mempunyai tujuan khusus yang murni. Yang ingin saya sentuh iaitu sedikit bahagiannya daripada kepentingan sosiologi ialah prinsip tanggungjawab dan pengendalian diri. Secara sosiologisnya, kepentingan tersebut berhubungkait dengan kehidupan manusia iaitu bermasyarakat dan keseimbangan jati diri. Sebagai contoh saya khususkan perhatian kepada Kota Marudu, dalam ketidakseimbangan sosial ekonomi misalnya, terjadi jurang besar seolah-olah wujud 'pelbagai bentuk lapisan masyarakat' yang dibayangi kesukaran dalam upaya mereka mengakses segala kemudahan ekonomi. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada yang kais pagi makan untuk petang atau kais pagi dan petang, makan untuk keesokan harinya. Yang berhasrat memulakan perniagaan kecil-kecilan umpamanya menjual sayur-mayur, sekadar mampu menyelit antara ruang pejalan kaki tanpa perhatian prasarana yang berkualiti. Lapisan 'atasan' selesa dengan kuasa mengakses fasiliti ekonomi. Lapisan 'bawahan' bertatih-tatih. Hanya slogan 'berusahalah jika mahu maju' menjadi tali benang di antara orang yang berkepentingan dan dengan masyarakat 'bawahan' tapi tindividu 'besar' ini gagal memacu karisma dan kredebiliti kepimpinan dalam menyediakan semua faktor peluang dan ruang untuk dimanafaatkan sejajar dengan semangat rakyat untuk membangunkan hajat slogan 'berusaha jika ingin maju'. Umumnya, memang sukar untuk mencapai keseimbangan kerana wujud perbezaan kepentingan antara masyarakat. Usaha untuk mengatasi jurang ini kekal menuju 'jalan mati' jika terus berlakunya konflik kepentingan yang bersifat individualistik. Izinkan saya mendampingkan kepentingan sosiologi dengan fungsi politik kerana politik juga satu wadah besar dalam menganjak kebolehupayaan menyeimbangi segala graf sosial yang tidak sekata. Kepada mereka yang telah meng'hamba'kan dirinya kepada perjuangan politik membela rakyat, kikiskan sikap mementingkan diri sendiri dan 'jebak'kan sikap lebih cenderung menjadi makhluk sosial. Politik perlukan cita-cita besar yang bertunjangkan keikhlasan, kerendahan hati, kemurnian akal dan rohani dan upaya kerja yang lebih serius. Antara yang boleh dilakukan ialah menyemai dalam diri akan kesedaran kolektif yang bermaksud jika anda 'politician' anda perlu mempunyai inspirasi terhadap diri sendiri, membentuk jati diri, pembawaan diri, kemudian menganjakkan sifat insaf dan rendah hati, membentuk satu kekuatan karekter yang boleh mempengaruhi individu lain lantas membentuk sekumpulan masyarakat yang dapat merefleksikan tuntutan memajukan bangsa. Proses ini perlukan pembentukan kesedaran yang dimulai dengan memahami, merasakan, dan mempraktikan prinsip yang disepakati bersama. Dalam masyarakat majmuk, berbilang kaum, bangsa dan agama, kesedaran kolektif ini penting dan menjadi penentu intergriti sosial. Meskipun terdapat perbezaan dalam masyarakat sama ada dalam mengakses segala kemudahan, menginterpretasikan politik dan sosial, tetapi perlu ada kesatuan dan keterikatan. Sebagai contoh, ahli politik perlu menyatukan dirinya dengan aspirasi rakyat, terikat dengan cita-cita masa depan masyarakat kerana sasaran agenda perjuangan politiknya ialah harus membangunkan kawasan yang telah diamanahkan, menyediakan fasiliti, dimanafaatkan ruang dan membolehkan rakyat keluar daripada kemelut kehidupan 'menerokah' masa depan yang lebih luas dan terjamin. Jika pemimpin rakyat hanya mementingkan kepentingan material/individualistik, kepimpinan anda menimbulkan konflik. Konflik mencetuskan keberantakan sosial dan permasalahan akan menjadi lebih kompleks menjerat komuniti kepada kacau bilau peradaban bangsa. Apakah sumbangan anda sebagai individu sosial?

3 comments:

Carl S. Adun said...

A piece of good academic writing - provocative issue of our - SOCIAL OBLIGATION - something that should be pondered upon & as a starting point to establish a socioculture pragmatisme and undrstanding among the various ethnics in K Marudu - towards the improvement of understanding of common & shared values.

Nazri Aldusuni said...

buli tahan awasi ..

SANGURU said...

Seperti biasa, tulisan sdr sarat dengan saranan dan pandangan bernas. teruskan mencoret.

tentang sumbangan, hmm...adalah sikit. malu nak tayang gambar...