SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Wednesday, March 25, 2009

Mempermatakan Bangsa: Teknik Membujuk.

Apa khabar pengunjung SAM sekalian? Didoakan semoga semuanya gembira, sihat dan yang paling penting sentiasa taat kepada perintah Tuhan. Selamat bertemu kembali di dalam ruangan Permata Bangsa. Pelbagai takrifan waimah tafsiran yang boleh kita usulkan terhadap `Permata Bangsa` ini. Tapi, sebarang pendefinisian pastinya tidak akan lekang daripada perkataan `berharga`. Apabila menyebut perkataan `permata` kita pasti tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan perkataan `berharga`. Justeru, di dalam mengemudikan ruangan ini izinkan saya berbicara apa sahaja yang berharga di dalam diri anak bangsa Kota Marudu serta bagaimana menggilap dan memanfaatkannya ke arah membina tamadun bangsa. Selain itu, mungkin sekelumit 'permata' di tempat-tempat lain sebagai iktibar. Moga-moga ada manfaatnya.
Pada kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan dengan salah satu teknik berkomunikasi. Saya memilih tajuk ini kerana, seni pengucapan yang hebat merupakan prasyarat yang tidak kurang pentingnya di dalam `mempermatakan` bangsa. Walau apa profesion kita, tanpa komunikasi kelangsungan hidup tidak akan berlaku. Bermula sebagai individu, ibubapa, petani, pelajar, penganggur, ahli perniagaan sehinggalah kepada pemimpin negara. Hatta, penternak haiwan pun perlu kepada 'komunikasi haiwan' di dalam menguruskan haiwan ternakannya. Makanya, kita perlu hadam setiap teknik komunikasi bagi menjamin keberkesanannya.
Barangkali juga, saya bukan orang yang selayaknya. Sebenarnya saya tidak mempunyai kepakaran yang baik di dalam bidang ini. Apa yang ingin saya hamparkan di sini adalah berdasarkan sedikit pengalaman saya sebagai debater UMS dan ilmu semasa berguru dengan seorang jurulatih yang pernah merangkul anugerah Pendebat Terbaik ASEAN. Baik, hakikatnya jikalau kita selongkar lebih dalam tentang teknik berkomunikasi ini nescaya kita akan menjumpai 1001 teknik. Bagaimanapun, cukuplah satu untuk hari ini. Iaitu, teknik membujuk.
Di dalam seni pengucapan, biasanya ada dua teknik penyampaian. Satu, membujuk. Kedua, mendesak. Membujuk yang dimaksudkan di sini adalah, pengucapan kita itu berlaku dalam suasana memujuk pendengar agar bersetuju dengan hujah kita. Situasinya lebih kurang dengan situasi seorang ayah memujuk anak perempuan kesayangannya supaya berhenti menangis. Seorang jejaka yang merayu pada teman wanitanya supaya dirinya diterima kembali. Dan, mungkin juga seorang jurujual yang sedang meyakinkan pelanggan supaya membeli produknya yang sudah berbulan-bulan tidak laku.
Teknik bujukan ini diterjemahkan melalui tiga medan. Iaitu, suara/intonasi, ayat dan memek muka. Suara/intonasi mestilah lebih berkonsepkan kelemah-lembutan (tapi, bukan macam maknyah ah... ha ha ha!). Lebih banyak rendah dan sedikit tinggi. Ayat, sebaik-baiknya kita memilih perkataan-perkataan yang sopan tapi berfakta dan kaya dengan perbendaharaan kata. Memek muka, senyum ketika bercakap itupun sudah memadai. Jikalau digali lagi, memek muka ini sememangnya memberikan impak yang besar kepada si pengucap dan pendengar. Cuba kita bandingkan cara Siti Nurhaliza menyanyi dengan penyanyi lain. Berbeda besar kan? Ya, anda betul. Salah satu kelebihan Siti adalah beliau pandai mengatur memek mukanya ketika menyanyi. Terutamanya, senyuman.
Teknik mendesak? Mudah saja, terbalikkan saja penjelasan saya berkenaan dengan teknik membujuk di atas. Ringkasnya, teknik ini adalah satu teknik yang amat berbahaya kepada para pengucap. Diri pengucap dan pendengar serta orang di sekelilingnya akan tertekan sepanjang masa. Ya, memang niat si pengucap tidak memaksa pendengar menerima hujahnya. Tapi, kesan daripada cara pengucapannya itu menyebabkan pendengar merasa dipaksa, didesak dan kadang-kadang dimarahi. Natijahnya, semua orang akan menjauhi kita.
Mungkin ada yang tertanya-tanya di luar sana, teknik mana satukah yang lebih baik adakah membujuk atau mendesak? Mesti ramai yang jawab membujuk kan. Sebenarnya bukan. Bagi saya teknik yang terbaik adalah apabila kita menggabungkan kedua-dua teknik ini di dalam satu acuan yang sesuai dan betul. Bagi menghasilkan satu pengucapan yang hebat, perlu ada unsur-unsur desakan dan bujukan. Nisbah di antara kedua-dua ini bergantung kepada suasana pengucapan dan latarbelakang pendengar. Kanak-kanak lain nisbahnya. Begitu juga dengan orang tua, penuntut universiti, ahli perniagaan, ahli politik dan lain-lain.
Bagaimanapun, pada umumnya bagi saya nisbah yang ideal adalah 80:20. Maksudnya, 80% teknik membujuk. Sementara 20% lagi teknik mendesak. Presiden Soekarno, Tun Mahathir, DS Anwar Ibrahim dan Datuk Salleh merupakan antara contoh yang baik kepada teknik yang saya jelaskan ini. Selamat mencuba!
PS: Saya telah menggunakan teknik ini di dalam 3 temuduga. Alhamdulillah, ketiga-tiganya berjaya. Mungkin entri ini berguna untuk para pelajar, penganggur dan sesiapa sahaja yang memerlukan.
PPS: Sumber gambar hiasan adalah daripada blog Sdr. Tompinai dengan sedikit ubahsuai.

No comments: