SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, April 7, 2009

Peralatan Casting "JALAK"

Peralatan Memancing Haruan @ Jalak
Kekili
Untuk memancing haruan, peralatan yang sesuai bergantung kepada keadaan tempat memancing dan saiz haruan yang berada disitu. Ditempat yang terbuka, penggunaan kekili baitcaster boleh digunakan seperti ditepi lombong atau tasik. Sekiranya haruan yang diburu ditempat yang bereba dan kawasan yang terhad seperti dipaya-paya, taliair, parit dan sungai dimana kawasan yang terhad, penggunaan kekili spinning adalah lebih baik.
Untuk kekili spinning, saiz yang sesuai untuk casting ialah antara siri 1000 ke 2000 dimana kekili ini bukan sahaja agak ringan tetapi cukup kekuatan drag untuk menahan kekuatan tarikan haruan. Reel yang ringan juga mengurangkan keletihan tangan daripada casting berulangkali
Joran
Panjang joran juga bergantung kepada keselesaan pemancing dan kawasan pemancingan. Secara amnya, joran sepanjang 6 kaki atau 6.5 kaki adalah memadai di dalam kekuatan medium (M) dan mempunyai aksi hujung yang pantas (fast action tip). Sekiranya saiz haruan agak besar dan kawasan yang banyak halangan/reba/teratai , joran dalam kelas medium heavy (MH)adalah sesuai digunakan
Tali
Untuk tali, jenis tali sulam atau braided adalah sesuai untuk memancing haruan. Walaubagaimanapun, ianya juga bergantung kepada keselesaan pemancing tersebut. Tali sulam lebih tahan geseran berbanding tali monofilament dan sekiranya gewang digunakan, ianya akan menyelam lebih dalam. Oleh kerana haruan lebih suka menyerang mangsanya dengan cara ambush, haruan lebih suka menyorok di reba, rumpair, bawah teratai atau tepi tebing yang dipenuhi dengan rumput/lalang dan tali sulam lebih sesuai digunakan. Kekuatan bergantung kepada saiz dan tempat. Secara amnya, tali sulam kekuatan 15lb sudah memadai. Dan sekiranya kita mampu mengawal larian haruan, kekuatan tali bolehlah diturunkan kepada 10, 8 atau 6lbs.
Daripada pengalaman saya di dalam penggunaan tali sulam untuk memancing haruan yang kebanyakkannya ditempat yang penuh rumpai/reba dan sebagainya, geseran tali adalah lebih antara jarak lebih kurang 2 kaki daripada gewang atau umpan. Oleh itu, dinasihatkan selalulah diperiksa bahagian ini terutamanya yang berkekuatan 10lbs kebawah. Untuk mengurangkan keadaan itu, kekuatan perambut yang lebih tinggi dari tali utama hendaklah digunakan. Sebagai contoh, sekiranya menggunakan tali sulam 6lbs, perambut tali sulam dalam kekuatan 10lbs bolehlah digunakan yang disambung secara Uni Knot atau membuat ikatan Bimini Twist daripada tali utama
Untuk peralatan, tidaklah dijuruskan kepada satu-satu jenama tetapi perkara diatas boleh menjadi guideline bagi para pemancing dan bergantung juga kepada budget yang ada.Kesesuaian peralatan memancing adalah penting bagi mengelakkan ikan terlepas dengan mudah.
Pendekatan gewang
Haruan adalah ikan yang paling mudah dijerat dengan gewang. Secara amnya, haruan akan menyambar apa sahaja benda yang bergerak. Sifat suka menyerang atau "ambush" menyebabkan haruan gemar mencari tempat dimana membolehkan haruan berlindung dan menyerang secara tiba-tiba. Rumpair, lumut, tunggul kayu atau apa sahaja struktur yang tenggelam akan menjadi tempat perlindungannya. Selain dari itu, haruan gemar merayau jauh apabila air menenggelamkkan sesuatu kawasan tempat tinggalnya untuk memburu.
Seperti ikan-ikan lain, haruan akan menyambar atas tiga perkara. Pertama, pada waktu haruan mencari makanan. Selalunya pada waktu awal pagi dan lewat petang dimana haruan memburu anak-anak ikan atau unggas lain yang hidup di air. Selalunya pada waktu ini agak mudah menjerat haruan. Kedua dikenali sebagai penyambaran tindakbalas atau "reaction strike". Selalunya berlaku apabila ada tindakbalas pergerakan gewang kepada haruan menyerupai diet makanannya. Selain dari itu, tindakbalas ini berlaku diatas sifat ingin tahu haruan terhadap benda yang bergerak berhampiran. Pada keadaan ini, persembahan dan permilihan gewang adalah penting terutama pada waktu tengahari dimana penyambaran haruan agak perlahan. Ketiga adalah disebabkan sifat "territorial" haruan yang menjaga wilayahnya dari haruan-haruan yang lain. Sekiranya ada unggas atau benda asing yang masuk kewilayahnya, benda itu akan diserang. Dalam hal ini, sekiranya haruan yang menjaga sesuatu tempat atau spot telah dipancing dan dikeluarkan, maka ada ikan haruan yang lain yang akan diganti dan tinggal di situ selang beberapa hari. Selain dari itu, sifat ibu haruan yang menjaga anaknya juga akan menyerang sesuatu dalam radius kawasan kawalannya.
Spinnerbaits
Antara kebanyakkan gewang yang biasa dan sinonim dengan pemancingan haruan ialah "spinnerbaits" ataupun lebih di kenali dengan nama janggut dikalangan pemancing. Banyak berita yang telah kita baca di majalah ataupun secara lisan mengenai kerberkesanan spinnerbaits ini kepada haruan. Ada banyak jenis spinnerbaits ini di pasaran, berbagai bentuk dan warna sehinggakan kita sendiri tidak tahu yang mana satu yang sesuai dengan lubuk haruan kita.
Antara spinnerbaits yang berada di pasaran. Secara pusingan jam dari kiri atas : Hart, Fina Spinbabe, Japanese Brand dan Booyah
Dari gambar diatas dapat dilihat pelbagai warna dan bentuk spinnerbaits di pasaran. Selain dari ini, ada juga "microspinnerbaits" dan "inline spinnerbaits" yang boleh digunakan untuk memancing haruan. Seperti di bawah.
Pemilihan Spinnerbaits
Spinnerbaits adalah salah satu gewang yang yang membolehkan pemancing mengewang dalam kawasan yang luas pada masa yang singkat. Walaupun spinnerbaits ini dianggap gewang yang paling senang digunakan, ada beberapa faktor yang mempengaruhi keberkesananya. Pemilihan warna dan saiz adalah penting walaupun ianya sumbangannya agak sedikit di dalam faktor keberkesanannya
Sekiranya keadaan air yang jernih, spinnerbaits bersaiz sekecil 1/8 oz boleh digunakan. Apabila keadan air agak keruh, spinnerbaits bersaiz besar (sehingga 1 oz) adalah pilihan yang sesuai. Saiz 3/8 oz dianggap sebagai saiz serbaguna untuk semua keadaan.
Untuk warna , terbahagi kepada dua: warna "skirt" dan "blade" (bilah kekipas). Untuk memudahkan kita memilih, bolehlah mengikut garis panduan yang mudah ini. Untuk hari cerah atau air jernih, skirt yang berwarna putih atau cerah sesuai digunakan. Untuk hari mendung atau air yang keruh (gelap), skirt yang berwarna kehitaman atau kebiruan adalah sesuai. Untuk pemilihan blade, blade yang berwarna "silver" (perak) adalah sesuai digunakan pada hari cerah atau air jernih manakala blade yang berwarna seperti "coppper" (tembaga) atau blade berwarna sesuai untuk hari mendung atau air yang keruh
Antara sistem yang terpenting dalam pemilihan spinnerbaits ialah bentuk blade atau kekipas. Blade memainkan peranan yang penting dalam prestasi spinnerbaits kerana ia menyumbang kepada jenis getaran "vibration", balikan cahaya "flash", daya apungan "lift" dan juga mempengaruhi kelajuan karauan
Blade jenis "Willow" dan "Colorado" adalah jenis blade spinnerbaits yang banyak dipasarkan di kedai-kedai pancing di Malaysia. Setiap jenis blade mempunyai sifat yang tersendiri
Blade jenis "Colorado" memberikan spinnerbaits kadar apungan yang tinggi kerana mempunyai bentuk yang bulat yang menolak air pada kadar maksimum. Oleh itu, spinnerbaits ini boleh bergerak pada air yang cetek berbanding dengan jenis blade yang lain. Blade ini juga menghasilkan getaran (vibration) yang lebih besar bila berputar didalam air yang boleh dikesan oleh ikan. Oleh itu spinnerbaits yang mempunyai blade colorado ini adalah sesuai didalam air keruh dimana penghilatan di dalam air adalah terhad
Hart spinnerbaits dilengkapi dengan dua blade jenis colorado
Bomber Minibushwaker juga dilengkapi dengan blade colorado tetapi saiz spinnerbaits yang kecil
Blade jenis "Willow" mempunyai bentuk yang lebih tirus dari Colorado. Rekabentuk ini memberikan banyak balikan cahaya (flash) tetapi kurang getaran (vibration) berbanding dengan Colorado. Blade jenis willow juga memberikan bayangan (silhouette) yang lebih panjang didalam air disebabkan bentuknya dan pusingan yang lebih cepat (tight rotation). Spinnerbaits ini juga boleh bergerak ditempat yang lebih dalam daripada yang lain. Sekiranya hendak digunakan di tempat yang cetek, kadar karauan hendaklah dibuat dengan lebih cepat. Spinnerbaits jenis Willow ini adalah berkesan pada air yang jernih dimana ikan menggunakan penglihatan sebagai derian utama.
Fina Spinababe menggunakan dua blade jenis willow yang berlainan saiz
Kombinasi kedua-dua jenis blade (willow/colorado) pada spinnerbaits adalah salah satu cara memaksimakan prestatsi spinnerbaits. Spinnerbaits jenis ini memberikan getaran dan balikan cahaya yang tinggi untuk merangsang ikan dengan lebih cepat dalam apa jua keadaan. Dengan menguji pelbagai cara dan konfigurasi, membolehkan kita mampu membangunkan spinnerbaits yang mengikut kehendak kita
Booyah spinnerbaits mempunyai kedua-dua jenis blade (Willow/Colorado) memberikan kelebihan daripada yang lain.
- Ehsan dari MALAYSIA FISHING NET FORUM -
Selebihnya akan saya share kan lagi lebih banyak info mengenai alat-alat memancing ataupun "casting" ini. Harap Info ini dapat memberikan penerangan permulaan kepada cara "casting" ini.

4 comments:

Little Mike said...

info yang sangat menarik! saya yang belum pernah memancing menggunakan joran berteknologi ini mcm agak2 boleh pula menjadi kaki pancing. pengalaman saja yang belum ada. hehe

Umar al-Longobi said...

bagus! info yg berguna khususnya yg belum tahu apa itu C&R..

Cakap Bisa said...

tuan. mana port badus di km aa? hehee

Cakap Bisa said...

jf x pakai ka tuan?