SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Saturday, May 23, 2009

Pendera No. 1 Dunia!

Saudara yang dimuliakan... di dalam terjemahan Kitab Mukhashafah Al-Qulub (Penenang Jiwa) karangan Imam Al-Ghazali, ada satu bab yang amat menarik perhatian saya. Bab 5 yang bertajuk "Memerangi Nafsu & Syaitan". Penulis itu ada menyebut dalam satu perenggan bahawa sesungguhnya Tuhan menciptakan makhluk ada tiga bahagian. Dia menjadikan malaikat hanya diberikan akal tanpa nafsu. Lalu Dia menjadikan haiwan yang dibekali nafsu tanpa akal. Dan, Tuhan juga menciptakan manusia dengan diberikan akal dan nafsu. Jika nafsu seseorang telah mengalahkan akalnya, maka haiwan lebih baik daripada dia. Namun barangsiapa menggunakan akal dan menundukkan nafsunya, tentulah dia lebih baik daripada malaikat.
Justeru, para pendera ini patut diletakkan di golongan mana? Jawapannya telah diberikan di dalam entri-entri berkaitan penderaan di dalam SAM. Sememangnya haiwanlah lebih layak untuk golongan pendera ini. Malah, jauh lebih buruk daripada haiwan. Kalau cikgu tanya di dalam kelas, "murid-murid... apakah contoh haiwan?". Murid-murid mungkin akan menjawab, "contohnya burung, ayam, kerbau, anjing dan babi cikgu...". Ah... golongan pendera lebih teruk daripada contoh-contoh haiwan yang disenaraikan oleh murid-murid tadi. Atas sebab itu, SAM sekali lagi ingin mengulangi pendirian kami bahawa, kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan. Samada penderaan fizikal, mental atau spritual.
Ekoran itu, apa sebenarnya punca perdana penderaan ini? Sebahagiannya telah dijawab dengan cukup baik sebelum ini. Tapi, izinkan saya menambah sedikit lagi. Dengan merujuk kepada beberapa kitab yang muktabar, saya berpandangan punca perdana penderaan ini adalah disebabkan si pendera, bakal pendera dan orang sekeliling si pendera telah lama didera oleh 2 ekor pendera No. 1 dunia. Siapa dia? Tidak lain dan tidak bukan, Nafsu dan Syaitan. Percayalah bahawa, apabila 2 ekor pendera ini tidak dapat ditundukkan dan ditentang, nescaya insiden-insiden penderaan akan terus berleluasa walau sehebat manapun kempen yang dilancarkan. Tidak kira siapa... samada penderaan terhadap anak, kakitangan, pejuang, pemimpin, binatang, tumbuhan dan lainnya.
Sekarang, apa kaedah yang perlu kita gunakan di dalam berhadapan dengan Nafsu dan Syaitan ini? Mudah disebut... tapi perlu optimis dan konsisten melakukannya. Iaitu, kita mesti tundukkan nafsu kita dan lawan syaitan sekuat mungkin dengan kembali kepada agama. Ya, kita mesti kembali kepada ajaran-ajaran yang agama kita perintahkan. Saudara, kita ini manusia ciptaan Tuhan yang Maha Mengetahui dan Berkuasa. Dia yang ciptakan kita, maka Dialah yang jauh lebih tahu tentang ciptaanNya berbanding kita. Lantas, Dia turunkan Kitab Suci sebagai panduan melayari kehidupan ini. Diturunkan melalui perantaraan utusan-utusanNya. Utusan-utusan inilah merupakan pakar psikologi yang sebenar. Barat sahaja yang sengaja memisahkan agama daripada sains dan lain-lain bidang berkaitan.
Akhir kata, bagi menundukkan nafsu dan menentang syaitan... kita perlu menuntut ilmu berkenaan 2 ekor pendera ini. Apabila kita kenal mereka, maka mudahlah kita menumpaskannya. Jika dihurai di sini, pasti tidak akan habis walaupun berlalunya bulan. Apapun, sebagai permulaan memadailah kita menundukkan nafsu dengan puasa. Di dalam kitab itu juga ada mengatakan, sesungguhnya syaitan itu menjalar dalam tubuh manusia bagaikan aliran darah. Maka sekatlah aliran itu dengan lapar (puasa). Manakala syaitan pula harus ditentang dengan ilmu kita khususnya yang berkaitan dengan kerohanian. Faham-faham sajalah, syaitan ini banyak tipu-dayanya. Kuat sangat berpolitik dengan manusia. Dan, jangan kita lupa... mereka pernah bersumpah untuk menyesatkan keturunan Adam sehingga hari Kiamat. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Semoga berjumpa lagi...
PENTING: Dasar-dasar yang dibentuk di dalam keluarga, masyarakat dan negara juga mesti menjurus kepada usaha menundukkan nafsu dan menentang syaitan. Perlu ikhlas di dalam berkempen. Contoh paling mudah adalah kempen Jangan Merokok. Pada kotak rokok macam-macam kempen. Tapi, jual juga...

4 comments:

SANGURU said...

Hari ini seorang guru biasa beroleh/belajar daripada muridnya yang luar biasa.

Pendera No.1 mesti diambil perhatian...

Umar al-Longobi said...

Tidak akan lahir seorang murid yang ingin mencapai keluarbiasaan tanpa ada guru di sampingnya yang menggelarkan dirinya insan biasa. Tapi hakikatnya, ia amat luar biasa...

Teruskan berkempen!

Little Mike (LM) said...

BERFIKIR TERUSS!...

Umar al-Longobi said...

hehe.. berfikir teruss kita LM. tiada yg minat mau komen sini, awagat dati boh..hehe