SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Saturday, July 18, 2009

JANGAN BIARKAN "ZOMBI" BERPESTA DI PEKAN TANDEK

Hello semua! Masih tentang ekonomi. Masih tentang bisnes. Masih tentang perniagaan. Perkara ini mesti kita cakap, cakap dan cakap sehingga ia sebati di dalam darah daging anak bangsa Marudu. Meminjam kata-kata sahabat saya, biar kita makan ingat perniagaan; minum ingat perniagaan; mandi ingat perniagaan; tidur ingat perniagaan; mimpi pun mimpi tentang perniagaan. Dan, kalau mahu menghantar surat cinta pun biarlah surat yang berbau perniagaan. Ini sahaja cara yang paling praktikal dan mudah di dalam rangka mengukir pemikiran kita dan anak bangsa Marudu agar cintakan perniagaan. Yang sedang makan gaji, tidak perlulah hantar surat perletakan jawatan sekarang. Teruskan. Tapi, minda itu yang perlu direvolusikan! Demikian juga kepada mereka yang tidak bekerja. "Jawatan" bukanlah segala-galanya di dalam dunia ini. "Jawatan" bukanlah satu-satunya cara untuk mencari makan. Belum pernah tercatat dalam sejarah orang mati disebabkan tidak makan gaji. Ceburkan diri ke dalam dunia perniagaan. Kenali dulu apa itu perniagaan. Sertai kursus, seminar dan bengkel perniagaan. Jika sudah bersedia, jalankanlah perniagaan anda bersesuaian dengan kemampuan diri dan penerimaan pasaran. Tidak salah anda memulakan perniagaan anda di pasar. Ramai jutawan telah dilahirkan dari celah-celah kesesakan pasar. Betul! Dalam konteks Kota Marudu, Wakil Rakyat dan Pihak Berkuasa Tempatan mestilah memainkan peranan mereka untuk membangkitkan kesedaran rakyat tentang kebaikan perniagaan. Selepas kesedaran atau minda "Makan gaji" rakyat telah berjaya direvolusikan, maka fikirkan pula prasarana yang berpatutan untuk mereka. Mereka tidak perlukan bangunan yang mencakar langit! Mereka hanya perlukan lokasi perniagaan dan pembeli. Pusat-pusat perniagaan seperti tamu, pasar malam dan seumpama dengannya perlu dirancang dengan penuh sistematik perjalanan operasinya dan dipromosikan. Mari kita ambil kes Pekan Tandek yang beberapa kali pengsan itu. Belum mati lagi! Cuba fikirkan bagaimana membangun dan memperkasakan pekan itu. Pekan itu penting kerana di mana lagi rakyat marhaen memulakan perniagaan kalau bukan di tamu/pasar. Hampir semua rakyat Marudu khususnya yang berbangsa Dusun dan Bajau tidak mempunyai keupayaan untuk memiliki pasaraya seperti Milimewa dan More Chance! Kebanyakan mereka hanya mampu menghantar anak mereka bekerja di pasaraya besar itu sebagai pengawal, juruwang atau pelayan. Jadi, kalau tiada tamu/pasar bagaimana mereka berniaga. Jika ini dibiarkan, yang kaya akan semakin kaya. Dan, yang miskin akan semakin miskin. Kami generasi terpelajar tidak ingin rakyat kami diperlakukan sedemikian rupa! Dalam kesempatan yang agak terhad ini, saya ingin memberikan satu cadangan apa yang perlu kita lakukan terhadap Pekan Tandek. Cadangan yang tidak memerlukan kos beribu. Pertama tetapkan 2 hari dalam seminggu untuk Tamu Besar Tandek. Kedua, buat penjadualan tentang giliran berniaga. Contohnya hari yang dipilih itu adalah isnin dan khamis. Isnin untuk minggu ini misalnya giliran diberikan kepada peniaga dari Kg. Masalog berniaga. Khamis pula untuk peniaga Kg. Longob. Lain-lain pihak tidak dibenarkan berniaga pada masa itu. Hari selain hari itu adalah bebas untuk peniaga dari N. 5 Tandek sahaja (Peniaga luar dibenarkan sekiranya produk itu tidak boleh dibekalkan oleh mereka. Tapi untuk permulaan sahaja). Penduduk kampung di seluruh N. 5 Tandek kalau boleh diwajibkan pergi ke tamu tersebut untuk membeli-belah dan meramaikan. Dan, giliran itu akan bersambung kepada kampung-kampung lain di N. 5 Tandek. Ketiga, buat perancangan berkenaan dengan produk yang perlu dijual oleh peniaga-peniaga tersebut. Pastikan boleh memenuhi keperluan pembeli. Seperi ikan, sayur, pakaian, keperluan sekolah, peralatan pertanian dan perikanan dan lain-lain lagi. Yang terakhir, promosi, promosi dan promosikan tamu itu. Kalau ini berjaya, tidak mustahil Tamu Besar Tandek akan menjadi tumpuan rakyat seluruh Sabah. JANGAN BIARKAN "ZOMBI" BERPESTA DI PEKAN TANDEK... Hanya kerana 'kegersangan' pacuan ekonominya. Yang pasti tamu besar ini tidak akan berhenti setakat di situ. Ia akan berkembang dan memberikan impak ekonomi yang kuat kepada para pengangkut penumpang, industri pelancongan, perhotelan, sistem jalanraya dan lain-lain lagi. Banyak lagi yang ingin saya coretkan, tetapi masa amat mencemburui saya... ha ha ha. Jadi, saya terpaksa berhenti di sini dulu. Jika berkesempatan, kita akan sambung pada masa akan datang. Moga Tuhan izinkan. Ingatlah, bisnes memang bukan mudah. Tapi sebenarnya ia tidak sesusah mana dan tidak mustahil. Yang membuatkan kita kata bisnes itu susah adalah minda "Makan gaji" kita. Minda ini telah diwariskan oleh nenek moyang kita sejak ratusan tahun yang lalu. Keputusan di tangan kita. Samada kita akan pecahkan tradisi "Makan gaji" yang berpuaka ini. Atau kita akan mewariskannya pula kepada anak-anak kita. Jawaban ada di dalam diri anda...

1 comment:

Little Mike (LM) said...

saya suka dengan konteks pemikiran yang pragmatisma... 'daripada makan gaji kepada memberi gaji'... syabas artikel ini. Semoga pandangan jauh ini mampu digapai garis depannya.