SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Thursday, July 9, 2009

TENAGA NUKLEAR JADI PILIHAN

( Sumber: Utusan Malaysia ) ARKIB : 08/07/2009
Dr. Maximus Ongkili (tengah) bergambar bersama-sama Iskandar Mizal Mahmood (dua dari kiri) dan Dr. Young Hoon Park (dua dari kanan) selepas menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan sedang merangka dasar tenaga nasional yang meliputi peraturan berkaitan nuklear yang dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan sebagai pilihan sumber tenaga di Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili berkata, kerajaan positif untuk menjadikan nuklear sebagai pilihan sumber tenaga bagi menggantikan sumber tenaga sedia ada seperti arang batu, minyak dan lain-lain lagi.

"Tenaga nuklear mengambil masa selama 10 hingga 15 tahun untuk dibangunkan di negara ini dan ia memerlukan kepakaran sumber manusia yang besar,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian di antara Institut Kajian Biosains dan Bioteknologi Korea (KRIBB) dengan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Ultimate Biotech Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Biotechcorp, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Presiden KRIBB, Dr. Young Hoon Park dan Duta Republik Korea ke Malaysia, Yang Bong Ryull.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tentang satu kertas Kabinet berhubung cadangan menjadikan tenaga nuklear sebagai tenaga alternatif yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Cadangan tersebut merupakan langkah bersama MOSTI dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Malaysia bercadang menjadikan tenaga nuklear sebagai sumber alternatif negara dalam penjanaan elektrik berikutan sumber tenaga minyaknya dijangka menyusut menjelang 2011.

Sumber tenaga lain seperti gas asli juga menunjukkan penurunan bekalan bermula 2018.

Pergantungan Malaysia terhadap lima sumber utama negara pada masa ini iaitu minyak, kuasa hidro, gas asli, arang batu dan beberapa sumber tenaga boleh diperbaharui, perlu dinilai semula.

Ongkili menambah, Malaysia mungkin melihat Korea sebagai salah satu rakan yang strategik dalam pembangunan nuklear.

Ini kerana negara itu mempunyai sumber manusia yang berkepakaran dalam bidang nuklear berbanding di negara ini.

"'Di Malaysia, kita hanya mempunyai 40 orang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang nuklear manakala di Korea mempunyai lebih 600 pemilik PhD dalam bidang tersebut,'' ujarnya.

Sementara itu, Hoon Park berkata, Korea membuka pintu seluas-luasnya kepada Malaysia untuk bekerjasama dalam bidang berkenaan.

Katanya, Korea berpengalaman dan mempunyai kepakaran itu selain berupaya menjadi rakan kongsi yang baik.

3 comments:

SANGURU said...

Saya guru fizik. Tahu asas sains nuklear. Tahu faedah, risiko dan bahaya sampingan teknologi/tenaga nuklear.

Utk org yang tidak tahu, maka saya terangkan dengan cara mudah.
1. Tenaga nuklear diperolehi daripada pemecahan nulkeus atom daripada unsur-unsur radioaktif.
2. Proses ini berteknologi tinggi, kalau silap handle ada risikonya.
3. Bahan radioaktif ini kecil macam sawi pun boleh cemarkan alam sekitar dan ancam nyawa serta keturunan orang. sebab dia boleh pancarkan sinar radioaktif tanpa henti. Yang bahayanya, kita tak nampak sinarannya. Jadi orang boleh tipu kita;"nda bahaya bah ni, mana ada kotor...bersih sija ni...jangan risauuu...".
4. Risiko/bahaya sinaran radioaktif: boleh ubah genetik manusia normal menjadi tidak normal (dalam istilah sains dipanggil "mutation". ada banyak jenis mutasi). Bahkan boleh bunuh terus jika terdedah kpd DOS tinggi misalnya apa yang berlaku di Hiroshima & Ngasaki.
5. Unsur radioaktif bukan macam bara api. Simbah air terus padam. sesaat pun boleh padam. Bahan radoaktif tahan lama dia punya bahaya/sinarnya. Misalnya, Uranium, tempoh setengah hayatnya ialah 710000000 tahun. (setengah hayat maksudnya: masa yang diperlukan untuk menjadikan keaktifan sesuatu bahan radioaktif menjadi separuh daripada kekuatan asal). berapa keturunan ini dia punya akibat.

Penyokong membabi buta projek ini mungkin akan memperlekehkan saya. Jangan cepat menghentam. Saya orang sains. saya tahu apa yang saya cakap. Saya cakap kerana saya tidak mahu generasi hari ini dan akan datang terdedah kepada risiko. Kalau negara kita sudah BERBUDAYA macam negara maju, ok bah. Selagi negara kita belum tunjukkan budaya kerja profesional, selagi berbudaya cincai-cincai, selagi itu saya tidak setuju. Kalau logi itu dibina secara cincai (macam projek yang selalu kita lihat dan dengar)MEMANG SAYA ORANG PERTAMA TIDAK SETUJU.

begini sajalah, kalau nak buat sangat, jangan buat di Kota Marudu kenapalah menteri yang berkenaan MP dari KM. Buatlah dekat-dekat Putra Jaya atau KL. Orang sana yang memerlukan sangat tenaga berkapasiti tinggi agaknya. DAN TENGOK, APA PULA RESPONS MEREKA!!!

Nota: Nantilah saya menulis lagi.

ANANG said...

Sdr.Sanguru...ulasan sanguru pada pandangan saya baik dan ada fakta sedikit...tapi amat baik dan molek sekiranya sanguru paparkan analisis yang ada tentang bahaya dan mereka yg mengalami musibah akibat nuklear.

Sekali lagi saya minta maaf dgn sanguru disebabkan mungkin sedikit pertentangan pendapat mengenai sesuatu perkara...saya akui sanguru merupakan guru fizik yg baik....sanguru tahu akan perkara ini tetapi izinkan saya memberikan sedikit pandangan mengenai projek ini...Saya pasti mereka yg melontarkan idea ini mempunyai keupayaan untuk melaksanakanya maksud saya mereka pakar dalam bidang nuklear...saya bertanya kepada sanguru...ada berapa orang yang mengalami musibah di Korea berkaitan dengan Nuklear? Saya teringat kawan saya seorang Professor di kalangan kaum kimaragang yg saya rasa arif tentang nuklear...beliau selalu ke Korea, dan beliau tidak mengatakan ada yg merana/penyakit kerana terkana pancaran bahan radioaktif. Klu kita ambil cth di hiroshima dan Nagasaki...itu bom atom yg ada bahan radioaktif sengaja dibuat utk membunuh makhluk khususnya manusia.

Saya amat setuju sekiranya perkara ini dilaksanakan di negara kita..mungkin di KM, asalkan kepakaran dan teknologi sepenuhnya dibawa ke Malaysia drp Korea. Tentang kerja Cincai bagi saya itu cuma anggapan kita saja... diperingkat yg lebih tinggi ianya akan dipantau oleh mereka yg pakar dalam bidang masing2.

Sekali lagi saya mohon maaf sekiranya sanguru tersinggung, maklumlah saya ini inda sikul tinggi2...tapi kata orang Mengkritik tidak bererti menentang. Menyetujui tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Kita fikir2 lah ba....

JUMPA LAGI....

PEMIMPIN YANG TELUS LAHIR DARIPADA PRINSIP YANG KUKUH..

SANGURU said...

tk anang. Cuba tanya prof. Madya tu, setujukah beliau logi nuklear didirikan di KM (misalnya)dengan keupayaan dan BUDAYA KERJA orang kita masakini.