SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Monday, August 24, 2009

Puasa dulu-dulu

Assalammu alaikum,salam sejahtera salam muhibah salam sahabat salam 1malaysia 1marudu. Terlalu lama saya tidak berkunjung ke blog ini,bukan tidak sudi tapi tidak sempat.Bukan juga tiada masa cuma jadual terlalu padat.Tapi hari ini tiada alasan lagi.....tekong sudah panggil ooo... Begitu cepat masa berlalu.Pejam celik pejam celik ramadhan telahpun tiba.Terasa seperti baru semalam kita meraikan tahun baru tiba-tiba kini kita telah hampir ke penghujungnya.Bersempena dengan bulan ramadhan al mubarak ini saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua muslimin muslimat di seluruh dunia khususnya rakyat Malaysia serta warga SAM.Semoga amal ibadah kita semua sentiasa diterima dirahmati dan diberkati Allah swt.Amin. Bila menyebut tentang puasa teringat pula saya kenangan manis berpuasa sewaktu kecil dikampung.Waktu itu sekitar tahun 60an umur saya lebih kurang 6-7 tahun.Pertama kali berpuasa dan masih belum mengerti apa-apa tentang konsep dan makna puasa yang sebenar.Apa yang saya tahu ketika itu ialah puasa maknanya kita tidak boleh makan dan tidak boleh minum. Seperti biasa abang saya Otok sangat suka menyakat dan mengusik orang.Dan saya memang selalu jadi mangsa.Melihat saya keletihan dia datang menghampiri saya. Otok : Kau lapar kah? Saya : Inda lah (Tidak lah) Otok : Kau haus kan ? Saya : Ialah bah. Otok : Boleh bah minum.Inda batal tu. Saya : (sambil ternganga) ....aaa...mana boleh minum.Bapak bilang kalau minum batal puasa. Otok : Indaaa....kalau orang baru belajar puasa macam kau boleh minum.Tapi mesti minum air paip ja.... Saya : Betul kah boleh minum? kalau batal apa macam ? Otok : Indaa...inda batal tapi ingat mesti minum air paip ja.... Dengan gembiranya saya berjalan kedapur terus membuka paip air dan minum sepuas-puasnya. Melihat bapa datang otok berlari bersembunyi dalam kamar mandi manakala saya selamba saja minum terus dari paip air didapur."Astaga....kenapa kau minum air mentah.Sudahlah batal puasa sakit perut lagi nanti".Bapa menggeleng-gelengkan kepala. Begitulah kami adik beradik,macam-macam kerenah.Gara-gara saya percaya cakap Otok hari itu puasa saya terbatal dan saya menjadi bahan ejekan ..."minum air paip" hehehe. Setiap kali ramadhan saya lihat dimana-mana saja mesti ada Bazaar ramadhan.Pelbagai juadah ada dijual dari kueh-mueh,minuman pelbagai perisa dan warna,lauk pauk dan macam-macam ada.Bila berkunjung ke bazaar ramadhan dalam keadaan lapar dan dahaga mulalah kita membeli itu membeli ini malah tidak keterlaluan kalau dikatakan ada yang memborong pelbagai jenis makanan serta minuman hingga berlaku pembaziran. Dulu-dulu dikampung Tandek setiap kali puasa hidangan berbuka sama saja seperti hidangan hari-hari biasa.Kami makan apa yang ada saja.Biasanya hidangan yang agak istimewa yang tidak terdapat pada hari-hari biasa ialah kurma dan bubur manis spaghetti sejenis pasta yang menyerupai mee kuning kering yang di masak oleh mama.Spaghetti ini akan direbus sehingga lembut kemudian dimasak dengan santan dan gula.Sedap sekali rasanya.Untuk minuman biasanya saya dan bapa akan memetik buah kelapa muda yang terdapat di keliling rumah. Sekali sekala mama akan buat kuih nagasari, kuih yang diperbuat daripada pisang yang disaluti tepung,dibungkus dengan daun pisang kemudian dikukus.Kalau ada tepung sagu mama akan buat lempeng sagu sebagai pencuci mulut.Begitu ringkas sekali juadah berbuka yang disediakan tapi kami seronok kerana dapat bersama ibu bapa.Makan beramai-ramai berlaukkan telor goreng sudah cukup menyelerakan buat kami. Untuk bersahur biasanya kami makan nasi dengan telor masin dan jeruk bawang.Ini makanan kegemaran almarhum bapa.Kalau tiada telor masin,sayur masin jadi pengganti.Kalau tiada sayur masin tauhu masin la pula gantinya ataupun ikan kembung masin.Yang pasti mesti ada yang masin dan masam untuk membuka selera.Maklumlah makan seawal jam 3 pagi dalam keadaan mengantuk siapalah yang berselera.Namun kewajipan perlu ditunaikan. Paling seronok bila dekat raya,golongan ibu-ibu mulalah sibuk dengan pakaian baru untuk anak-anak.Di pekan Tandek hanya ada sebuah kedai yang menjual kain iaitu kedai si Kim Siew tetapi pilihan kain yang ada agak terhad.Maka kebiasaannya mama dan rakan-rakannya akan sama-sama pergi shopping di Labuan.Dari Tandek mereka akan menaiki bot ke Kudat kemudian menaiki pesawat Twin Otter ke Labuan dan mulalah bershopping sakan. Memandangkan pesawat Twin Otter agak kecil,mereka tidak dibenarkan membawa barang terlalu banyak.Maka mereka selalunya akan membeli kain seorang satu papan dengan pilihan warna masing-masing. Tiba dirumah mama mulalah sibuk menjahit langsir dan pakaian untuk kami pakai di pagi raya.Uniknya dengan kain satu papan itu mama akan menyiapkan langsir dan pakaian untuk kami.Maka di pagi raya kami akan memakai baju baru satu set dengan langsir.Hahaha.... Saya dan adik beradik yang lain biasanya akan sibuk bermain di halaman yang diterangi lampu pelita dan lilin yang kami pasang setiap malam tujuh likur (tujuh hari terakhir ramadhan). Permainan yang biasanya kami main adalah upih pinang dimana saya akan duduk diatas upih dan Otok atau anang akan menariknya laju-laju keliling rumah.Tapi permainan yang paling best adalah katub ataupun meriam buluh.Kami akan bertanding katub siapa yang paling kuat bunyinya. Pernah sekali saya membakar katub dan bunyinya agak perlahan mungkin tidak cukup minyak. Apalagi Otok mentertawakan saya sambil berkata "aalllaaa....kuat lagi kentut si awang...." Untuk juadah hari raya biasanya bapa akan membuat kuih-kuih kering.Jangan tak tahu almarhum bapa kami sangat mahir membuat kuih dan antara yang paling istimewa adalah tat nenas dan kuih kacang.Manakala pakcik awang pula mahir membuat wajik dan kuih bom atau nama sebenarnya kuih makmur tapi sengaja kami panggil kuih bom kerana kuih ini sangat rapuh dan senang pecah. Untuk memasak,bapa akan membuat sendiri ketuharnya menggunakan tin minyak masak yang dipotong dan dibentuk khas menjadi ketuhar.Bapa akan menggunakan sabut kelapa untuk membakar.Bila saya fikir-fikirkan semula hebat juga orang dulu-dulu tanpa teknologi canggih boleh buat kuih-muih yang jauh lebih sedap dari yang ada sekarang.Kuih raya yang ada sekarang rupa saja hebat tapi rasa sama saja....rasa tepung dengan gula. Biasanya kakak saya si piah sekarang orang panggil dia si Datin hehehe akan membantu bapa membuat kuih-muih.Saya...? Biasalah tukang test.Hahaha.Tapi memang seronok sekali berpuasa dan berhari raya di kampung dan saya sangat-sangat merindui suasana itu. Saya rasa cukuplah dulu untuk kali ini.Hingga bertemu kembali......sssaaaalllaaaammmmm

6 comments:

SANGURU said...

ni la syok cerita c kyro, nostalgik dan menarik. Tk kerana menghiburkan kami semua.

Anonymous said...

tulis lagi bahhhh....

Carl S. Adun said...

Kyro..cafe di KK tu masih open kah...

Umar al-Longobi said...

apa kabar kyro? bagus, kenangan2 yg menghiburkan. tapi, rajin2lah bah menulis. tingu... panat sy membaca, talampau panjang. haha! berapa bulan kau kumpul tu? hehe...gurau. salam ramadhan!

nota: sebenarnya, SAM dan pengunjung merindui sdr. kyro. :-)

Anonymous said...

macam takana batang hidung pulak minum2 di paip ni...tapi, time kicik2, macam sadapp jak bah minum air paip tu, pa lagi posa, addeh... inda sudah tepikir sakit perut...hehehe...Kyro, ceta lagi bah....

Balsam.

SANGURU said...

mau nangis bila kenang kisah dulu2...rumah kyro d kg antara tempat kami tumpang beraya. Kami x punya apa2 utk beraya. Daif sangat. Alhamdulilah, kini kyro blh beraya d rumah saya tahun ni. Rakan2 SAM pun dijemput bah...anti-sam punnn...