SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Wednesday, October 28, 2009

Belanjawan 2010: Harapan Orang Kampung Yang Tak Reti Ekonomi

RUANGAN PENULIS TAMU SAM
OLEH: ONDU (http://perspektifsaya.blogspot.com)
Seusai PM membentang belanjawan 2010, pelbagai pujian melambung kedengaran. Ada yang kata itu belanjawan terbaik pernah dibentang, ada yang kata belanjawan rakyat didahulukan. Tidak kurang juga yang melempar kata-kata sinis. Itu belanjawan menyakitkan hati. Malah ada yang mempersoalkan nisbah belanja mengurus yang terlalu tinggi berbanding perbelanjaan pembangunan. Jadi bagaimana memacu ke arah negara berpendapatan tinggi, kata mereka.
Apa pun pandangan dan pendapat mereka yang digelar pakar, belanjawan ini masih lagi sekadar perancangan di atas kertas. Penilaian sebenar sama ada ianya belanjawan terbaik atau belanjawan mendahulukan rakyat cuma boleh dinilai selepas ia benar-benar terlaksana secara fizikal bermula tahun depan.
Yang akan menjadi hakim kepada hasil perlaksanaannya bukan setakat pakar eknomi atau segala jenis pakar, tetapi termasuklah Ah Pek yang buka kedai runcit di hujung desa, tempat orang kampung berhutang; Pak Dollah yang ambil upah panjat kelapa setiap hari untuk menyara anak isteri dan pakcik Ramasamy yang ambil ‘part time’ upah potong rumput setiap hujung minggu di kota.
Sebenarnya, kalau kita rajin untuk mengimbas kembali belanjawan yang dibentang tahun-tahun sudah, kita akan dihidangkan dengan ulasan-ulasan yang serupa. stereotaip. Walaupun tidak semua, tapi trendnya begitu. Mereka yang menyokong pemerintah akan mencari alasan untuk melambakkan segala macam puji-pujian.
Di pihak yang tidak menyokong pula akan mencari fakta untuk merasionalkan segala jenis kritikan dan sindiran. Itu tidak betul dan ini tidak betul. Mungkin itulah resam dan gaya seni berpolitik ala-malaysia. Ada yang menyokong membuta tuli, ada yang menentang semborono. Mungkin ia patut dipatenkan untuk menunjukkan salah satu koleksi kehebatan kita di mata dunia!
Berbicara tentang nikmat yang dijanjikan dalam belanjawan 2010, termasuk janji PM untuk memastikan pengagihan hasil negara secara adil dan saksama kepada seluruh lapisan rakyat; ia hanya akan tinggal janji sekiranya kesilapan-kesilapan lampau terus-terusan berulang. Jika ini berlaku bermakna pihak pemerintah menyediakan bola tanggung untuk pihak penentang memberikan kilasan maut pemusnah.
Namun, perkara ini tidaklah mustahil berlaku berdasarkan kepada'track record' sedia ada. Laporan Ketua Audit Negara 2008 umpamanya banyak menyedarkan kita betapa lemahnya sistem pemantauan dan budaya kerja yang menjadi amalan sesetengah jabatan dan agensi awam. Projek landasan kereta api berkembar dan jalan raya Sapulut-Kalabakan umpamanya yang gagal mencapai objektif, kini bukan lagi rahsia.
Sebenarnya, jantung kepada perlaksanaan segala dasar dan perancangan pembangunan atas kertas, termasuk belanjawan 2010, yang diluluskan oleh parlimen ialah agensi dan jabatan-jabatan kerajaan yang sedia ada. Mereka inilah yang bertanggungjawab melaksana dan memantau serta memastikan kesempurnaan segala perancangan tersebut. Jika mereka bermasalah, maka bermasalahlah juga dasar dan perancangan pembangunan di bawah kelolaan mereka.
Oleh itu, tumpuan juga harus diberikan bagaimana untuk membersihkan agensi dan jabatan awam ini daripada ‘kotoran dan sampah’. Sudah tiba masanya pemerintah serius untuk menjadikan integriti, kualiti dan budaya kerja dalam jabatan dan agensi awam mencapai kelas dunia dengan mentaliti kelas pertama. Laporan audit negara untuk tahun-tahun mendatang sepatutnya tidak lagi menyebut masalah serupa.
Kalau boleh, kita tidak mahu lagi perkhabaran pengarah jabatan itu dan ini dicekup SPRM. Sebenarnya mereka inilah yang menjadi pengkhianat kepada amanah rakyat. Agensi dan jabatan awam mesti diberikan nafas dan hayat baru. Ini akan memberi harapan yang cerah kepada perlaksanaan sempurna segala perancangan dalam belanjawan yang baru dibentangkan.
Jika pihak pemerintah bersungguh-sungguh maka saya percaya Ah Pek, Pak Dollah dan Pakcik Ramasamy bakal memberikan gred A+ kepada Belanjawan 2010 itu.

4 comments:

syen said...

terdapat beberapa perkara yang kita tidak perasan. pelepasan cukai ditambah bagus untuk berpendapatan tinggi. cuba kita pandang bagi mereka yang berpendapan kurang dari 2k, cukai memang tak kena.. tapi tak mustahil punya kad kredit bank bagi tampa yuran tetapi terpaksa membayar RM50 setahun. kerajaan bijak menambahkan pendapatan.

kyro said...

Dari dulu sampai sekarang belajawan demi belanjawan...yang cantik memang atas kertas sahaja.Pelaksanaan tidak sehebat mana malah tidak keterlaluan kalau dikatakan apa yang dirancang untuk rakyat itu tidak kesampaian terutama sekali di Sabah.

Yang kaya terus bertambah kaya yang miskin akan terus miskin.Apa yang perlu dibuat ialah si miskin kena bekerja keras untuk keluar dari kepompong kemiskinan.Saya tidak ingin mendabik dada tapi saya adalah salah seorang rakyat termiskin satu ketika dulu-zero.Hasil usaha sendiri saya kini lebih selesa.Tidak saya nafikan peranan kerajaan dalam konteks keamanan negara tapi bantuan skim pinjaman dsb yang dilaung-laungkan saban hari untuk rakyat tidak pernah saya terima.Pernah memohon tetapi kerenah birokrasi terlalu banyak,tidak terlayan oleh saya.Sebagai peniaga masa itu emas.Saya tiada masa untuk mengampu jauh sekali membodek.

MindaGuru said...

Posting yang baik, "kotoran dan sampah" perlu dibersihkan barulah ia sampai pada masyarakat akar umbi..

Tahniah tuan...

SANGURU said...

sekadar misalan;RM100 kalau diberi kpd yg benar2 perlu boleh mengubah dirinya kalau benar2 sampai RM100. Tapi kalau sampai cuma RM10, pa mcm? Dan yg dapat pula bkn yg benar2 memerlukan, bagaimana?

tugas pemerintah memastikan integriti, ketelusan dan keluwesan. Selagi ada ketirisan, penyelewengan dan kepincangan, tak berkesan program murni kerajaan.