SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Wednesday, October 7, 2009

Minda Pengarang: Bajet 2010 ajak rakyat hayati

Sumber:Berita Harian
Ekonomi negara kini menunjukkan aliran pemulihan yang meyakinkan. Ia mendorong kerajaan yang dijangka mengumumkan semakan angka unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi keseluruhan 2009 dalam Bajet 2010. Bagi memastikan kesinambungan pemulihan, semua pihak bertanggungjawab membantu dengan apa saja cara yang termampu. Antara langkah penting ialah menghapuskan pembaziran. Ketika kerajaan berusaha sedaya upaya merangsang pemulihan ekonomi, semua pihak perlu memberi komitmen membantu menjayakannya. Dalam konteks ini, pendedahan mengenai ada jabatan yang masih tidak peka dan melakukan pembaziran, amat mengecewakan. Kejadian mengenai ada pejabat kerajaan memasang pendingin hawa secara berterusan selama tujuh hari seminggu contohnya, tidak harus berlaku. Ia bukan saja satu budaya tidak sihat, malah membuktikan sikap sambil lewa beberapa pihak di jabatan kerajaan terhadap langkah dilaksanakan kerajaan untuk mengelak pembaziran. Perkara sedemikian tidak boleh dikompromi kerana memberikan imej buruk kepada kerajaan sehingga mungkin dilihat sebagai 'cakap tak serupa bikin'.
Seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, satu daripada teras Bajet 2010 yang akan dibentangkannya 23 Oktober ini ialah mengelak pembaziran. Dalam fasa pemulihan ekonomi seperti sekarang, setiap sen yang diperuntukkan kerajaan mesti digunakan sebaiknya. Kerajaan mahu memastikan perbelanjaannya cekap bagi mengelak berdepan defisit besar yang boleh menjejas daya saing serta keanjalan ekonomi negara. Menyedari kedudukan kewangan negara yang ketat, usaha kolektif jabatan dan agensinya menggembleng tenaga memastikan pembaziran ditangani sepenuhnya adalah satu kewajipan. Perdana Menteri sudah membayangkan akan membuat beberapa pengurangan peruntukan dalam bajet kali ini. Kita harap mereka yang terbabit tidak mengeluh, sebaliknya sedar bahawa nawaitu sebenarnya ialah mengelak pembaziran.
Oleh kerana mengatasi pembaziran ialah usaha murni untuk memastikan kesejahteraan semua, ia juga harus disokong sektor swasta. Dalam persaingan yang semakin sengit, kecekapan operasi adalah kunci kejayaan mereka dan ia dapat menyumbang secara langsung kepada peningkatan ekonomi negara. Sehubungan itu, langkah memperkemas operasi dan memastikan pembaziran dibanteras pada semua peringkat harus dilaksanakan dengan gigih. Nilai itu harus diterapkan dalam semua aspek bagi memastikan ia menjadi budaya bukan saja di kalangan kakitangan mereka, malah seluruh rakyat. Mungkin cara terbaik meningkatkan kesedaran ialah menginsafi bahawa setiap sen yang dibelanjakan kerajaan adalah wang rakyat dan apa juga yang dikeluarkan syarikat akan meningkatkan kos. Pembaziran tidak membawa sebarang kebaikan, jadi semua pihak mesti memperbaharui tekad menanganinya demi manfaat bersama.

2 comments:

SANGURU said...

sesuatu yg diulang2 jadi kebiasan. Kebiasaan yang diamal berulang2/beramai2 jadi budaya. Bila dah jadi budaya....alamak, parah sudah.
Sepatutnya, kempen dan budget mesti bertunjangkan berhemah dan berjimat. Apapun syukurlah kerana belum terlambat. Kalau dah muflis...alamak, bubuurrr sudahhh...

Anonymous said...

Jangan semakin hari semakin banyak berjanji nanti tdk tertunaikan pula....Kalau mau 1Malaysia terlaksana dengan jayanya banyakkan mencari Panduan dan berdoa memohon keredaan serta meminta kepada Sang pencipta dengan tulus dan terangkan mata hati kepada Rakyat....