SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Friday, December 31, 2010

PIALA MILIK KAMI

PIALA MILIK KAMI

Letusan Merapi
menjulang bebola api
merah putih
menyambut kami.

Gegak gempita
di sana sini
hancur kerusi
lebur jeriji besi
bung karno
bagai tiada erti
direnyuk seperti kami
dipersenda
dianak tiri.

Namun
kami tetap kami
setahun jagung
hingus meleleh
mengerti budi pekerti
bukan amarah menjajah hati
sopan santun tulus budi
musyawarah, satu hati
berpadu sejati
itu kami.

Kalah sekali
piala tetap milik kami.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Tuesday, December 28, 2010

Abadi


ABADI

Detik ini
telah terhenti  kembara mu
di pelabuhan duniawi
bertaut di serambi mimpi
menanti hari abadi
hanya garis-garis takwa
dan luhur budi
membalut diri.

Jejak yang kau tinggalkan
kini tinggal kenangan
senyuman yang pernah terukir
bertaut dari bibir ke bibir
hanya nama mu yang berdiri
untuk kami warisi
jasad bukan lagi milik kami
untuk kami bersandar kasih
hanya dalam ilusi
dapat kami jamah erti
tegak berdiri seorang ayah
daulah yang abadi
yang gagah membela
jati diri kami.

Bersemadilah dengan aman
di alam barzah persinggahan
legasi yang kau tinggalkan
akan kami teruskan
menjamah seberkas harapan
jamak kekeluargaan
erat perpaduan
yang telah kau simpulkan.

Sesekali
jamahlah kami
walau hanya dalam  mimpi

HANAFIAH MZ
TANDEK
(New Sabah Times, 28/12/2010)

Sunday, December 26, 2010

PANORAMA KINABALU - 3


Pemandangan di pekan Tandek berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu. Sejauh mana panorama indah ini memberi rahmat kepada masyarakat Tandek serta keupayaannya menarik pelancong, sama-sama kita nantikan.

Perjuangan Belum Selesai-Selesai?

INI PERTANYAANKU, PERTANYAAN RAKYAT BIASA YANG CELIK AKAL SEPERTIKU JUA!


Ini saja saya mau tanya! Katakan kepadaku - apa perjuanganmu/kalian yang begitu besar (atau begitu rahsia?) sehingga tak kunjung selesai? - mana bisa selesai kalau cakap lain, kerja lain!!! Bila mau lanjutkan kerja (tugas/jawatan) baru nak raih sokongan rakyat miskin dgn slogan lapuk - PERJUANGAN BELUM SELESAI!

Saturday, December 25, 2010

SELAMAT HARI NATAL

Salam sejahtera dan salam perpaduan,


Saya bagi pihak SAM mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh warga Malsysia khususnya rakyat Kota Marudu yang mersihkannya. Semoga berbahagia bersama sanak saudara dan sahabat handai. Mudah-mudahan perayaan keagamaan seumpama ini menjadi satu lagi wadah pemupukan semangat persaudaraan dan persahabatan. Dan mudah-mudahan tahun baru 2011M ini membawa lebih banyak sinar harapan dan kebaikan kepada kita semua, di mana jua.

Monday, December 20, 2010

Jangan dijolok sarang tebuan

Kata orang, "Jangan dijolok sarang tebuan. Jika dijolok buruk padahnya". Tapi jika jatuh dan menimpa pelalu-lalang lagilah parah. Sarang tebuan ini bertaut pada ranting pokok hiasan di Jalan Marudu, bersebelahan padang Pekan Kota Marudu. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebelum ada yang menjadi mangsa.

Tuesday, December 14, 2010

RESAM SEMALU


Resam semalu

Resam semalu
mudah tersentuh
walau selembut bayu
menyentuh, ia tak mahu
sapa dipandang sayu.

Apakah
kita harus begitu
ke depan tersipu malu,
tak mahu
di belakang
kita menggerutu
konon dibiar layu
dibiar rapuh.

Sahabat melangkah maju
sedang kita tertinggal jauh
rumah buluh jalan berdebu
kita biar berdiri utuh
bandar mereka hutan batu
bandar kita duri semalu
kita ditakuk itu.

Kita masih tersipu-sipu
malu-malu
tidak mahu disentuh
tidak mahu merayu
takut terhakis ayu
dan kita terus begitu
seperti semalu
menguncup layu
di hujung sayu
bila disentuh..

HANAFIAH MZ
(New Sabah Times,14/12/2010)

Thursday, December 9, 2010

MARUDU BOLEH

Team Tarik Tali 4WD yang baru ditubuhkan dan mewakili daerah Kota Marudu dalam beberapa siri kejohanan Tarik Tali telah membuktikan bahawa Kota Marudu mampu bersaing malah mampu mengalahkan pasukan lebih ternama dari daerah lain.


Dalam kejohanan Tarik Tali sempena Pesta Jagung baru-baru ini, 4WD menang 2 kali, seri 2 kali dan hanya tewas kepada Kudat Power yang menjadi juara. Kudat Power juga merupakan Juara Sabah. Warga Kota Marudu seharusnya menjadikannya satu aspirasi betapa Kota Marudu boleh dalam pelbagai aspek jika diurustadbir dengan betul, bijak dan ikhlas. Terus maju Marudu!

Sunday, December 5, 2010

KITA 1 MALAYSIA MULIA BUDI BAHASA


KITA 1 MALAYSIA MULIA BUDI BAHASA
(Utusan Borneo, 05/12/2010.hal.B6)

Sejak dahulu perang dicanang
entah kalah entahkan menang
saudara sedarah  tiada tenang
bercakar sesama pagi dan petang.

Kata periuk, “ belanga hitam,
duduk di dapur siang dan malam
sudahlah hitam teramat legam
siapa memandang pasti pitam”.

Belanga bingkas cuba menentang,
“sehitam-hitam aku terus berjuang,
  berkhidmat kepada tuan seorang,
  walau seharian terus dipanggang,
  rela legam seperti arang”.

Periuk menyahut,
“Setakat api apa nak takut,
  akupun dipanggang sehingga semput,
  aku juga pejuang dan belum luput,
  apa tuan arah aku ikut,
  tanak nasi,rebus ubi aku turut.

“kalau aku dipanggang,engkaupun sama
  kalau aku hitam, engkau apa kurangnya”.
  kenapa perlu bertelagah sesama
  tugas kita serupa berkhidmat pada bangsa
  lagipun kita sedarah, saudara adanya,
  kita asyik berbalah,
  periuk letrik dah bermaharajalela”.
  Belanga hambur nasihat berguna.

Periuk terpingga-pingga
kata belanga ada benarnya
jika bergaduh tak sudah-sudah
si putih, periuk letrik pasti menyanyi
seantero dunia manusia menyanyangi.

Bagai terhantuk baru terngadah
periuk sedar silap dan salahnya
menghina sesama tiada faedah
menjatuhkan air muka sendiri sahaja
lagipun kita Satu Malaysia
bangsa bertamadun mulia budi bahasa
bangsa pemaaf penuh timbang rasa.

HANAFIAH MZ



Friday, December 3, 2010

BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00





BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00

           
            Pada tahun 1977 atau 33 tahun yang lalu saya dan seorang sahabat bersama-sama mengunjungi pasar pekan lama Kota Marudu untuk membeli keperluan makan minum selama lima hari. Ketika itu harga seikat kacang panjang hanya Rm 0.10. Begitu juga dengan kangkung. Masing-masing memilih seikat kacang panjang. Faktor utama pemilihan sayur berkenaan ialah kerana harganya yang murah,jumlah yang banyak dan tahan untuk dua atau tiga hari. Jadi dalam seminggu, kami hanya memerlukan dua ikat kacang panjang untuk dijadikan sayur selama 5 hari. Ini sudah memadai untuk mengalas perut kami di asrama Yayasan Sabah Kota Marudu.

            Pada tahun 90an, harga kacang panjang menjangkau Rm 1.00 seikat. Namun baru-baru ini, saya dikejutkan dengan kenaikan harga kacang panjang yang meningkat sebanyak 200 peratus berbanding tahun 1977 iaitu RM 2.00 seikat di beberapa pekan di Sabah. Ini bermakna, sebuah keluarga kecil memerlukan sekurang-kurangnya Rm 14.00 untuk menampung keperluan keluarga selama seminggu. Itupun jika keluarga berkenaan memutuskan untuk makan satu jenis sayuran sahaja dalam satu hidangan.

            Jika kita tinjau pasar-pasar ikan, tiada satupun pasar yang meletakkan harga ikan kelas 1 di bawah Rm 12.00 sekilo. Rata-rata harga ikan dalam kategori ini di antara Rm 12.00 hingga Rm 25.00. Mahu tidak mahu pengguna terpaksa memilih ikan basung yang lingkungan harganya antara Rm 5.00 hingga Rm 6.00 sekilo.

            Bila persoalan kenaikan harga barangan tersebut dikemukakan kepada peniaga, masing-masing menuding jari kepada faktor peningkatan kos pengendalian. Mereka kata harga minyak naik. Jadi harga baja,racun dan upahpun naik. Begitu juga dengan nelayan yang menjadi pengguna utama minyak. Jadi beban kenaikan harga minyak memberi impak kepada kenaikan barangan pengguna dan akhirnya kita sebagai pengguna menanggung beban kenaikan harga barangan tersebut.

            Mungkin golongan berpendapatan sederhana tidak seberapa merasai kesan kenaikan harga barangan keperluan tersebut. Tetapi lain ceritanya dengan masyarakat desa atau kota yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau yang tergolong dalam kategori miskin tegar. Tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, tidak ada ruang untuk berniaga malah kekurangan dalam serba-serbi. Tentulah mereka akan merasai bahang dan keperitan akibat kenaikan harga barang tersebut.

Baru-baru ini KYRO menulis tentang seorang peniaga yang hanya menjual serai di Jalan Gaya, Kota Kinabalu dan berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan. Beliau juga ada mengulas sebuah buku yang terbitan Indonesia yang membongkar rahsia kejayaan peniaga gerai tepi jalan. Tulisan-tulisan beliau disiarkan dalam blog SAM. Saya juga mengutarakan sifat rajin dan tidak mudah putus asa golongan peniaga tepi jalan di Langkon dan kampung Mengaris, Kota Marudu.

Saya turut menyarankan agar masyarakat  mencontohi sikap rajin dan gigih penduduk Kampung Langkon dan Kampung Mengaris dalam menjana ekonomi keluarga walaupun ada dalam kalangan pengunjung blog SAM melabelkan perniagaan tepi jalan sebagai melucukan. Sekurang-kurangnya pendapatan sebanyak Rm 7.00 ke Rm 20.00 sehari dapat meringankan beban sesebuah keluarga. Ada yang mengatakan bahawa tanpa kita sedari pendapatan golongan peniaga tepi jalan sebenarnya boleh menjangkau Rm 50.00 sehari. Namun ada sumber yang boleh dipercayaai menyatakan bahawa pendapatan golongan berkenaan boleh menjangkau Rm 200.00 sehari. Bayangkan berapa yang mereka boleh perolehi dalam sebulan.

Sepanjang kehidupan selama 45 tahun ini saya telah banyak melihat warga asing yang datang ke negeri Sabah yang kita cintai ini telah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Pada tahun 1991, sekumpulan pemuda berketurunan Jawa berasal dari negara jiran berjaya menjadi subkontraktor untuk pemasangan jambatan besi yang merentangi sungai Marak Parak. Ketika saya berpindah ke SMK Badin, seorang pekerja pengusaha kantin telah memberanikan diri dengan meletakkan jawatannya itu dan berniaga goreng pisang secara sepenuh masa di tamu pekan Tuaran. Pada hari ini beliau mampu menyewa sebuah restoran dan menjalankan perniagaan makan minum. Walaupun sudah mempunyai ruang niaga yang selesa, beliau masih berniaga goreng pisang di tamu Tuaran kerjaya yang mencetuskan inspirasi kejayaannya pada hari ini.

Dalam bidang pertanian, rata-rata hasil pertanian yang mendominasi tamu-tamu di seluruh Sabah dikuasai oleh golongan petani yang kita semua sendiri tahu asal-usulnya. Justeru itu, tidak menjadi kesalahan untuk kita sama-sama bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung keperluan harian kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut dapatlah kita menjimatkan perbelanjaan harian sambil menjaga kesihatan dengan menggerakan seluruh otot berbanding hanya duduk bersantai sepanjang masa. Juga tidak salah untuk kita memulakan aktiviti berniaga di tepi jalan atau mana-mana ruang perniagaan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menampung keperluan seharian.

Dengan berniaga kecil-kecilan, kita sebenarnya telah memulakan langkah ke arah kejayaan yang lebih besar. Hari ini kita memulakan langkah pertama, esok lusa anak-anak yang membantu kita menjalankan aktiviti berkenaan memerhati ,menilai dan mungkin juga mendapat inspirasi baru bagaimana memengembangkan perniagaan yang kita mulakan itu.

Boon Siew bukanlah orang kaya ketika mula-mula masuk ke Tanah Melayu 70 tahun yang lalu. Beliau hanya seorang kanak-kanak yang rajin memerhati dan berhati cekal. Berkat kerajinannya beliau mempelajari bagaimana membaiki basikal. Kemudian membaiki motorsikal. Akhirnya, berkat sabar dan usaha berterusan beliau berjaya memperoleh kontrak mengedar motorsikal jenama Honda di Malaysia. Hari ini, ramai penduduk Malaysia menunggang motorsikal Boon Siew Honda.

Kerajaan tidak selama-lamanya mampu menangung kos subsidi yang diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Pada suatu ketika, subsidi-subsidi berkenaan lambat-laun akan dikurangkan atau dihapuskan terus. Jadi, kita perlu memulakan langkah hari ini untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

PESTA JAGUNG 2010 BERMULA

KOTA MARUDU: Nampaknya daerah ini sekali lagi akan menjadi tumpuan para pengunjung pada akhir tahun ini. Kemeriahan pesta ini pasti dirasaikan kerana ia diadakan semasa cuti. Pesta Jagung tahun ini telah membuat pembaharuan dalam program atau aktivitinya. Antaranya Makan malam Pesta Jagung, yang bertujuan untuk memaparkan rekaan berasaskan jagung. selain hiburan dari artis tempatan.
Acara lain pula seperti pameran dari agensi-agensi kerajaan dan swasta diadakan di kawasan tempat letak kereta MDKM. Acara perasmian akan dilakukan oleh MP P 168 Bandau, Datuk Seri Dr. Maximus pada 05/12/2010. SAM

Thursday, December 2, 2010

Bicara Tengah Malam: Pepatah Lama

Terlajak perahu boleh di undur,terlajak kata, padah jadinya. Kadang2 kita selalu berada diluar kawalan. Apa saja yang terbit difikirankan akan terlauh dan bila kita dalam keadaan teruja, sukar untuk kita mengawalnya. Sebab itu, adakalanya nasi akan menjadi bubur. Bila ia sudah menjadi bubur pasti sukar untuk menjadikannya nasi kecuali kita terpaksa memakan bubur tersebut.
Ada orang mengatakan alang2 menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau sudah nampak kesan dan impaknya, biarlah ia terang terus. Untuk apa lagi kita menutupi sesuatu kalau memang ia sesuatu yang bermasalah. Kita cari penyelesaian sehingga ia tuntas agar kita tidak dipersalahkan dimasa akan datang. Nanti akan jadi sesal kemudian tiada guna. Kita menangis airmata pun pasti hari itu tidak akan kembali.
Cuma kadang2 kita keliru dengan sikap yang angan2 mat jenin. Banyak cakap,banyak suara tapi langsung tiada pengakhiran. Kita disuap janji demi janji namun akhirnya ia tinggal sebagai janji. Kita menjadi seperti pungguk merindukan bulan. Yang pasti bulan itu tidak akan turun ke bumi.
Kita bertanya pada diri kita, adakah kita kacang yang lupakan kulit atau mereka yang kacang lupakan kulit. Kita tidak mampu untuk menilai diri sendiri kerana kita adalah manusia yang lemah namun segala teguran itu adalah kunci kepada kesempurnaan kita. Selagi kita mampu menerima teguran dan kritikan selagi itu kita berdiri dibumi yang nyata. Kita masih berpaksi kepada kewarasan pemikiran dan sifat kemanusiaan yang sejati...

Tuesday, November 30, 2010

GURINDAM KASIH


GURINDAM KASIH
(New Sabah Times, 30/11/2010)

Hormati ibu dan bapa
Dari mereka kita bermula.

 Sayangi ibu dan bapa
Lebih dari emas permata.

Kasihi ibu dan bapa
Bagai menatang bayi tercinta.

Senyumlah pada ibu bapa
Supaya hidup mereka ceria.

Belailah ibu  dan bapa
Agar mereka tidur lena.

Lawatilah ibu dan bapa
Supaya mereka tidak tersiksa.

Damaikan hati ibu dan bapa
Supaya mereka rasa bahagia.

Cintailah ibu dan bapa
Hidup kita akan bahagia.

Taatilah ibu dan bapa
Allah akan merahmati kita.

Uruslah ibu bapa mu
Bila mereka dihujung waktu.


HANAFIAH MZ

KENAPA INI BERLAKU: MOHON PIHAK BERKENAAN AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA

to all sabahan live or studying at semenanjung,go back ur place!
326 orang menyukai ini.
Sangat sedih rasanya bila masih ada segelintir dikalangan rakyat Malaysia yang masih membelakangkan perlembagaan. Jelas dalam perlembagaan menyatakan kita harus menjaga perpaduan dengan tidak menyentuh mana2 perkara sensetif.
Kerajaan berusaha menyatupadukan rakyat dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti, mengwujudkan intergrasi namun masih ada yang lagi memecahbelahkan.
Jelas sekali orang atau admin page ini tidak rasional, admin ini telah menyalahgunakan saluaran yang baik kepada yang tidak baik. Rata2 yang menyertainya adalah mereka2 yang tidak senang dengan page ini. Dan adalah menjadi penghinaan bila Bendera Negeri itu diterbalikkan.
Kami menentang keras sebarang kenyataan yang bersifat menghina apa lagi yang melibatkan negeri kami. Mohon pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap admin ini.

Monday, November 29, 2010

RANKING TERKINI SAM

SUARA ANAK MARUDU telah mencipta sejarah apabila buat kali pertamanya telah dinaikkan ranking.Kalau sebelum ini ranking SAM hanya berada di tangga ke-15 daripada 50 website/blog yang berdaftar dengan ShinyStat.Tetapi apa yang menarik kali ini ialah blog SAM berada di ranking yang PERTAMA.Tahniah kepada penulis2 SAM kerana terus aktif dengan artikel masing2.Penghargaan juga ditujukan kepada semua penggunjung blog SAM.Tanpa anda sebenarnya SAM tidak mungkin berada di ranking teratas ini.Semoga ranking ini akan berkekalan. ADMIN SAM

Sunday, November 28, 2010

ANAK MARUDU BOLEH..

GERAI "GIS" DINAMIK...


Bumiputera khususnya di Kota Marudu berkebolehan untuk maju dalam perekonomian. Ini dibuktikan oleh Sdr Ismaili yang membuka restoran "Gerai Ismaili Santai" (GIS). gerai ini menyediakan berbagai menu menarik yang sedap, bersih pada harga berpatutan. Mari sokong usahaniaga orang tempatan. Turut menyediakan Wifi untuk yang mahu mengakses internet.

Friday, November 26, 2010

Terus bersuara YB Anita Baranting



















Jalanraya telah dikemukan
paip jangan dilupakan
debu telah lesap
air ke dalam tanah meresap......

Terus bersuara YB Anita Baranting

Tuesday, November 23, 2010

PUISI-Secebis Harap Setangkai Racun

SECEBIS HARAP SETANGKAI RACUN
(New Sabah Times , 23/11/2010. hal. 16)

Menjerit mengenang sakit ,
merimbun perit
bertahun sedih merintih,
berguni pedih
berdekad hati bernanah,
parah menjarah
kumat-kamit mentera dijana,
menghimpun daya
beralun harap dihimpun,
tersusun rimbun
berkepal derap digarap,
menggunung harap.

Bagai tiada mengerti,
tiada peduli
bagai batang buruk tersingkir,  
terus dipinggir
bagai penyapu lama,  
terbuang tercela
bagai besi terperuk,
menjeruk buruk
tiada siapa bertandang,
mencanang terang.

Inikah gebar kasih kau bentang,
suram bergenang
inikah pekat janji kau laung,
kosong dan murung
inikah belas ehsan kau jajan,
merekah harapan
rupanya cinta tersusun rimbun,
cuma setangkai racun.

Berjela kenang bergenang,
mengungkap remang
bagai hilang arah berkurun,
meruntuh santun
bercucuran airmata tumpah,
 menyingkir tenang
pedih meruntun-runtun,
merangkai lamun
kami kekal di sini
bertongkat  sedih.

Tunggulah sangkakala ditiup
dihari penutup
pintu maaf  pasti tertutup
di hujung huruf
koma pertama
 noktah menjunjung taup
kasih mu akan ku renyuk,
pujukmu tidak ku hirup
sauh pasti terlepas ,
sampan terbabas bebas
resah pasti terhempas
dan kami kemas bernafas.

HANAFIAH MZ

Sunday, November 21, 2010

PUISI


INGIN
(Utusan Borneo, 21/11/201/. Hal.B7)

Ingin ku kucup haruman seri
sebelum kuncup di taman hati
ingin ku capai jambangan kasih
sebelum duka menyulam rintih

Ingin ku buang sakit dan pedih
sebelum nanah menghambat hati.
Ingin ku peluk wangian kasih
sebelum renyuk dilanda benci

Ingin ku garap nukilan janji
sebelum lena diulit mimpi
ingin ku nyata hasrat di hati
sebelum lesu dibuai caci.

Ingin ku bina mahligai abadi
sebelum gempa melanda janji
ingin ku ikat cinta yang suci
sebelum nafas mengundur diri.

Ingin ku renjis hujan asmara
sebelum layu dimamah usia
ingin ku bina kubu takwa
sebelum janji menjemput jiwa.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Friday, November 19, 2010

Pantun Linopot Daun Tarap

Daun Tarap daun limadang
Saya harap jangan meradang
Walau lama tidak di pandang
Di dalam hati tetap tak hilang.

Tandaa kina amu mongungkarab
aso wulu turunan lanog
roon madang mimang alaab
tuwa omis koinginan tombolog.


Mongoi moginum sampai koodop
sampai owuwul wulu do kirop
kukurangan tokou no mokilogop
mogiim tokou koposion mitotongkop.

Pantun ini untuk hiburan
supaya boros tokou amu olingan
salah dan silap harap dimaafkan
misambat kembagu kotoluadan.


...tompinai..... simbar kou
 
Sambutan Kaamatan Kg.Mosolog: juadah tradisional utk VIP
Gambar oleh: Androd Sadian
 
 

Thursday, November 18, 2010

SEPERTI LAUT

SEPERTI LAUT

Seperti laut
setia pada pantai
walau berkali surut
pantai tetap dibelai
walau hatinya kusut
simpul mampu diurai
walau dilanda ribut
kasih tak akan dilerai
telah berkurun kasihnya bertaut
tak pernah lalai
indahnya cinta laut
begitu juga pantai.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Tuesday, November 16, 2010

SELAMAT BERKORBAN

"Pengorbanan Asas Kejayaan"


Setiap kejayaan memerlukan perjuangan. Perjuangan itu sendiri satu pengorbanan. Pengorbanan itu bukan mudah, selain mengorbankan harta benda, ia turut memerlukan pengorbanan jiwa raga. Semoga apa pun perjuangan anak-anak Marudu dapat membawa impak positif kepada daerah dan warga daerah tercinta ini. Dalam kesempatan ini pihak SAM mengucapkan selamat merayakan Hari Raya Aidil Adha (Hari Raya Qurban). "Maaf Zahir dan Batin".

Monday, November 15, 2010

BERBUDI KEPADA TANAH

BERBUDI KEPADA TANAH

Berbudi kepada tanah
kita tidak akan kecewa
rezeki melimpah ruah
makmur bahagia mewah

Wednesday, November 10, 2010

MERDEKAKAN MARUDU

MERDEKAKAH KITA?...


Merdekakan Marudu dari kemiskinan, kejahilan, kebobrokan, kebergantungan, kekerdilan jiwa, kejumudan, kefanatikan. Tapi kekalkan bahkan suburkan ikatan kekeluargaan, toleransi dan muhibbah kita.

Tuesday, November 9, 2010

DAMAI

DAMAI
(New Sabah Times. 9.11.2010.hal 16)

Selembut mentari pagi
menyapa busana bumi
rerumput riang menyanyi
dijamah cahaya sakti.

Nurkasih  sulam menyulam
bening menghulur salam
hening mekar menyiram
damai alam bersemayam

ombak melambai permai
mengucup jejari pantai
mengalun irama santai
menyiram debunga damai.

Dedaun tulus melambai
disapa bayu gemalai
beburung menyanyi permai
irama senandung damai.

Damai alam membuai
damai kasih membelai
damai jiwa dicanai
damai rindu mengintai
damai hati disemai
damai hidup dituai.

HANAFIAH MZ
KG. DAMAI, KOTA MARUDU.


Sunday, November 7, 2010

Apa dah jadi.....?

Salam mesra....salam muhibah....salam 1Marudu 1Malaysia.... Terlalu lama saya menghilang dari radar SAM...hari ini muncul kembali.... Tidak banyak cerita cuma tertanya-tanya.... Pagi tadi saya ke tamu Jalan Gaya,Kota Kinabalu....dengan tujuan hendak mendapatkan urutan reflexology dari OKU yang saban minggu berkumpul disini.Berjalan sambil meninjau-ninjau jualan para peniaga tiba-tiba mata terpaku pada sekumpulan orang yang begitu khusyuk mendengar "ceramah". Ingin tahu .... saya mendekati kumpulan itu dan cuba melihat apa sebenarnya yang dijual oleh si 'penceramah" yang begitu bersemangat.... Astaga.....terkejut....tergamam....terkesima....ter....entah apa-apa ter lagi....biar betul orang ini.... saya melihat seorang lelaki melayu dengan penuh semangat sedang memberikan tunjuk ajar bagaimana membuat nombor ramalan.Didepan beliau ada sebuah meja kecil dan beberapa naskah buku kecil yang mengandungi tiket-tiket nombor ramalan tersusun......yukk....jual numbur ekor ba pula kau ni bayau.....canggih betul juga orang melayu ni sikarang.....apa dah jadi...??? Saya tinggalkan kumpulan itu dan teruskan perjalanan.Sebelum tiba di tempat OKU saya terjumpa seorang penjual teh serai.....hasil temubual saya dengan beliau (lelaki bukan melayu) saya dapat maklumat ini......beliau mempunyai sebuah kilang memproses teh herba berasaskan serai dan halia.Beliau membeli bahan mentah tempatan - halia dari Tambunan dan serai dari Sandakan.Bekalan amat kurang dan jika ada yang berminat bolehlah menjadi pembekal.Beliau membeli serai dalam kuantiti yang banyak pada harga 60sen sekilogram.....apa kau bilang....? murah....? cuba kira betul-betul.....1kg = 60 sen,10kg = $6.00.....100kg = $60.00 kalau 1 tan...? bukankah $600.00......kalah harga kelapa sawit..... Bahhh....baranti-baranti lah beli numbur....bagus lagi buka kebun....tanam serai.

KENALI DAERAH ANDA: SIGUNTING

KENALI DAERAH ANDA: PEJUANG BANGSA – SIGUNTING
                                                                  SIGUNTING


Lelaki dusun yang bernama Sigunting tidak rela melihat bangsanya diperkotak-katik oleh penjajah yang secara terang-terangan menindas penduduk pribumi daerah ini kira-kira 100 tahun yang lalu. Penjajah secara melampau mengenakan pelbagai cukai yang bukan saja tidak masuk akal malahan tidak pernah diamalkan sebelum itu.

Beberapa cukai yang amat membebankan seperti cukai kepala, cukai tanam-tanaman dan cukai tanah dikenakan oleh penjajah ke atas masyarakat tempatan. Pengenalan cukai-cukai tersebut menyebabkan beban masyarakat ketika itu semakin bertambah. Sudahlah hidup mereka yang serba kekurangan ibarat kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini ditambah lagi dengan  cukai yang membebankan.

Akibat pengenalan cukai tanah, masyarakat tempatan ditegah dari membuka tanah-tanah baru untuk tujuan pertanian yang sama sekali mengganggu amalan pertanian masyarakat Dusun ketika itu. Jika tidak dapat membuka tanah baru bermakna masyarakat Dusun dihalang mencari rezeki mengikut amalan pertanian mereka. Tiada tanah untuk dibuka maknanya tida makanan untuk bulan atau tahun berikutnya. Pastinya masyarakat Dusun akan mati kebuluran.

Sikap penjajah yang memeras masyarakat tempatan menimbulkan kemarahan Sigunting, seorang lelaki suku Dusun Mumus yang berasal dari Kampung Sorinsim di kaki Gunung Tambuyukan. Kemarahan beliau bertambah-tambah apabila mendengar bahawa seorang lelaki yang merupakan kakitangan penjajah dikatakan menjalinkan hubungan dengan seorang gadis Dusun di Kampung Timbang Batu tanpa mengikut adat istiadat nikah kahwin masyarakat Dusun ketika itu. Bagi masyarakat Dusun tindakan sedemikian merupakan suatu pencabulan yang mencemar kesucian adat istiadat yang diamalkan secara turun-temurun sejak nenek moyang dahulu kala lagi.

Kebiadapan penjajah menimbulkan kemarahan Sigunting. Beberapa siri serangan dilakukan oleh Sigunting untuk menghalau penjajah. Oleh kerana pasukan Sigunting bukanlah sebuah pasukan tentera yang serba lengkap, tindakannya tidak dapat melemahkan kekuasaan penjajah di daerah ini. Malahan selepas itu Sigunting pula yang menjadi buruan penjajah. Namun kelicikan dan kepintaran Sigunting menyebabkan penjajah tidak dapat menangkap beliau. Sehingga pihak penjajah mengambil keputusan untuk berdamai dengan Sigunting.

Sigunting yang sezaman dengan Paduka Mat Salleh kemudiannya menetap di Kampung Sorinsim, Marak Parak hingga ke akhir hayatnya.

Sumber: Peristiwa-peristiwa Berdarah di Sabah. DBP