SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Monday, May 31, 2010

USAHA TANGGA KEJAYAAN..

Ini motto budak sekolah. Tidak canggih tapi masih relevan untuk masyarakat masih mundur dan ketinggalan seperti orang Kota Marudu termasuk saya!


Gambar di atas bukan gambar hiasan semata-mata. Gambar ini saya tangkap petang tadi dan muat dalam blog SAM (salah satu penaja utama 4WD). Gambar ini boleh menyokong premis "kalau mau berjaya mesti berusaha gigih". Mau contoh? Baik, saya beri contoh team tarik tali 4WD SAM-Urban Storm. Team ini bukan pilihan. Saya diminta menjadi penaung oleh sekumpulan anak-anak muda yang majoritinya dari Kg. Mosolog. Saya pada mulanya bersedia untuk rugi, kalah dan kecewa. Memang pun pada awalnya mereka jadi pasukan balasahan. Asyik kena tarikkk... Balik-balik kalah. Tapi kami semua menerima kekalahan itu dengan gelak ketawa (enjoy) sambil belajar dari kelemahan sendiri.


Namun, berkat tidak putus asa dan berpegang pada motto "Berani Kalah", serta berdisiplin dalam latihan, Alhamdulilah, sejak kebelakangan ini, 4WD semakin meniti di bibir rakyat. Terbaru menjadi naib Johan jemputan Kudat dan ke-3 di kejohanan Tarik Tali Tertutup Kota Marudu.


Dan paling manis, berjaya mengalahkan team terbaik dari Tandek yang jauh lebih besar saiznya dan lebih terkenal penarik-penariknya. Nah, contoh macam mana lagi yang lebih "simple" buat bangsaku? Tidak ada cara mudah untuk berjaya. Para petani, nelayan, penternak, peniaga, pelajar kita mesti usaha teruss...Jangan bermentaliti "syukur ada" atau "harap yang di atas"! Mungkin boleh berjaya kerana "direct award" (project) atau menang kerana nasib, tapi sampai bila bangsaku harus berharap kepada ikhsan dan nasib?...

Sunday, May 30, 2010

Kisah Sang Rusa yang sombong dengan si Tuntul

Pernah sudah kah saya cerita ini aahhh? Belum bah kan.Kalau sudah tidak apa juga bah kan.... siaran ulangan.Kik kik kik. Semua orang tahu apa itu rusa kan? Orang Sabah bilang Payau.Tuntul? Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu tuntul.Tuntul adalah bahasa Dusun Kimaragang yang merujuk kepada sejenis siput sungai.Siput ini bentuknya panjang berwarna hitam.Ia hampir sama dengan siput sedut atau di Sabah dikenali sebagai Singor.Beza antara tuntul dan singor ini adalah kulit tuntul lebih halus. 

Masa saya kecil-kecil dulu di Tandek,saya selalu turun ke sungai menangkap tuntul dan kayakau (juga sejenis siput sungai cuma bentuknya agak bulat) untuk dibuat lauk.Siput-siput ini kalau dimasak lemak.....aduuuiiiii......mengalir bah air liur.Apa pun saya bukan mau cerita pasal masakan.Tapi mau kasi tangon (cerita rakyat). 

Tersebutlah kisah kononnya pada suatu hari datanglah seekor rusa meminum air di sebatang sungai.Sedang sang rusa minum tiba-tiba dia terpandang seekor tuntul sedang berjalan.Melihat sang tuntul berjalan begitu lambat sang rusa dengan sombongnya ketawa terbahak-bahak.Eeiilalaa....slow juga ko ni tompinai...? kata sang rusa sambil ketawa gelihati.Jangan pandang orang sebelah mata bah asi...mentang-mentang saya kiiiicik..ko kasi hina-hina saya...jawap sang tuntul.Aisey...macam melawan bah ko ini bos...kata sang rusa sedikit panas.Bukan begitu...jangan kerana ko berbadan besar ko pandang hina sama saya yang kerdil ini.Jawab si tuntul tenang. Wuiina...betul2 bah ko ni melawan.Kata sang rusa bertambah panas mendengar jawapan si tuntul tadi.Beginilah...kita lumba lari dari sini sampai di hulu sungai,siapa sampai dulu dialah pemenang.Kata sang rusa dengan penuh yakin si tuntul takkan mampu menandingi kepantasannya.Boleh bah...tapi ko kasi saya masa 1 minggu lah.saya mau training dulu .Lepas 1 minggu kita jumpa lagi disini.Jawap si tuntul tanpa merasa gentar dengan cabaran sang rusa. 

Seminggu kemudian sang rusa dan si tuntul bertemu dihilir sungai tadi.Sebelum memulakan perlumbaan si tuntul berkata Oleh kerana sungai ini sangat panjang dan berliku-liku maka kita akan berhenti di tujuh perhentian.Setiap 1 perhentian itu ada batu besar.Sekiranya saya sampai dulu saya akan naik keatas batu besar itu.Sekiranya kamu yang sampai dulu maka kamulah yang naik diatas batu besar itu.Setuju?.Tanpa banyak soal sang rusa setuju lalu mereka memulakan perlumbaan. Bila tiba diperhentian pertama,si tuntul sudah berada diatas batu besar.Tanpa berlengah sang rusa terus berlari dengan harapan akan sampai dulu diperhentian kedua.Malangnya setibanya sang rusa si tuntul sudahpun berada diatas batu besar tersebut.Seakan tidak percaya sang rusa berlari lagi sekuat hatinya.Ini kali aku mesti sampai dulu kata sang rusa.Tiba diperhentian ketiga sang rusa terkejut melihat si tuntul sudah berada diatas batu besar.Kecewa namun tidak berputus asa sang rusa berlari sederas-derasnya namun malang terus menimpa kerana di setiap perhentian keempat,kelima,keenam dan ketujuh si tuntul dengan tenang sudah berada diatas batu besar dan memenangi perlumbaan.

Sang rusa yang keletihan pulang dengan perasaan malu dan tertanya-tanya bagaimana si tuntul boleh mengalahkannya..... Apakah rahsia si tuntul? Senang saja.Masa seminggu yang dipinta untuk training sebenarnya digunakan oleh si tuntul untuk bermesyuarat dengan rakan-rakan tuntulnya dan berpakat mencari jalan untuk mengalahkan sang rusa.Enam ekor tuntul turut serta dalam perlumbaan dan setiap satunya sudah bersedia awal-awal lagi di setiap perhentian.Itulah sebabnya setiap kali sang rusa tiba di perhentian dia melihat si tuntul sudahpun berada diatas batu besar.Walaupun ia kelihatan seperti satu penipuan tetapi ianya wajar kerana perlumbaan yang dicadangkan oleh sang rusa juga tidak adil.Ketidakadilan itu pula harus dibenteras dengan kebijaksanaan.Dan itulah yang dilakukan oleh si tuntul.  

So,the moral of the story is....jangan biarkan orang lain berlaku tidak adil pada kita apalagi menindas atau menghina kita hanya kerana orang itu lebih 'besar' daripada kita.Oleh itu...wahai tuntul-tuntul Tandek sekalian,bermuafakatlah....jangan kasi can rusa-rusa masuk kampung berlaku tidak adil pada kita.... Adios....chow....salammmm

Friday, May 28, 2010

100 Individu KM Yg Paling Berpengaruh Sepanjang Sejarah

Media, samada yang bercetak atau elektronik biasanya sering diberikan kepercayaan umum di dalam membuat tinjauan pendapat dan undian, daripada masyarakat yang boleh dicapai oleh media tersebut.

Apabila kita melihat situasi di Kota Marudu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Blog Suara Anak Marudu (SAM) merupakan media yang paling berautoriti, berpengaruh dan popular. Ekoran itu, media ini layak jika diberikan kepercayaan umum untuk membuat tinjauan pendapat dan undian khususnya daripada anak-anak Marudu.

Tinjauan yang ingin saya lontarkan kepada pembaca budiman sekalian adalah, bagi pendapat anda siapakah 100 individu KM yang paling berpengaruh sepanjang sejarah. Jika anda mempunyai jawabannya, dipersilakan ke ruangan komen. Tinjauan ini bukan bertujuan untuk saling membanggakan keturunan masing-masing, tapi sekadar meninjau pendapat umum daripada perspektif masing-masing.

Semoga dengan tersenarainya 100 individu tersebut, akan menarik minat ahli-ahli sejarah tempatan atau peminat sejarah untuk mengkaji profil mereka. Seterusnya boleh didokumentasikan sebagai rujukan dan pembakar semangat Permata-Permata Bangsa Marudu yang baru mula bertunas.

Monday, May 24, 2010

SALAM DARI TALAS (BUKAN DALLAS)

Masalah pemilikan tanah adalah isu global di Sabah. Sementara orang lain sibuk menyambut Perayaan Kaamatan, di satu ceruk terpencil di Kota Marudu, orang2 kampung meratap kehilangan tanah pusaka mereka.

Hari ini saya dikunjungi oleh tiga orang penduduk Kg. Talas, Tandek, Kota Marudu. Mereka ialah Ketua Kampung sendiri, En. Dorutik B. Tinmas, Pengerusi JKKK, En. Padil Kondoyon, dan En. Leboy. Mereka datang mengadu masalah untuk dipaparkan dalam SAM dengan harapan nasib mereka dan ramai penduduk kampung lain akan terbela.

Tanah seluas 400 ekar di kampung berkenaan telah lama dimiliki dan diusahakan oleh penduduk kampung. Ramai penduduk yang telah membuat permohonan geran tanah sejak tahun 1997 lagi termasuklah mereka yang datang berjumpa saya hari ini. Tetapi seperti kata pepatah, disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sementara orang2 kampung menanti dengan sabar, tiba-tiba pada tahun 2003 pekerja2 syarikat Kinabalu Mining Industries (KMI) telah datang menceroboh tanah kampung mereka dengan dakwaan bahawa tanah tersebut telah dijual oleh pemilik2nya kepada syarikat berkenaan untuk projek penanaman kelapa sawit.

Tentu sekali para penduduk kampung terkejut dan membuat bantahan. En. Dorutik B. Tinmas dan En. Padil Kondoyon telah membuat aduan rasmi ke pejabat daerah dan memberikan salinan ke pejabat parlimen Kota Marudu, memohon agar nasib penduduk kampung dibela. Menurut mereka, sempena lawatan YB MP ke kampung berkenaan pada musim Kaamatan tahun 2005, YB sendiri telah memberikan jaminan bahawa perkara itu akan diselesaikan segera.

Malangnya sebulan kemudian kerja2 penanaman kelapa sawit mula dilaksanakan oleh syarikat KMI. Sekali lagi penduduk kampung membuat bantahan dan turut menyiarkannya dalam akhbar2 tempatan. Berikutan daripada itu banyak jabatan yang berkaitan telah menghantar wakil untuk membuat tinjauan dan turut menanam tebu di bibir mulut kepada para penduduk kampung.

Penduduk kampung menganggap diri mereka sudah terbela dengan lawatan demi lawatan yang mereka terima. Bahkan sebelum pilihan raya umum yang lalu, YB MP sekali lagi menyatakan bahawa hal tersebut telah selesai. Tetapi rupa2nya ada juga pisang yang boleh berbuah dua kali. Awal tahun ini penduduk kampung dikejutkan bahawa tanah tersebut sekarang sudah dijual oleh KMI kepada syarikat Hap Seng Plantation Berhad. Tambah mengejutkan ada beberapa geran tanah yang dikeluarkan tahun ini bukan atas nama pemohon asal pada tahun 1997, tetapi orang lain yang baru memohonnya pada tahun 2005. Lebih misteri lagi ada di antara penama2 yang telah diluluskan permohonan geran tanah sebenarnya sudah puluhan tahun meninggal dunia ketika ia dipohon pada tahun 2005. Hantukah yang memohon?

Kali ini penduduk kampung tidak tahu beralih kepada siapa lagi untuk mengadu kerana setiap kali jika mereka merujuk hal tersebut ke Pejabat Daerah Kota Marudu, mereka tidak akan dilayan, demikian menurut ketua kampung dengan wajah sugul. Mereka terpaksa bertindak sendiri. Akhirnya pada 22 Mei (hari Sabtu lepas) satu mesyuarat di antara penduduk kampung dengan wakil daripada Hap Seng Plantation Berhad bagi membincangkan masalah pemilikan tanah tersebut telah diadakan. Pihak Hap Seng telah memberikan persetujuan untuk meneliti perkara tersebut dan akan memberikan maklum balas dalam tempoh satu bulan dari tarikh mesyuarat diadakan.

Banyak persoalan di sini, tetapi saya memilih untuk menyuarakan hanya beberapa perkara; Di manakah ketelusan pengurusan permohonan geran tanah yang asal? Jika ada pertindihan permohonan, bukankah geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sebelum pertikaian diselesaikan? Tentulah ada konspirasi untuk mengaut keuntungan dalam pengurusan pemilikan tanah tersebut kerana ramai pemohon baru yang tidak tahu-menahu nama mereka tersenarai dan bahkan ada yang sudah meninggal puluhan tahun. Siapakah mereka ini? Dan akhir sekali, kepada mereka yang berkenaan, mana janji manismu?

Nota: Kaamatan kaamatan juga, tetapi nasib rakyat juga perlu diamati.

Friday, May 21, 2010

SABAH DAN SARAWAK FIXED DEPOSIT?

Hari ini saya membaca laporan akhbar tentang kenyataan Prof Dr. Ranjit Singh, seorang ahli akademik dari Kolej Pengajian Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, berkenaan dengan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Secara umumnya kenyataan beliau boleh diterima baik dan saya juga percaya beliau bermaksud baik dalam penerangan tersebut. Saya tergerak untuk menulis ulasan tentang beberapa perkara yang beliau nyatakan sebagai renungan kita bersama.

Menurut beliau, Persekutuan Malaysia bukanlah perkongsian sama taraf tiga anggota (Malaya, Sabah dan Sarawak)... Walaupun kedudukan itu (perkongsian sama taraf) mungkin mempunyai kesahihannya apabila Perjanjian Malaysia ditandatangani, namun Sabah dan Sarawak menerima Perlembagaan Malaysia yang baharu di mana struktur persekutuan tertakluk kepada semua negeri di negara ini secara saksama kecuali bagi hak istimewa Sabah dan Sarawak yang pada hakikatnya diiktiraf dan dijamin.


Dalam konteks 'Malaysia Kini', kita memang tidak dapat nafikan dan tidak boleh menolak hakikat bahawa Sabah dan Sarawak hanyalah diiktiraf sebagai sebahagian daripada negeri-negeri dalam negara Malaysia. Tetapi kita tidak boleh mengubah sejarah. Ketika Perjanjian Malaysia ditandatangani, kedudukan Sabah dan Sarawak ialah masing 1/3 daripada persekutuan itu. Sejarah memang mencatatkan bahawa Malaya, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia dan bukan kerajaan Selangor, Pahang, Negeri Sembilan (dan semua negeri2 yang lain) yang secara langsung memeteraikan perjanjian dengan Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak memang tidak boleh lagi menuntut kesamarataan taraf dengan Semenanjung Malaysia (Malaya). Tetapi saya ingin bertanya, jika Sabah dan Sarawak hanya dibandingkan dengan negeri2 di Semenanjung Malaysia pun, adakah Sabah dan Sarawak sudah memiliki perkongsian yang saksama dengan negeri2 lain? Jika ya, kenapa pembangunan di kedua-dua negeri ini masih jauh ketinggalan berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung? Jika keluasan kedua2 negeri ini dijadikan alasan, kenapa tidak diberikan peruntukan yang setimpal dengan keluasannya? Adakah hak2 istimewa Sabah dan Sarawak telah benar2 diiktiraf dan dijamin? Seribu satu alasan boleh diberi, tetapi hakikatnya, Sabah dan Sarawak masih belum mendapat layanan yang adil berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung. Sabah dan Sarawak hanyalah dianggap sebagai fixed deposit.

Menurut Prof Dr. Ranjit Singh lagi, ...strategi dan polisi untuk pembangunan dan keharmonian kaum yang digunakan (oleh Kerajaan Persekutuan) dengan agak berjaya di Malaysia Barat (Semenanjung) tidak semestinya boleh digunakan sepenuhnya di negeri2 Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak)... Negeri2 ini pada dasarnya berbeza dari segi ciri2 geografi, taburan penduduk, komposisi kaum, pertumbuhan sosial, kepercayaan agama, sistem ekonomi, struktur politik dan pengalaman sejarah.

Saya percaya kita semua mengakui keunikan Sabah dan Sarawak seperti yang disebutkan di atas, dan tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa keunikan inilah yang gagal disedari dan dihargai oleh Kerajaan Persekutuan sejak dahulu lagi. Setiap strategi dan polisi pembangunan dan keharmonian kaum yang digunakan selalu mengabaikan atau tidak praktikal untuk Sabah dan Sarawak. Mujurlah keharmonian kaum di Sabah dan Sarawak tidak memerlukan formula khusus yang sukar untuk dipraktikkan. Malaysia Barat yang perlu belajar daripada Malaysia Timur tentang erti keharmonian kaum.

Tetapi bagaimana dengan arus pembangunan? Sabah dan Sarawak selama ini terkial2 untuk membangun kerana harus akur kepada Kerajaan Persekutuan. Kekayaan di kedua2 negeri ini diangkut ke persekutuan lalu yang datang balik hanyalah dibandingkan dengan negeri2 yang ada di Semenanjung yang ternyata tidak saksama. Percaturan politik dan keupayaan kerajaan negeri, khususnya Sabah, untuk menentukan hala tuju sendiri seringkali diganggu-gugat. 'Kita' hanya akur dan terikat dengan ungkapan 'saya yang menurut perintah' walaupun kedaulatan negeri terus terhakis dan tergadai. Yalah, kan Sabah dan Sarawak hanyalah fixed deposit?

Hanya sejak 'kegagalan' Barisan Nasional di Semenanjung pada pilihan raya umum yang lalu saja, Sabah dan Sarawak reluctantly (sikap mahu tidak mahu) diakui sebagai 'penyelamat' kepada parti yang telah memerintah negara ini selama separuh abad. Ini kerana Sabah dan Sarawak sentiasa dilihat sebagai lebih primitif dan subsidiari Semenanjung. Bahkan mentaliti Malaysia Barat selalu beranggapan bahawa Semenanjunglah yang sebenarnya telah 'menyelamatkan' Sabah dan Sarawak dari kuasa penjajah. Sedangkan pada hakikatnya Sabah dan Sarawak telah merdeka sebelum Pembentukan Persekutuan Malaysia dan Tun Fuad Stephens merupakan antara watak utama dalam rancangan pembentukan Persekutuan Malaysia. Perlu saya ingatkan juga bahawa pada awalnya Sabah dikenali sebagai Negara Sabah. Jawatan Yang di-Pertua juga dinamakan Yang di-Pertua Negara sebelum kemudiannya ditukarkan kepada negeri.

Prof Dr. Ranjit Singh berkata bahawa mentaliti orang2 Sabah dan Sarawak harus diubah. Well, Mr. Professor, adakah mentaliti kami saja yang perlu diubah sedangkan mentaliti orang2 dan para pemimpin Semenanjung boleh terus menganggap kami sebagai orang2 'bawahan'. Bahkan Peribumi Sabah dan Sarawak juga selalu dilayan seperti bumiputera kelas kedua. Ayuh! Anak2 watan Sabah dan Sarawak, kita punya harga diri yang jauh lebih baik daripada fixed deposit?

Nota: Say no to fixed deposit!

Debat Marudu 2010

Ramai anak Marudu yang tidak berpuas hati dengan pencapaian ekonomi semasa daerah ini. Lembab, suram dan muram serta mungkin memualkan. Ini satu fakta yang pastinya sukar disangkal apatah lagi untuk disembunyikan. Apapun, sikap membiarkan darah menggelegak di dalam urat-urat jasad sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Justeru, dicadangkan satu pertandingan DEBAT ALA PARLIMEN dianjurkan khas untuk para Permata Bangsa Kota Marudu. Debat ini bertemakan, "Kemiskinan & Kemunduran Kota Marudu". Objektif debat ini bukan untuk mencari kambing hitam untuk dikambingkan. Tetapi untuk menyediakan gelanggang kepada para Permata Bangsa kelahiran daerah ini untuk menyalurkan ilmu, pengalaman, kemahiran, gagasan dan emosi mereka di pentas yang menjunjung prinsip demokrasi dan keadilan. Di akhir pertandingan tersebut, resolusi dibentuk bersama para pendebat dengan menggunakan hujah-hujah mereka di sepanjang perdebatan. Apa macam, ada harapan kah...

Wednesday, May 19, 2010

Menyingkap Perjalanan Kota Kinabalu Ke Sibu: Satu Pesan Kebangkitan Suara Rakyat

Cheras, Kuala Lumpur - 4 hari penulis berada di Sibu dua minggu lepas dan sempat menjengah ke beberapa lokasi seperti Sk. Bawang Assan, Jabatan Kimia Cawangan Sibu dan sebuah sekolah lain. Kehangatan kempen pilihanraya kecil memang terasa. Tinjauan penulis ketika berada di kawasan bandar memberikan beberapa khabar untuk dijadikan ikhtibar.

Amaran politik di Sibu tidak begitu mengejutkan. Secara peribadi, ini bukan tanda kejatuhan tapi satu ledakan kebangkitan hasrat rakyat yang INGIN BERSAHABAT dengan kemajuan. Kebanyakan pengundi di kawasan Sibu tidak gemar memberikan undi bersifat tidak popular kepada satu pihak lain tetapi berpendapat sesuatu perlu dilakukan untuk menyuntik KESEDARAN bahawa mereka (masyarakat Sibu) tidak sewenang-wenangnya HANYA dianggap pengundi setia sahaja. Dari sudut lain kesetiaan mereka tidak harus dimengertikan semata-mata bersandarkan elemen kota kebal.

Salah seorang penduduk dari Kg. Penansu mengatakan 'kami akan tetap undi kerajaan tapi apakah cara supaya kampung kami yang begitu mundur mendapat perhatian kemajuan?'

Ketika menghampiri sebuah premis perniagaan milik orang cina (jual hp) dan sempat bertanyakan khabarnya, ternyata tokeh tersebut begitu mesra dan mudah bercerita. Namun ada nada tegas bila bersangkut-paut dengan pertanyaan mengenai masa depan Sibu.

"Undi memang kasi undi. Tapi orang sudah marah. Saya masih tetap ingat sama kerajaan kerana boleh bantu sebab ada dana. Apa macam saya mau kasi undi pun, kawan-kawan mau kasi 'cerita sikit' sama dia orang juga. Mau jaga Sibu, bikin baik-baik"

Di satu ceruk desa lain, ada penduduk mengatakan 'Air tidak ada. Api tidak ada. Jalanraya tidak ada. Yang kami tau sudah ada pilihanraya kecil'. Terdapat label mengejutkan apabila mengaitkan politik dengan mentaliti 'ikan masin'. Maknanya terdapat kegagalan melakukan sesuatu yang bersifat mesra kepada pembangunan kemasyarakatan. Dalam satu cerita wayang suatu ketika dahulu, penonton menyaksikan satu jalan cerita dengan hati hiba. Hiba bila melihat dialog anak bapa. 'Anak minta wang untuk beli buku bapa kata saya bukan kilang duit'. Dialog bapa ini mematikan pandangan jauh si anak.

Tujuan penulisan ini tidaklah bermaksud mempersoalkan mana-mana individu atau organisasi politik. Saya cuma ingin TEKANKAN bahawa rakyat inginkan KEBAIKAN POLITIK. Sejarah landskap politik di Bumi Kenyalang sudah dirobah seperti sebuah slogan 'MARI UBAH SEJARAH' yang berjaya menafikan kerusi kekal.

Ini satu panggilan terbesar kepada fungsi kepimpinan. Rakyat tidak bercakap mengenai siapa memerintah. Rakyat cuma inginkan penghayatan falsafah politik sebenar dari seorang pemimpin. Jadikan peristiwa ini sebagai satu ikhtibar. THE BIGGEST WAKE UP CALL untuk melihat keperluan MENJUARAKAN rakyat, MEMPERKASAKAN pencapaian.

Di mana pun peristiwa kepimpinan berlaku, sama ada di pihak pembuat dasar atau di pihak yang berkobar-kobar semangat untuk naik, kegagalan untuk memerhatikan PESAN rakyat adalah KEGAGALAN MAKNA PERJUANGAN POLITIK.

Arif dan lestari dominasi integriti aspirasi nusa bangsa. Jaga aspirasi rakyat, rujuk sejarah dan ambil IKHTIBAR. Selamat berjuang. Salam sayang dari SAM untuk N.5 Tandek dan P.168 Kota Marudu.

Tuesday, May 18, 2010

Jalanraya Menyusur Kg. Morion Perlu Dinaiktaraf

18hb Mei, Kg. Morion - Sudah berpuluh tahun laluan jalanraya ini memberikan cabaran kepada penduduk Kampung Morion terutama keadaan laluan yang berdebu dan berbatu. Laluan jalanraya ini betul-betul berdekatan dengan halaman rumah (lebih kurang 13 buah rumah). Keadaan ini menimbulkan kesulitan diakibatkan oleh pencemaran udara. Musim hujan jalan berlumpur dan kotoran lumpur akibat kenderaan lalu lalang menjadi 'hiasan' dinding rumah.

Tinjauan pihak SAM mendapati jalanraya ini benar-benar memerlukan perhatian pihak berwajib untuk dinaiktaraf ke jalan aspal untuk keselesaan pengguna jalanraya termasuk hak penghuni rumah yang saban tahun berdepan dengan masalah habuk yang menjejaskan kesihatan.

Kebanyakan penduduk Kg. Morion merupakan penjawat awam sama ada sebagai guru, pasukan keselamatan dan sudah pastinya masyarakat kg. Morion sebagai pembayar cukai perlu diberikan perhatian hak untuk menjadi sebahagian daripada agenda kemajuan.

Perkembangan terkini, jalan Kg. Morion antara jalanraya yang tersenarai untuk perhatian RMK 11. SAM mengharapkan laluan ini diluluskan peruntukan naiktaraf demi untuk menghargai sumbangan penduduk yang sentiasa bertahan memberikan sokongan kepada dasar perjuangan kerajaan pemerintah.

Simpang Tiga Tandek - Tondig Perlu Perhatian Ciri-Ciri Keselamatan

Tandek, 18hb Mei - 3 hari lepas saya melalui simpang tiga Tandek - Tondig lebih kurang jam 8.00 pm ke Kota Marudu untuk bertemu sahabat penulis SAM Nong Tuyundo dan suaminya yang juga rakan penulis Sdr. Tompinai.

Setiba di kawasan simpang tiga ini satu kemalangan telah berlaku melibatkan sebuah motorsikal dan sebuah van penumpang tetapi tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Saya meneruskan perjalanan tanpa TERFIKIR untuk menyelami detail peristiwa mungkin disebabkan saya sudah terlewat daripada waktu sebenar untuk bertemu dengan rakan penulis.

Ini adalah kemalangan ke dua yang saya saksikan sendiri di kawasan ini termasuk satu kemalangan ngeri mengakibatkan seorang maut yang mengejutkan Tandek. Apa yang saya perhatikan, kawasan 'maut' simpang tiga ini memerlukan perhatian ciri-ciri keselamatan seperti berikut;

1. Kawasan agak gelap. Lampu jalan perlu untuk menerangi kawasan
2. Tidak ada tanda amaran atau papan tanda had kelajuan meminta pemandu perlahankan kenderaan

3. Tidak ada garis kuning keselamatan untuk alert pemandu

4. Tidak ada bumper atau bonggol di tiga susur laluan untuk memperlahankan kelajuan kenderaan

5. Papan tanda yang mudah merefleksikan cahaya waktu malam untuk memudahkan pemandu mengambil had laju yang sesuai.

Sebagai penambahan, sepatutnya laluan daripada jalan Tingkalanon keluar ke Tandek, kenderaan tidak perlu berhenti. Sebaik-baiknya kenderaan yang keluar dari jalan Tondig menuju ke Tandek perlu memberi laluan kepada kenderaan dari arah Tingkalanon ke Tandek. Oleh yang demikian, garis putih memberhentikan kenderaan perlu di laluan Tondig bagi kenderaan yang hendak keluar menuju ke Pekan Tandek atau masuk ke laluan Tingkalanon. Susur keluar dari Tingkalanon menuju ke Tandek, bentuk struktur jalan ialah melengkung untuk memudahkan kenderaan mengambil laluan berbanding sekarang yang berbentuk 'T' (selekoh tajam). Sudah ada keperluan lorong khas berhenti untuk laluan kenderaan dari arah jalan Tingkalanon untuk masuk ke jalan Tondig.

SAM mengharapkan pihak berkenaan memberikan perhatian ciri-ciri keselamatan untuk laluan ini. Kita mengharapkan jalan ini memberikan laluan yang boleh dimanafaatkan untuk perkembangan ekonomi desa, sosio dan budaya dan bukannya satu lorong yang 'mengecilkan' keupayaan sumber manusia yang menghadkan perkembangan jati diri desa.

Monday, May 17, 2010

AKU CEMBURU KAMU...

Cemburu dibolehkan jika ianya membawa kebaikan kepada yang empunya rasa dan syarat tidak menjejaskan yang dicemburui.


Siapa "kamu" yang saya maksudkan? Tentu bukan orang Kota Marudu, bukan juga orang Sabah atau negeri Sabah. Kamu orang Sarawak dan negeri Sarawak yang saya maksudkan.


Apanya yang saya cemburui? Gua Niahmu? -bukan! Gunung Sentubungmu?- bukan! Sungai Rajangmu? - juga bukan! Rentap pahlawanmu?- punnnn bukannn? Jadi apa???...


Aku mencemburi kestabilan politikmu. Kemandirianmu. Kemerdekaanmu. Hak-hakmu yang kekal terpelihara. Para pemimpinmu yang lebih utamakan kedaulatan bumi kenyalang berbanding pangkat dan fulus. Aku mencemburui kebijaksanaan dan kesepaduan parti-parti politikmu. Kamu boleh berbalah tetapi tidak sampai menjual merdeka...


Aku wajar cemburu takala semua yang kusebutkan di atas semakin terhakis dari bumi negeriku. Terhakis dan terus terhakis lantaran anak-anak tanahair ini sendiri. Salahkah aku cemburu dan apakah aku punya teman cemburu?... Apakah yang tinggal untuk aku kagumi? Yang tinggal barangkali adalah kekusutan yang terpaksa diusai...

ARANG ATAU ORANG

Beberapa pemimpin rakyat sudah menyuarakan. Para pencinta alam pun juga sudah bising. Sementara UMS sudah membuat inovasi periuk elektrik bersumberkan tenaga solar, SESB pula tetap bertegas dengan pelan untuk membangunkan pusat pembakaran arang batu di Lahad Datu bagi tujuan janakuasa tenaga elektrik kawasan Pantai Timur Sabah. Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar pula hanya membisu.

Terdahulu sudah heboh di parlimen tentang alat janakuasa elektrik second hand yang SESB bekalkan di Pantai Timur Sabah sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai layanan second hand kepada rakyat Sabah. Tidak dinafikan alat janakuasa itu mungkin boleh berfungsi, tetapi jika ada peruntukan yang mencukupi untuk membeli yang first hand kenapa mesti bekalkan yang second hand. Sesiapa pun pasti akan memilih yang first hand (jika mampu dimiliki) berbanding second hand. Apa lagi jika ianya sudah dijanjikan terlebih dahulu.

Para pemimpin yang bernaung di bawah payung yang sama pun tidak sehaluan. Pemimpin organisasi pula tidak lagi tahu menghormati pemimpin rakyat. Apa sudah jadi dengan negeri Sabah? Fixed deposit, itukah yang 'mereka' kata? Jika rakyat Sabah terus dilayan sebegini rupa, kita akan tahu pada pilihan raya akan datang sama ada Sabah memang fixed deposit atau sebenarnya unit trust!

Berbalik kepada isu arang batu. Tidak adakah pilihan lain yang lebih baik selain daripada mencemarkan alam sekitar yang memang pun sudah semakin tercemar? Belum cukupkah dengan isu pemanasan global dan peningkatan kes penyakit saluran pernafasan akibat pencemaran udara? Lagi pun arang batu yang akan digunakan terpaksa diimport dari negara jiran! Banyak penyelewengan boleh berlaku dalam proses pembekalan dan pengangkutan. Bagaimana jika negara berkenaan meningkatkan kos jualan atau tidak lagi mahu menjualnya kepada negara kita atas apa saja alasannya kelak?

Apalah sangat masalahnya dengan sumber tenaga elektrik janaan biomass yang bahan mentahnya mudah diperolehi di negeri ini (termasuk di Kota Marudu) dan tidak mencemarkan udara? Bukankah Ketua Menteri Sabah sendiri mengakui bahawa terdapat begitu banyak sekali lambakkan sisa ladang kelapa sawit di negeri ini yang siap sedia digunakan sebagai bahan mentah industri biomass?

Jika mengurangkan pembaziran peruntukan adalah salah satu alasan penggunaan alat janakuasa elektrik second hand sebelum ini, apakah bukan satu pembaziran kita mengalirkan mata wang ke negara luar sedangkan di negeri kita sendiri peruntukan yang sama boleh digunakan untuk membangunkan sistem janakuasa tenaga elektrik berkapasiti sama dengan bahan mentah tempatan.

Secara analitikal, hanya satu perkara yang masuk dalam fikiran saya, iaitu jika sesuatu projek melibatkan banyak pihak, apa lagi pihak luar, maka lebih banyak peluang untuk memasang 'jaring' (untuk mengaut keuntungan) berbanding pengurusan setempat yang tidak melibatkan banyak pihak. Jika ada alasan yang lebih saintifik, terjamin keselamatan alam sekitar, serta terbukti kos efektif kenapa arang batu dipilih berbanding biomass, perkara itu wajar didedahkan untuk tatapan umum kerana saya juga ingin mengetahuinya. Kita semua boleh membuat perhitungan sendiri menurut kebijaksanaan masing2.

Kecuali ada penjelasan yang lebih baik dan memuaskan hati, buat masa ini, jika projek arang batu di Lahad Datu itu tetap diteruskan, saya secara peribadi berpendapat bahawa kerajaan telah memilih untuk menyelamatkan 'arang' berbanding 'orang'. Dan kita semua tahu bahawa rakyat Sabah hari ini bukan lagi sembarangan orang. Fixed deposit yang mereka kata ini sudah tahu menilai jika ada musang yang cuba berbulu ayam.

Sunday, May 16, 2010

Hari Guru Yang Mendukacitakanku..

Mau tidak mahu, saya harus bercakap. Bukan menentang orang besar atau pihak atasan, jauh sekali "menderhaka". Saya sebenarnya sekadar menambah, mana tau ada yg ter(?)kurang...Dan saya lakukan ini kerana cinta kepada profesion saya, cinta juga kepada rakyat yang sedikit sebanyak ikut terjejas khususnya berkaitan pendidikan.


Adapun pengumuman ganjaran kpd sekolah cemerlang dgn prestasi tinggi, yang diumum hari ini, sempena Hari Guru 2010, saya khuatiri kurang adil kpd sekolah harian biasa khususnya luar bandar. Bukan saya orang pesimis atau guru yg non aktif. (Bahkan, berdasarkan pencapaian peribadi saya dlm beberapa hal dlm profesion ini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa saya mungkin antara guru terbaik dalam ini negara. Maaf, saya harus nyatakan ini kerana orang kita suka buat persepsi: orang membangkang biasanya lemah, jahil, kerja cincai dan sebagainya). Sedangkan, biasanya, Bila saya bercakap, tentu ada yang tak kena. Demikian juga bila SAM bersuara, hmmmm....


Baiklah, cuba fikir dgn logik, rasional dan saksama dalil-dalil berikut: 1. Sek menengah luar bandar misalnya di Kota Marudu, Sabah, menerima pelajar dari feeder school luar bandar/perbukitan yang berprestasi rendah, yang antara lainnya akibat sosio-ekonomi mereka yg rendah. Maksud saya: input yang tidak berkualiti. 2. Kebiasaannya, pihak SMK terpaksa memulihkan mereka. Memotivasikan anak-anak perbukitan ini. Dengan kegigihan guru2, dapatlah beberapa star di pkt PMR. Sayangnya, stars ini kemudiannya memasuki sekolah berprestasi tinggi misalnya MRSM dll. Yang tinggal?... 3. Yang tinggal biasanya yg gagal, yg berprestasi sederhana. Pihak guru tanpa jemu mendidik lagi. Dan dapatlah melahirkan beberapa star di peringkat SPM. Namun mendukacitakan, perkara no.2 di atas terjadi lagi. Begitulah sehingga peringkat STPM. 4. Sekolah2 luar bandar juga, sering menerima "input" kelas dua. Guru sandaran tidak terlatih biasanya lebih ramai dimana? Sekolah harian luar bandar atau sekolah berprestasi tinggi di bandar2? - tolong jawab dgn jujur! Ini belum termasuk input2 lain.


Nah, bagaimana sekolah harian biasa luar bandar boleh setaraf sekolah berprestasi tinggi yg memangpun diprogramkan tinggi prestasinya? Hal ini pernah saya kemukakan selaku "ketua pembangkang dalam patlimen" semasa Debat Ala Parlimen sempena Hari Guru peringkat negeri Sabah 2009.


Harap pemberian ganjaran ini diteliti lebih telus dan saksama. Apapun, jika ianya sudah muktamad, "kami hanya menurut perintah". cuma kami risau, "ganjaran yg diharap memotivasikan, sebaliknya akan berlaku". Dan jika ini berlaku, jangan kata kami tak menyampaikan idea membina. Saya secara peribadi berpendapat, saya tak tertarik sangat dengan "skim ganjaran" itu kerana: 1. Saya dah berpuas hati/bersyukur dgn gaji saya (yang berkat), 2. Ganjaran lebih besar saya harapkan dari Allah SWT. 3. Saya berkerja sehabis baik kerana saya suka melakukannya dan bukan kerana kemaruk ganjaran. Saya tegaskan di sini: saya tidak perlu ganjaran bila prestasi tinggi, tapi jangan sesekali saya didenda/dikutuk bila prestasi menurun! Saya akan marah kerana: 1. Guru mengajar bertambah baik setiap tahun kr bertambah skill dan sumbernya, 2. Murid berbeza tiap tahun. Ada kalanya trend murid ni bagus pd tahun tertentu dan "lembab" pada tahun tertentu. 3. Soalan bukan sama tiap tahun, maka keputusan prestasi secara saintifiknya tidak boleh dibanding antara tahun.


Sebenarnya, kalau mau angkat prestasi pendidikan khususnya luar bandar, banyak faktor lain termasuk sosio-ekonomi-demografi masyarakat serta kemudahan prasarana dalam masyarakat. Dan saya mau tanya: apakah aspek ini pun pihak guru yang perlu buat?...


Sekali lagi, para pemikir pembangunan hendaklah merekacipta plan pembangunan yang bersepadu. KPM dan kementerian lain perlu berintegrasi. Misalnya, KPM hantar guru di perbukitan, siapa perlu hantar air, api, jalan ke sana?... FIKIR-FIKIRKANLAH...

Saturday, May 15, 2010

Kekeliruan Tentang Sang Guru...

Esok, 16 Mei, Sambutan Hari Guru. Hati terharu kerana ramai bekas pelajar memberi ucapan via sms, fb dan lisan. Terima kasih.


Ramai yg cemburu kepada guru. Banyak cuti kata mereka. Sebenarnya, warga guru rugi besar. Peruntukan cuti (cuti rehat) nya hanya 7 hari. Kakitangan perkhidmatan lain layak sehingga 35 hari (rujuk Perintah Am Bab C). Dan perlu diingat, cuti yang tidak terpakai, boleh dikumpul dan diakhir perkhidmatan boleh "jadi duit"! Maksudnya, sang guru dapat "sikit duit" atau tak dapat pun kerana selalunya, cuti 7 hari itupun tak cukup. Memang guru "cuti" masa cuti sekolah tapi sebenarnya itu bukan cuti mutlak. Para guru tetap dipanggil bertugas atau bertugas di rumah, sedia rancangan mengajar, periksa kertas peoeriksaan, jadi pengawas PMR, SPM, STPM, dan sebagainya. Dan hal-hal begini orang tak sedar... Ramai orang cemburu guru kerja separuh hari. Betulkah begitu? Cuba kira baik-baik. Waktu bertugas seorang guru sebenarnya tidak ketentuan. Yang pasti bermula jam 7. Perkhidmaran lain mula jam 8. Banyak sekolah sekarang berlarutan sehingga 3.30 - 4 pm. Kadang-kadang dikerah kerja sampai malam bila ada program khas melibatkan pelajar. Dan kena ingat, guru tidak ada peruntukan kerja lebih masa! Sekali lagi kaum guru rugi! Apakah masyarakat sedar kerugian ini? Guru juga dicemburui kerana gaji besar! Logiklah! Guru-guru sekarang paling rendahpun berkelulusan diploma. Majoriti sudah berijazah, bahkan ada yang ada master dan phD. Sebenarnya guru rugi. 10 tahun kerja belum tentu dapat kenaikan gred (walaupun sudah melepasi semua kelayakan). Berbeza dengan skim perkhidmatan lain. Ada yang baru 8 tahun kerja sudah naik DG44 dan seterusnya. Ramai kata kerja guru senang! Senang? Saya yang dah rasa beberapa jenis kerja (termasuk usung senjata), mengakui bahawa jadi guru ini paling susah, paling rencam, paling menekan perasaan dan memeningkan. Seorang doktor misalnya, siapa peduli jika ada pesakit mati dilanggar kereta dalam kawasan hospital? Para pegawai tak akan dipersalahkan. Bukan tanggungjawab. Tapi kalau pelajar kena langgar dalam kawasan sekolah? Sedialah untuk ke mahkamah. Polis kalau ter(?)tembak suspek, belum tentu dikutuk, cuba kalau guru cuma melebamkan murid, sedialah untuk "biru mata ditumbuk timur" (lelucuon orang Sabah. Jangan salah faham ya). Dan siapa tahu, siapa ambil tahu betapa guru-guru sekarang dibebani berbagai tugas tambahan yang bukan bidang tugas hakiki. Misalnya PLKN suruh sekolah buat kerja, jabatan macam2 pun minta kerjasama sekolah buat kerja untuk mereka. Urusan insuran oleh syarikat insuran pun sekolah (guru) yang kena urus! Ini baru sebahagian tugas yang "dilambak" untuk guru-guru! Banyak lagi yang boleh saya dedahkan tentang malangnya skim perkhidmatan pendidikan. Tidak perlulah saya nyatakan pengorbanan wang ringgit untuk menjamin kemenjadian murid-murid. Murid-murid manakan tahu, mereka pasti ingat itu duit peruntukan khas untuk mereka. Nah, artikel ini adalah hadiah istimewa saya pada sahabat2 sejawatan saya. Guna dalil ini jika ada yang cakap- "untung betul kamu. Ringan benar kerjamu..." Kepada pihak kerajaan khususnya "bos" kami, sila ambil perhatian perkara ini. Ini baru sedikit "bos", saya/kami boleh beritahu lebih banyak lagi. Banyak lagiiii... Meskipun dadaku bergetar dan jiwaku sedikit tersentuh, sekali lagi kuucapkan : "Selamat Hari Guru. Jika kita tidak diingati atau dihargai, tidak mengapa. Kita sebagai guru, mari kita ingati guru-guru kita!". SALAM HORMAT, SALAM SAYANG DARI SANG GURU YANG KELELAHAN...

Hanafiah Zulkifly: Syair Teluk Marudu

SYAIR TELUK MARUDU
Tersebut kisah sebuah cerita
Sebuah daerah utara negara
Teluk Marudu diberi nama
Terbentang indah hujung benua.

Lautnya cantik mengalun ke tepi
Tak buat onar walau sehari
Setiap waktu rezeki diberi
Sekalian nelayan senyum sendiri.

Tiga daerah ada di tepi
Bandar Kudat sebelah kiri
Pitas megah utara sekali
Kota Marudu di tengah bumi.

Syarif Osman pembesar dahulu
Memerintah wilayah tanpa diganggu
Datang penjajah bertalu-talu
Mahu merebut wilayah itu.

Semangat juang tak pernah kurang
Pahlawan dikerah menghunus parang
Musuh yang datang pasti ditentang
Walau tentera serba kurang.

Pahlawan kita tidak berlengah
Walau terdesak dan hampar kalah
Rela mati dari menyerah
Teluk Marudu bermandi darah.

Berjuang gagah tak takut mati
Syarif Osman tidak terkecuali
Tak mahu menyerah tak mahu lari
Rela gugur di bumi sendiri.

Telah tersurat sejak azali
Perjuangan suci berakhir begini
Pahlawan gagah tersungkur mati
Dibunuh musuh ganas tak terperi.

Tanda didiri sebagai ingatan
Untuk panduan sekalian watan
Kubur berpagar berbatu nisan
Tanda gugurnya seorang insan.

Dayang Cahaya isteri disayangi
Meredah hutan selamatkan diri
Timur Marudu jalan dicari
Bersama rakyat juga menteri.

Rakyat jelata di kaki gunung
Aman dan damai hidup berkampung
Setiap hari bergotong-royong
Semua kerja sekali harung.

Hidup aman penuh beradat
Nasihat dan pesan pasti dibuat
Segala teguran pasti diingat
Janji diikat janji disemat.

Datang penjajah membuat onar
Hukum dan adat semua dilanggar
Benda terlarang semua dibenar
Jantung rakyat semua bergegar.

Raja zalim tak boleh berkuasa
Pegangan si Gunting pahlawan perkasa
Langkah diatur membuang dosa
Singkir penjajah segenap nusa.

Markas Sorinsim terus dibina
Kubu,senjata terus dijana
Rakyat diingat agar tak lena
Supaya hidup tidak merana.

Helah si Gunting bijak sekali
Musuh dihalang berkali-kali
Hasrat tercapai musuhpun lari
Rakyat bahagia hidup sendiri.


Aki Rindongon juga begitu
Menentang musuh yang tak tahu malu
Melanggar adat bertalu-talu
segala hukum buat tak tahu.

Marudu kini punyai kota
Bandar kecil deretan kereta
Kedai dibina merata-rata
Rakyat makmur hilang derita.

Pekan Kudat juga meningkat
Rakyat berjaya serata peringkat
Musuh durjana telah diikat
Segala kemajuan pasti diangkat.

Tun Mustapha kelahiran Kudat
Pahlawan gagah pemimpin berbakat
Menjana idea dan juga kudrat
Bebaskan Sabah dari penghianat.

Pitas di hujung agak terpencil
Banyak rusa dan juga kancil
Daerah besar pekannya kecil
Bangunlah pemimpin jangan mengucil.

Walau pelbagai bantuan tiba
Teluk Marudu masih berhiba
Berbagai janji tak kunjung tiba
Rakyat bingung teraba-raba.

Terasa kosong di dalam jiwa
Bantuan tiba bagai tak bernyawa
Rakyat murung rasa kecewa
Bagai semuanya masih disewa.


Tambuyukan gunung yang tinggi
Tempat si Gunting sehari-hari
Pelancong datang jika di promosi
Jauh dan dekat pasti kemari.

Kimaragang suku yang ramah
Pandai bertani juga bersembang
Tandek dan Pitas membina rumah
Kaum yang hebat tapi tiada lambang.

Pekan Tandek seakan lesu
Bagai si kecil tak minum susu
Sudahlah kecil dan nampak lusuh
Bagai berdekad tidak dibasuh.

Wahai pemimpin datanglah bertandang
Tanyalah rakyat hilangkan bimbang
Kami juga jemu kalau lama tak dipandang
Carilah jalan binalah lambang.


Para pemimpin janganlah marah
Kalau marah kan cepat tua
Nukilan ini tandanya pasrah
Cinta kami tiada dua.

Kaum Rungus hebat berkarya
Anak-anak juga berjaya
Adat budaya terus dijaja
Semenanjung Kudat dialah raja.

Sungai Potogor mengalir lesu
Kuala Bongon tempat dituju
Monyet Belanda ada di situ
Pelancong suka kalau diberitahu.

Sungai Bengkoka mengalir gagah
Tempat berkampung masyarakat Sungai
Pinggan-pinggan di tengah-tengah
Pesat membangun tak lagi bersantai.

Pinggan-pinggan tanahnya lapang
Dataran Bengkoka diberi nama
Pesta Bengkoka terus berkumandang
Datuk Bolkiah punya jenama.

Kampung Rosob dia datang
Wajah tampan mesra bersembang
Rahim Bakri pemimpin matang
Timbalan Menteri yang kita sayang.

Angin menyapa di Kampung Malubang
Pantainya landai luas terbentang
Pulaunya cantik seakan Tanggang
Alun ombaknya berlagu riang

Haji Jaafar pendekar gagah
Kampung Telaga dia berasal
Sahabat karib Tun Mustapah
Menentang Jepun amatlah handal.

Muara Telaga Kuala Tengah
Tempat nelayan mencari nafkah
Muda-mudinya hebat main bola
Walau terpencil di hujung rimba.

Awal tahun pasti bah datang
Sungai Kinarom berwajah garang
Setiap tahun dia menyerang
Rumah rakyat habis tumbang.

Kinarom garang perlu ditentang
Jika tidak rakyatkan bimbang
Sungai ganas perlu dikekang
Biar tenang rakyatpun senang.

Piso,Banggi dan Kanibongan
Tiga wilayah sentuhan Pak Lah
Warga hidup dengan senyuman
Tanah yang subur ditanam getah.

Tasik Buyut punya lagenda
Kampung terbenam ditelan bumi
Ikannya cantik berganda-ganda
Pastinya ia kebanggaan kami.

Jauh terpencil kampung Samparita
Hendak ke sana naiklah kereta
Ada jalan tapi tak rata
Ini yang buat orang kampung derita.

Masyarakat ku ramai harus sepakat
Hubungan akrab perlu diikat
Carilah pedoman mohonlah berkat
Agar kita terus muafakat.

Syair ini hanya nukilan
Buat hiburan rakan dan taulan
Salah dan silap harap dimaafkan
Apa yang baik jadikan teladan.


HANAFIAH MZ
Tuaran
14 Mei 2010

Kita sama2 renungkan erti dan mesej yang disampaikan melalui syair nukilan cikgu Hanafiah Zulkifly yang sangat indah ini.


Friday, May 14, 2010

SEKOLAH VS ANAK TIRI

Salam perpaduan. Saya ingin menyambung artikel tentang 'Kebajikan Sekolah Tanggungjawab Siapa?' Terima kasih ulasan2 yang telah para pembaca titipkan dalam artikel terdahulu. Saya menerima semua pandangan dengan baik. Cuma izinkan saya membuat sedikit-sebanyak ulasan balas supaya kenyataan2 yang kita buat dapat diterima baik oleh semua pihak.

Dalam artikel terdahulu saya ada menyebut bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sabah (seperti yang disiarkan dalam Daily Express) agak tidak lengkap dan tidak konsisten dan itu menunjukkan seolah-olah beliau kurang arif tentang selok-belok pengurusan sekolah2 di negeri ini. Di akhir artikel tersebut saya menuliskan pendapat bahawa jabatan (pelajaran) harus memberikan perhatian yang serius untuk membantu sekolah-sekolah Cina dan sekolah-sekolah seumpamanya kerana sekolah-sekolah ini juga memainkan peranan yang penting dalam memajukan negeri dan negara kita.

Suka untuk saya jelaskan bahawa penulisan tersebut tidak bermaksud menidakkan atau tidak mensyukuri segala usaha kerajaan membantu sekolah2 jenis kebangsaan selama ini. Saya juga tidak menyatakan dengan secara spesifik bahawa pencapaian murid sekolah2 jenis kebangsaan lebih baik jika dibandingkan dengan pencapaian murid sekolah2 kebangsaan. Bagi saya tidaklah adil jika dibuat perbandingan sedemikian memandangkan dari segi bilangan sekolah sahaja sekolah kebangsaan jauh lebih banyak berbanding sekolah jenis kebangsaan.

Secara idealnya hanya satu jenis sekolah yang adil dan saksama adalah yang terbaik untuk diperkasakan di negara kita, tetapi malangnya (sekurang2nya sehingga saat ini) ia masih sukar untuk dicapai disebabkan oleh komposisi rakyat Malaysia yang dibentuk oleh masyarakat majmuk sejak turun-temurun. Sekolah Cina dan yang seumpamanya sudah ada sejak sebelum negara kita merdeka lagi. Setelah merdeka, sekolah2 ini tetap diteruskan untuk memelihara nilai2 dan budaya bangsa berkenaan. Bahkan ia juga boleh dianggap sebagai warisan dan khazanah negara kita yang multi-cultural.

Bahasa Cina yang ditekankan dalam sekolah Cina bukanlah kelebihannya, tetapi teras sekolah tersebut, sebab sekolah itu tidak akan dinamakan sekolah Cina jika ia gagal melahirkan murid2 yang cekap berbahasa Cina. Pendidikan Alkitab dalam sekolah2 mission bukanlah kelebihan sekolah tersebut, tetapi sebahagian daripada identiti sekolah berkenaan kerana ia dipelopori oleh mubaligh2 Kristian dan diteruskan oleh institusi2 gereja yang mendirikannya.

Janganlah hanya kerana identiti sekolah kita membuat kenyataan yang bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan. Ramai orang bukan Cina yang menghantar anak2 mereka ke sekolah Cina tidak juga menjadi orang Cina. Ramai orang bukan Kristian yang menghantar anak2 mereka ke sekolah2 mission, baru berapa orang yang diKristiankan? Kita jangan lupa bahawa ramai juga pemimpin Melayu dan bukan Melayu muslim di negara kita pada hari ini yang telah dilahirkan oleh sekolah2 mission.

Menyentuh tentang anak tiri, jika benarpun sekolah2 Cina dan yang seumpamanya dianggap anak tiri oleh jabatan/kerajaan, tetapi bukankah seorang bapa harus adil terhadap semua anak2nya? Jikapun mungkin rasa sayang seorang bapa itu berbeza terhadap anak kandung dan anak tiri, tetapi seorang bapa yang baik pasti akan melihat kebajikan semua anak2nya tanpa terlalu membeza2kan mereka.

Saya sendiri mempunyai seorang anak angkat (bukan hanya anak tiri) dan beberapa orang anak kandung. Meskipun perasaan kebapaan memang berbeza terhadap mereka, tetapi saya tidak abaikan tanggungjawab untuk mendidik dan menjaga kebajikan mereka semua dengan seadil-adilnya. Terima kasih kepada pengomen yang telah mengingatkan saya akan tanggungjawab ini.

Nota: Apabila seorang anak berasa kekurangan, kepada siapa lagi dia harus meminta kalau bukan kepada bapanya, walaupun bapa tersebut hanya bapa tiri.

NOTIS DARI ADMIN SAM: LAYOUT AKAN BERTUKAR

Masalah tidak ada perenggan pada setiap entri blog disebabkan kod html pada layout asal telah terpadam dan saya tidak ada cara lain untuk mengatasinya melainkan menukar layout blog ini.

Diatas persetujuan tuan timbalan presiden SAM,perubahan layout ini akan dilakukan segera untuk keselesaan para pembaca.


Nama Kekal Sama, Wajah...

Saya menulis dari Ranau. Hari ini saya ambil cuti rehat untuk belajar dan buat kerja-kerja sambilan untuk masyarakat, dan menemui rakan-rakan NGO sebelah sini, dan seperti biasa; " I did it my wayyyy..." ( lagu kesukaan saya).


(Gambar Hiasan: ...mutakhir dari lokasi...)

Oya, takdir menentukan, saya singgah sholat magrib dan Isyak di sebuah surau di sebuah kampung (sengaja saya tidak sebut di sini utk mengelak dijejaki rakan-rakan sebelah sini. Hehe...). Sempat mengikuti tazkirah malam Jumaat mengenai "Kaamatan dan Kesyukuran". Saya amat tertarik kerana saya pernah menulis tentang perlunya anjakan paradigma sambutan Pesta Menuai ini.

Menurut sang ustaz, kaamatan boleh disambut bahkan wajar disambut sebagai simbol kesyukuran dengan cara yang tidak bercanggah dengan syarak (bagi yang beragama). Dan paling mengembirakan saya bila dimaklumkan bahawa sambutan "Tadau Kaamatan" di kampung xyz ini akan disambut secara tradisional yang bersendikan agama. Jangan salah faham ya bang, ya kak, ya bu, ya pak. Bukan maksud saya bawa pembaca masuk Islam! Yang tersirat dalam idea "pengagamaan dalam kebudayaan bangsa" ialah untuk menyelamatkan budaya nenek moyang kita agar bangsa kita ada budayanya.

Saya sebenarnya risau. Saya melihat trend generasi muda Dusun/Kadazan yang ada agama, baik Islam, Kristian dan sebagainya, seakan menolak tradisi/kebudayaan lama kerana khuatir jadi "kafir". Takut syirik, takut rosak aqidah dan sebagainnya. Nah, itulah sebabnya, tradisi kita harus diberi nafas agama agar anak-anak muda kita tidak menjauh teruss...

Pengalaman saya menghadiri kenduri kesyukuran pesta menuai di sebuah surau semalam benar-benar mengujakan. Sesuai dengan idea anjakan paradigma yang saya sarankan sebelum ini. Maka, marilah kita mengagamakan budaya tradisi kita. Paling penting - mari kita bersyukur dengan cara kita masing-masing sepertimana nenek moyang jahiliah kita dulu-dulu pun tahu bersyukur meski dengan cara mereka yang kini kita tidak ikuti lagi.

Hmm, syukur ya Allah, Celcom Broadband bisa dipakai di sini, tika ini...

Thursday, May 13, 2010

Memori indah 1977-bahagian 5

......passing....passing....passing.....bungkusan nasi lemak bertukar tangan.Saya menghulurkan kepada Noryati...,Noryati kepada Afsah....Afsah bergerak selangkah dan menghulurkan kepada Irene...Irene menghulur kepada Elron....Elron menjangkau dan menghulur kepada Aziah dan akhirnya.....Gollll....bungkusan nasi lemak selamat disorok di bahagian belakang kelas.

Saya tercegat berdiri dihadapan pintu seperti bersedia untuk menerima hukuman.......siapa yang jual nasi lemak sini? Tanya ketua pengawas Terrence yang datang bersama pembantunya Sham Singh. Saya hanya menggeleng-gelengkan kepala manakala rakan-rakan sekelas menjawap bagi pihak saya......mana ada orang jual nasi lemak sini......Ragu-ragu dengan jawapan kami Terrence cuba memerangkap......kami dengar sini ada jual nasi lemak, kami bukan mau tangkap kami mau beli...Walau diasak dengan pertanyaan dan ungkapan-ungkapan yang berbaur perangkap, tidak seorang pun diantara kami yang mengaku ada menjual nasi lemak.Akhirnya Terrence dan Sham pergi meninggalkan kami.

Keesokan harinya saya menjadi perhatian dua pengawas ini - Terrence dan Sham. Menyedari saya diperhatikan kami mula mengatur strategi. Kebetulan bangunan sekolah kami hanya dua tingkat maka saya menjual nasi lemak di tingkat atas manakala rakan saya Noryati dan Afsah berdiri di tangga mengawasi pergerakan dua pengawas tadi.......Kee...kee...si Terrence datang....kata Noryati memberi amaran. Cepat-cepat saya beredar ke bahagian hujung bangunan lalu turun ke bawah. Bila Terrence turun saya naik semula keatas. Rakan-rakan yang hendak membeli nasi lemak pula cukup memahami dan bekerjasama. Mereka hanya membeli ketika pengawas tiada.

...Kee..., kau kan yang jual nasi lemak?.....Terrence dan Sham menyergah saya pada suatu hari. Belum sempat saya menjawap tiba-tiba Irene muncul dan memanggil saya....Irene...cepat mari sini kami cari-cari kau tadi....Terence dan Sham kelihatan terkejut.....Ehh...nama kau siapa? Irene atau Kee?.....Saya membiarkan Irene menjawap.....Nama dia Irene lah. Sham tidak percaya ....kalau dia Irene kau pula siapa? Sambil tersenyum lebar Irene menjawap.....Dia si Irene, saya Maria...si Kee dalam kelas.....Begitulah gelagat rakan-rakan sekelas saya sentiasa membantu tanpa perlu diminta.

Bukan mereka saja malah Ustazah Aminah juga memberi kerjasama. Beliau menyediakan sebuah bilik kecil dilengkapi sebuah meja dan tiga buah kerusi dibelakang asrama untuk dijadikan tempat saya menjual nasi lemak......Takpe....kat sini dia tak boleh tangkap awak...lagipun apa yang awak buat ni tak salah, pengetua mana faham yang kita ni tak boleh makan sembarangan.... dia kan non-muslim....takpe lah. Awak jual nasi lemak awak kat sini. Budak-budak muslim bolehlah makan disini......

Maka disitulah saya menjual nasi lemak setiap hari bebas tanpa gangguan. Rakan-rakan yang melanggan nasi lemak saya dapat datang makan dengan mudah tidak perlu lagi menyorok-nyorok macam dulu. Saya juga tak perlu lagi turun-naik tangga mengedar nasi lemak. Dan yang lebih cantik lagi Terence dan Sham turut menjadi pelanggan hahaha. Saya terus menjual nasi lemak dan nasi kuning berlauk kari daging sehinggalah saya di tingkatan lima. Saya hanya berhenti berniaga tiga bulan sebelum menduduki peperiksaan MCE (Malaysian Certificate of Education) dan perniagaan nasi lemak saya diwarisi oleh Ustazah Aminah........mak...mak...pulang!

............................................T A M A T

Wednesday, May 12, 2010

Memori indah 1977-bahagian 4

.......eeelalaaa....kurang asam punya siput babi....habis ranap sayur saya kau pigi makan....Benih sawi yang saya semai langsung tidak berdaun lagi.Belum hilang penat mencangkul tanah membuat batas dan menyemai benih tiba-tiba ditimpa pula dengan musibah oleh sang siput.Tidak berputus asa saya menyemai benih sawi sekali lagi dan lagi dan lagi dan lagi.......namun semua tidak berhasil kerana sang siput terlalu banyak dan saya tidak mempunyai wang untuk membeli racun siput......inda payahlah bah kau tanam sayur tu,penat saja kau dapat.Banyak betul siput babi tu.....kata kakak kesihan melihat usaha saya yang berakhir dengan kegagalan......kalau kau mau cari duit senang ja...kau cuci dan seterika baju aku tiap-tiap hari...kata abang.Saya setuju dan tanpa berlengah saya terus menjalankan tugas.Dapatlah saya tambahan wang saku sebanyak RM20 sebulan.Tetapi tidak lama kemudian abang berpindah setelah mendapat pekerjaan di Inanam.Abang menyewa sebuah bilik di Inanam untuk memudahkan beliau ke tempat kerja maklumlah 33 tahun lalu dari Penampang ke Inanam mengambil masa lebih satu jam lebih-lebih lagi jika menggunakan bas.Menunggu bas saja mengambil masa yang panjang tidak seperti hari ini yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.Dengan ketiadaan abang saya terpaksa mencari sumber pendapatan lain.Saya meninjau-ninjau kedai-kedai runcit di sekitar Lido jika ada yang berminat mengambil pekerja sambilan namun hampa.Balik ke rumah saya melihat abang ipar saya Imran sedang berbual-bual dengan kawannya yang sama-sama bertugas di RTM Kota Kinabalu.Menurut abang ipar saya,isteri kawannya ini sangat pandai memasak dan beliau berniaga nasi lemak bungkus di RTM......Woww!!!....kalau aku pajak nasi lemak dia ni pas tu jual balik di sekolah ada juga duit aku....good idea ni.Mesti kawan-kawan aku mau.Lagipun operator kantin sekolah non-muslim,aku jual nasi lemak sama kawan-kawan muslim sajalah....yes!!..ini kali lah....Bertuah sungguh rasanya kerana kawan abang ipar saya bersetuju membekalkan saya nasi lemak sebanyak 20 bungkus sehari dan menghantarnya ke rumah seawal jam 5 pagi sebelum saya berangkat ke sekolah.Saya membeli nasi lemak itu sebungkus pada harga 40 sen dan menjualnya semula di sekolah pada harga 50 sen sebungkus.Dalam hati saya sudah menghitung keuntungan yang bakal saya terima.....hmm untung 1 bungkus 10 sen x 20 bungkus = $2.00 sehari x 5 hari (isnin-jumaat) = $10 seminggu x 4 minggu.........fuyooo.....$40.....kaya oooo....aku cuci kain baru dapat $20... penat lagi tu....Maka saban hari saya ke sekolah menggalas sebuah beg dan membimbit sebuah bakul plastik yang berisi 20 bungkus nasi lemak. Berdiri dan bergayut di palang bas tidak menjadi masalah yang penting bekalan nasi lemak tetap dibawa.Rakan-rakan sekelas saya memberi sokongan padu pada saya.Bukan saja mereka membeli nasi lemak yang saya jual,mereka juga turut sama membantu saya menjual pada rakan-rakan di kelas lain.Satu hari pengusaha kantin telah membuat laporan kepada pengetua sekolah tentang ujudnya sindiket penyeludupan nasi lemak di sekolah.Sewaktu perhimpunan pengetua sempat berpesan supaya aktiviti menjual nasi lemak itu dihentikan dan jika si penjual dapat di tangkap hukuman buang sekolah akan di kenakan.Dalam hati saya berfikir takkan lah nasi lemak 20 bungkus ini boleh menjejaskan pendapatan pengusaha kantin yang memonopoli pasaran disekolah.Saya tidak hirau dengan amaran pengetua malah terus memasarkan nasi lemak yang semakin banyak permintaannya.Bukan itu saja menu juga bertambah,saya kini menjual nasi lemak dan nasi kuning berlauk kari daging.Supaya tidak tertangkap saya menyorok bekalan nasi lemak didalam kelas sebaik tiba di sekolah dan menghantar kepada pelanggan saya secara rahsia.Tiba-tiba.........passing...passing.......passing........ ................bersambung

Tuesday, May 11, 2010

SATU Tandek...

Semalam AJK penganjur majlis Hari Keluarga SATU Tandek 2009 telah bermesyuarat post mortem dan merangka AJK baru bagi sambutan 2010. Sebagai imbasan semula ingin saya paparkan semula apa itu "SATU". Maksudnya begini: S = Sambion bin Sandion (Tokoh sebelah Kg. Tingkalanon. Lahir sekitar 1850-an). A= pAmansah (Tokoh sebelah Tg.Batu dan Koromoko. Adik Panglima Tumunda). T= Tumunda (Tokoh sebelah Salimandut/Morion. Berbiras dengan Aki Sambion). U= lindUngan B. Bantugan (Tokoh sebelah Pairan/Pitas. Anak lelakinya Unggut mengawini anak Aki Tumunda).


Dari sinilah membesarnya saiz keluarga kita yang juga membentuk Bangsa Kimaragang di Tandek. Jadi tidak keterlaluan jika saya katakan; "1Keluarga, 1Bangsa"! Ok, saya kembali kepada mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut, Saya diberi kepercayaan untuk mempengerusi. Saya terima dengan niat untuk berkhidmat. Dan langkah pertama saya usulkan ialah pengujudan "Lembaga Penasihat Keluarga" yang dipilih dari tokoh veteran yang mewakili 4 tokoh keluarga masa silam kita. Mereka ialah: 1. En. Madina Unggut (cabangnya Aki Lindungan B. Bantugan), 2. En. Omar Majun (cabangnya Aki Tumunda B. Yunginit), 3. En. Baun B. Panangah (cabangnya Aki Pamansah B. Yungonit) 4. En. Dominik Gorotom (cabangnya Aki Sambion b. Sondion). 5. Pn. Jukinah Adun (wakil aktuvis wanita).


Saya sebenarnya berhasrat agar keluarga besar kita ini punya "Lembaga Penasihat" yang boleh menguatkan dan menyatukan kita atas dasar kekeluargaan dan kebangsaan kita sebagai Momogun/Dusun Kimaragang Tandek. Barangkali masih ramai yang mempersoal pemilihan "SATU". Ia sebenarnya berdasarkan analisis salasilah yang diketahui setakat ini. Jika kita mendalami salasilah kita di Tandek, kita tidak akan dapat mengelak untuk tidak ada kaitan kekerabatan dengan empat tokoh era 1850-an ini. Kalau tidak sebelah ayah, sebelah ibu, bahkan sebelah menyebelah pun ada! Itulah sebabnya dlm bangsa kita Kimaragang ini terkenal slogan "Tokou eh Tokou" ( kita-kita juga baini!)... Saya bersyukur kerana Tuhan memberi ilham kepada saya memilih SATU itu dan berterima kasih kepada rakan-rakan AJK yang dengan pantas memahami maksud tersirat di dalam " SATU" itu.


Saya harap untuk masa-masa akan datang, keluarga kita, bangsa kita ini mengurangkan kontroversi sebaliknya menambah perpaduan, kasih sayang dan pengorbanan. Kerana..."apakah belum tiba masanya untuk menguatkan yang lemah dan menyambung yang putus?"... Demi Allah yang nyawaku di dalam genggamanNya, aku cinta keluargaku, bangsaku, dan aku ingin benar melihat ia kuat, berjati diri, maju dan mandiri. Secara peribadi, hanya ini yang saya mampu lakukan utk keluarga, bangsaku. Pasti sdr/i juga ingin berkhidmat dan berbakti. Mungkin cara berbeza, mungkin wadah tak sama, tidak mengapa. Dirgahayu keluargaku, bangsaku!...



(Gambar Hiasan: 1Keluarga, 1Bangsa)

Gurindam Satu Tandek

GURINDAM SATU TANDEK

Kampung ku indah namanya Tandek
Dataran rendah Teluk Marudu
Walau lesi ku pandang cantik
Sinilah tempat kami beradu.

Asal mulamu bernama DOBUR
Tumbuhan paya aneka duri
Walaupun mundur kami terhibur
Suatu masa pasti berseri

Lapan pintu kedainya dulu
Binaan kayu kukuh dan gagah
Sinilah kami berkunjung selalu
Membeli-belah pelbagai juadah.

Jambatan kayu jadi pengikat
Dua daratan tetap bersatu
Pelbagai kaum hidup sepakat
Amal budaya perpaduan jitu.

Pekan kecil di mulut tanjung
Tempat menetap keluarga Pak Nain
Nelayan kecil pasti berkunjung
Menjual ikan di tamu Isnin.

Kaum petani tidak ketinggalan
Tamu ditunggu setiap minggu
Buah-buahan pasti di pasarkan
Buat membeli garam dan baulu.

Ada yang datang berperahu
Ada yang datang menunggang kerbau
Ada yang datang tak bersepatu
Ada dari jauh berbatu-batu.

Tahun berlalu dekad berganti
Kedai yang dulu menyembah bumi
Pekan baru sedia menanti
Di sini cinta kami tetap bersemi.

Bukan emas bukan suasa
Semanis madu sesedap rasa
SK Tandek sangat berjasa
Membangun umah sekalian bangsa.


Akal dan minda terus dikerah
Menimba ilmu tak pernah leka
Di sinilah ilmu mula dicurah
Buat pedoman dihari muka.

Guru mendidik murid belajar
Ilmu dicurah sangatlah laju
Ilmu yang baik terus dikejar
Agar hidup bertambah maju.

Kee Abdul Jalil guru berjasa
Jauh kembara beribu batu
Murid disuruh gigih berusaha
Menggapai ilmu setiap waktu

Bergulung kain jemur di ampaian
Pelbagai warna aneka gaya
Menggunung harapan menjulang impian
Tekad dipacu untuk berjaya.

Buah papaya buah betik
Sama rasa boleh dipetik
Cikgu Pungawon rajin mendidik
Memajukan bangsa menjulang naik.

Bangun pagi nampak menyerlah
Muka dibasuh terus berseri
Tersenyum indah bangunan sekolah
SMK Tandek nama diberi.

Tersergam cantik nampak berseri
Jabatan kesihatan punya bangunan
Rawatan percuma pasti diberi
Ubat dan nasihat juga dihulurkan.

Aki Tumunda Aki Sambion
Tokoh terbilang leluhur kita
Pejuang gigih Aki Rindongon
Sanggup mati tak takut derita.

Semangat juang perlu diikut
Hantu dan setan tak perlu ditakut
Tanamkan niat tak perlu sebut
Semua peluang mesti direbut.

Ahli terpilih silih berganti
Dendangkan janji segenap ceruk
Kemajuan dicita tapi masih lesi
Agaknya sistem penyampaiannya teruk!

Kalau begini nasipnya badan
Pasti merana tidak keruan
Patutkah kita mengubah haluan
Mencapai cita penuh kegemilangan?

Bangunlah kawan basuhlah muka
Dendangkan tekad maju ke hadapan
Bangunlah bangsa buanglah duka
Capailah cita gapailah harapan.

Walaupun lesi tapi tak jelik
Laungkan kemajuan tak pernah serik
Tandek ku sayang setiap detik
Tak luntur kasihku walau setitik.

Guridam ini hanya hiburan
Buat tatapan rakan dan taulan
Salah dan silap harap dimaafkan
Ku hulur salam ku hulur perpaduan.



HANAFIAH MZ
http://marudutuaran.blogspot.com


Pihak SAM mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Cikgu Hanafiah Zilkifly kerana kesudian beliau membenarkan admin SAM untuk menerbitkan karya2 beliau untuk menjadi perkongsian kita bersama.Ini bukanlah seloka/gurindam semata-mata tetapi mempunyai mesej dan pengajaran yang cukup berguna kepada kita terutama generasi baru.

SELOKA KAMPUNG TINGKALANON

Lugu Tolungung bahagian ulu
Tongkungon bahagian hilir
Lopungon nama dahulu
Tingkalanon kini digilir.

Dusun Kimaragang suku utama
Masyarakatnya hidup bahagia
Padi dan kelapa sumber bersama
Seia sekata hidup ceria.

Sungai jernih mengalir tenang
Walau cetek tak pernah leka
Sawah dan bendang habis digenang
Padi dan huma subur belaka.

Kambing dan kerbau riang meragut
Ayam dan itik turut semua
Lembu juga turut merumput
Kuda pula seekor dua.

Langsat dan tarap lebat berbuah
Mangga bulunu demikian juga
Pisang dan jambu melimpah ruah
Jadi kegemaran anggota keluarga.

Sawah terbentang luas menghijau
Tali air mengalir damai
Padi tumbuh berelau-relau
Hasil mekar dituai ramai.

Rumpun buluh tumbuh melata
Tumbuh subur tepian sungai
Pokok getah juga merata
Padi huma turut dituai.

Aki Tumunda tokoh terbilang
Aki Sambion tak kurang hebat
Cucu dan cicit berbilang-bilang
Semuanya kaum kerabat.

Aki Rindongon pahlawan dijulang
Tinggi adab budi pekerti
Musuh durjana pasti dihalang
Walau tubuh tergantung mati.

Pawai Ein tokoh ternama
Ketua kampung berdekad lama
Walau pendek karisma cara
Pemutus kata dalam bicara.

Lanjut usia dimamah waktu
Jawatan penting beralih tangan
Pakcik Pangagin kini sekutu
Memimpin bangsa penuh ketenangan.

Baudi, Madinah dua saudara
Ahli Parlimen bijak berkata
Omar Majun juga mara
Wakil rakyat kebanggaan kita.

Zaman berubah wakil bertukar
Vilson Malingka punya giliran
Saibul Supu juga mekar
ADUN kita jadi pujaan.

Zulkifli Majun tidak dilupa
Yayasan Sabah majikan dicinta
Masyarakat kampung mahu berjumpa
Amanah Rakyat, asrama mahu dipinta.

Kelip-kelip penghias malam
Burung pungguk turut berbunyi
Ceria penduduk tak pernah suram
Unggas semua turut menyanyi.


Anak-anak tak pernah lelah
Ke SK Tandek menimba ilmu
Bila remaja ke sekolah menengah
Mencari ilmu tak pernah jemu.

Tamat sudah peringkat rendah
menara gading jadi tumpuan
Menjulang bangsa menjadi mudah
Jika masyarakat semua ilmuan.

Jurutera akauntan dua tiga
Guru-guru ilmu di dada
Taukeh kontraktor ada juga
Pesawah petani berganda-ganda.

Polis bomba juga tentera
Jalankan tugas penuh setia
Wartawan kanan di Singapura
Relawan rakyat juga sedia

Jampi serapah penuh mistik
Amalan lama dalam perubatan
Ubat hospital walau setitik
Kini popular dalam kehidupan.

Kampung ku sayang bagai permata
Tempat tinggal syahdu dan berkat
Walaupun jauh di pandang mata
Di dalam hati terasa dekat.

Seloka ini hanya hiburan
Buat teladan kita semua
Salah dan silap harap dimaafkan
Ikatan persahabatan dipinta jua.


HANAFIAH MZ
05/05/2010

Memori indah 1977-bahagian 3

Melihat saya menghitung wang saku yang sememangnya tidak cukup, rakan sekelas saya NGADIMIN KALIWON memberi idea.Kebetulan dia tinggal di Gaya Park sebuah taman perumahan yang terletak berhampiran taman perumahan tempat kami menginap iaitu Teck Guan Villa.Kata Ngadimin....Kee,bagus kau pakai kad bulanan bah.Penampang Union Transport ada perkhidmatan bas sekolah pigi Likas sama Tanjung Aru.Murah ja tu tambang dia.Kita pigi tanya nanti di stesen...kau mau? Melihat peluang yang mendatang cepat saja saya mengangguk.Di stesen bas saya menemui petugas yang menguruskan tiket bulanan dan saya diberitahu tambang dari Batu 3 Jalan Penampang ke SMK Likas adalah sebanyak RM17.25 sebulan.Bas hanya ada 2 buah.Bas pertama akan berlepas pada jam 5.50 minit pagi dan bas kedua pula akan berlepas pada jam 6.10 minit pagi.Jika saya terlepas kedua-dua bas ini bermakna saya terpaksa naik bas lain dan membayar tambang lagi kerana kad bulanan ini hanya boleh digunakan dalam bas sekolah.Ini bermakna saya perlu berada di perhentian bas jam 5.45 minit pagi...Ok.....tambang $17.25 ertinya aku ada lagi baki $12.75 bolehlah bikin beli buku latihan.Maka setiap hari seawal jam 5 pagi saya sudah bersiap untuk kesekolah.Bas memulakan perjalanan dari pekan Donggongon dan berhenti di setiap perhentian bas sepanjang jalan Penampang untuk mengambil para pelajar yang belajar di SM St Francis Convent,SM Tshung Tshin,SM Kian Kok,SM Shantau,SMK Likas,SM Teknik,SM Lok Yuk dan SM All Saints.Bila tiba ditempat saya menunggu bas sudah penuh sesak malah ramai pelajar yang terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah penuh.Beginilah saya setiap hari berdiri bergayut dipalang bas.Bila ada pelajar yang turun di SM St Francis Convent atau SM Tshung Tshin barulah ada tempat duduk yang kosong.Ada kalanya saya terpaksa berdiri sampai di sekolah.Tidak mengapa yang penting tambang murah...hehehe.Kawan saya Ngadimin pula pergi kesekolah mengayuh basikal.Jimat dan menyihatkan.Keperluan saya semakin meningkat,dari keperluan alat tulis hinggalah makan minum sewaktu disekolah.Baki wang sebanyak RM12.75 tidak mencukupi.Saya perlu berbuat sesuatu.Kalau di kampung saya boleh menjual sayur atau kelapa kering.Paling tidak pun mama boleh tolong buatkan kueh atau agar-agar untuk saya jual disekolah......Hmm...bagus tanam sayur di belakang rumah ini.Kurang-kurang pun boleh jual sama jiran.....saya menbuat rancangan.Mula-mula saya bersihkan belakang rumah.Tanahnya agak kurang subur tapi itu bukan halangan.Saya mula membuat batas dan tapak semaian lalu menyemai benih sawi yang baru saya beli dengan penuh harapan.Setiap hari lepas waktu sekolah saya ke kebun sayur dibelakang rumah.Hati saya begitu girang melihat benih sayur yang saya semai mulai tumbuh.Tak sabar rasanya menunggu sayur itu membesar......namun dalam kegembiraan itu tiba-tiba........alamakkkk......kurang asammmmm.......... .................bersambung

Monday, May 10, 2010

Memori indah 1977-bahagian 2

......kami tidak percaya kau orang Sabah.Kau pandai cakap bahasa Sabah sebab kau sudah lama sini kan...?.Kata pelajar Eurasian yang dengan sendirinya telah melantik dirinya menjadi jurucakap kumpulan.Dalam hati saya tertanya-tanya....kenapa bah ini urang putih ini cari gaduh sama saya...belum lagi dia kenal ini cicit Panglima Tumunda ini....jangan kau main-main ini urang Tandek....Saya cuba bertenang dan mengawal keadaan.....Beginilah....bagus kamu semua ikut saya jumpa timbalan pengetua sekolah,kamu tengoklah sendiri surat beranak saya,masih ada dalam simpanan cikgu masa saya mendaftar tadi...Saya memberi cadangan.Saya tidak mahu salah faham ini berlarutan lebih-lebih lagi melihat rakan baru saya yang ketakutan...What seems to be the problem? Mr Chan bertanya pada saya bila melihat saya masuk ke ruang pejabat beliau diiringi rakan-rakan sekelas saya...Sir,i need to show them my birth certificate to confirm that i am a Sabahan,they thought i am a West Malaysian sir...Ketawa gelihati Mr Chan menunjukkan surat beranak saya yang jelas tertera THE COLONY OF NORTH BORNEO.....Malu....mereka berlalu tanpa sepatah kata,tanpa permohonan maaf namun saya tidak kisah sebab yang penting sudah terbukti bahawa saya adalah anak jati Sabah.Saya terus menjalinkan persahabatan dengan semua rakan sekelas saya malah rakan dari Mentakab - AZIAH AZIZ menjadi rakan karib disamping rakan-rakan lain seperti NORYATI HAMZAH,AFSAH MD YASSIN termasuklah DATUK ELRON ALFRED ANGIAN dan isteri beliau DATIN MARIA CONCEPCION OMAMALIN.Selama dua tahun kami belajar dalam kelas yang sama.Masa berlalu dan saya terus melangkah merangka pelan pendidikan yang perlu saya harungi.Saya memohon untuk tinggal di asrama sepanjang pengajian namun ditolak atas sebab bapa saya mempunyai rumah berhampiran.Memang benar bapa ada membeli rumah di Penampang tetapi 33 tahun lalu perjalanan dari Penampang ke Likas tidak semudah hari ini.Ketika itu langsung tidak ada mini bas.Pengangkutan awam yang ada ketika itu didominasi oleh 3 syarikat besar iaitu Penampang Union Transport bagi kawasan Luyang dan Penampang,Tuaran Union Transport bagi kawasan Likas,Inanam,Menggatal,Telipok hingga Tuaran dan Luen Thung Transport bagi kawasan Kepayan,Putatan dan Tanjung Aru.Bilangan bas pula amat terhad.Pada mulanya kakak mencadangkan saya kesekolah menaiki bas sekolah yang disewa khas.Malangnya tambang yang dikenakan terlalu tinggi iaitu sebanyak RM40 sebulan sedangkan wang saku kiriman bapa dari kampung hanyalah RM30 sebulan......adehhh...kelapisan lagi saya ini...mana mau cari baki RM10 ini?....kalau naik bas biasa terpaksa dua kali...dari Penampang pigi KK lepas itu dari KK pigi Likas....aik nah...berapa sudah tambang itu....dari Penampang (Batu 3) pigi KK tambang 35 sen,dari KK pigi SMK Likas 55 sen sudah 90 sen.Pulang balik RM1.80 satu hari kalau satu minggu Rm9.00.....satu bulan RM36....aikk yukk....mana cukup ini..... ............bersambung

Memori indah 1977

Sabtu 8 Mei 2010 jam 4 petang.Saya meletakkan kereta di tepi jalan berhampiran SMK Likas Kota Kinabalu.Sengaja saya datang setengah jam lebih awal dari waktu kelas berakhir.Sambil melihat dari jauh kelas dimana anak bongsu saya belajar fikiran saya melayang jauh ke masa lalu ketika saya menjadi penuntut di sekolah ini.....1977....saya belajar di sekolah ini dalam tingkatan 4 sastera.Hari pertama saya mendaftar bersama seorang pelajar berasal dari Mentakab Pahang. Kebetulan kami masuk kelas yang sama.Bezanya saya memilih untuk duduk dimeja paling hadapan manakala dia pula memilih untuk duduk dimeja paling belakang.Memandangkan kami masuk kelas agak lewat maka kami tidak sempat berkenalan kerana kelas sedang dijalankan.Didorong rasa ingin berkenalan pelajar lain mula bertanya pada kawan di belakang tentang nama dan asalnya.Setelah mendapat jawapan mereka berbisik sesama sendiri kemudian beralih kepada saya.Dengan selamba saya memberitahu mereka saya berasal dari TANDEK membuat mereka terpinga-pinga.Melihat mereka kebingungan maka saya kata Tandek adalah sebuah kampung di KOTA MARUDU dan mereka bertambah bingung.Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata " oooo.....Kota Bahru....orang Kelantan la niiii.......Rupa-rupanya mereka langsung tidak tahu dimana Kota Marudu.Begitulah terpencilnya Kota Marudu ketika itu sehingga orang-orang di Kota Kinabalu tidak mengetahuinya.Tiba waktu rehat semua pelajar keluar dari kelas kecuali saya dan kawan dari Mentakab tadi.Setelah memperkenalkan diri saya mengajak kawan baru saya keluar ke kantin.Tiba-tiba kami di kelilingi rakan sekelas yang membuat satu bulatan dan mengurung kami ditengah bulatan itu.Seorang demi seorang mencemuh dan memarahi kami tanpa sebab.Rakan baru saya menggeletar ketakutan...Eh...apalah diorang ni...? tanya kawan saya takut dan kehairanan.Saya beranikan diri bertanya...yang kamu tiba-tiba kurung kami begini macam samseng ni apa hal?.Dengan lantang salah seorang pelajar berbangsa Eurasian berkata ...Oooii...kamu buat apa datang belajar sini...kamu balik negeri kamu lah kalau mau selamat...Melihat wajah inggerisnya dengan rambutnya yang kuning, berani pula menghalau saya supaya 'balik negeri' membuat darah saya menyirap naik.Lalu saya berkata....heii gragu...kau dengar sini....kau itu orang putih ...kau anak keturunan penjajah...patut saya yang halau kau dari sini balik kau punya negeri....kau sedarkah?.Tidak mahu mengalah dia menjawap....Ooooiii...saya sudah lebih 10 tahun tinggal di Sabah kau itu baru sampai...kau balik Malaya laa....Mendengar jawapannya saya ketawa gelihati....apa hal balik malaya.Rupa-rupanya mereka terkeliru.Mereka menyangka saya berasal dari Semenanjung Malaysia hanya kerana saya masuk kelas bersama rakan dari Mentakab tadi.Untuk meredakan keaadan tanpa diminta saya 'berkhutbah' singkat menerangkan kepada mereka siapa diri saya,Kota Marudu itu di mana dan apa yang mereka lakukan adalah salah kerana kita satu negara.Dalam hati saya berkata......buduh juga pula urang kk ini...kota marudu pun diorang inda tau dimana...... ......bersambung....

Thursday, May 6, 2010

KEBAJIKAN SEKOLAH TANGGUNGJAWAB SIAPA?

Nampaknya negara kita tidak pernah lekang daripada isu-isu politik dan isu-isu kepincangan jabatan-jabatan kerajaan. Termasuk yang terbaru di Sarawak, sudah 11 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Pasukan penyiasat khas pula ditubuhkan dengan alasan agar penyiasatan kes kematian remaja berumur 14 tahun akibat tembakan anggota polis dapat dilakukan dengan lebih telus dan terbuka. (11, 12, ?, 14) Mungkinkah pilih raya umum yang ke-13 bakal menjanjikan suatu perubahan yang lebih baik? Atau akan bertambah buruk? Persoalan itu saya serahkan kepada para politikus tanahair kita untuk selesaikan.

Saya sebenarnya bukan mahu memperkatakan tentang semua perkara mukadimah di atas. Saya tertarik untuk mengulas kenyataan Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Dr. Muhiddin Yusin, baru-baru ini tentang isu kekurangan guru di sekolah-sekolah Cina di negeri ini.

Pada hari Rabu minggu lalu beliau mengeluarkan kenyataan yang disiarkan dalam Daily Express bahawa pengurusan sekolah-sekolah Cina harus dipersalahkan kerana tidak menerima guru-guru yang tidak tahu berbahasa Cina mengajar subjek lain. Kenyataan beliau itu segera dibidas pula oleh ketua Setiausaha Agung Parti LDP, Teo Chee Kang, keesokan harinya dengan mengatakan bahawa sekolah Cina akan kehilangan identiti jika membuka pintu kepada guru-guru yang tidak tahu berbahasa Cina mengajar di sekolah Cina.

Seminggu selepas itu (hari Rabu minggu ini), Dr. Muhiddin Yusin mengeluarkan lagi kenyataan bahawa ada juga sekolah Cina yang tidak mahu menerima guru bumiputera yang fasih bertutur dalam bahasa Cina untuk mengajar di sekolah berkenaan. Sekali lagi kenyataan beliau segera dibidas hari ini, tetapi kali ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sabah, Datuk Wong Yit Ming, bahawa kenyataan pengarah pelajaran Sabah itu tidak benar dan bercanggah dengan dasar persatuan dan sekolah-sekolah Cina.

Menurut Datuk Wong Yit Ming lagi, punca utama kekurangan guru di sekolah-sekolah Cina di negeri ini sebenarnya disebabkan oleh kurangnya output guru-guru terlatih dalam pengajaran medium bahawa Cina dari institusi-institusi perguruan tempatan dan trend menghantar guru-guru terlatih tersebut ke negeri-negeri lain. Ramai pemohon berbangsa Cina yang ingin dilatih oleh jabatan di institusi-institusi perguruan sedia ada, tetapi hanya sedikit yang diterima untuk dilatih.

Saya tidak berada di posisi yang tepat untuk menyokong mana-mana kenyataan di atas kerana tidak memegang apa-apa statistik berkaitan. Namun, saya berpendapat bahawa kenyataan-kenyataan Dr. Muhiddin Yusin yang agak tidak lengkap dan tidak konsisten itu (jika benar seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan) agak menunjukkan bahawa beliau seperti kurang arif tentang selok-belok pengurusan sekolah-sekolah di negeri ini.

Saya sendiri menghantar anak-anak untuk belajar di sekolah Cina. Tujuan saya ialah supaya mereka dapat menguasai bahasa (Mandarin) yang paling banyak dituturkan di dunia itu. Selain daripada itu saya mahu anak-anak dapat bergaul dengan anak-anak dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Situasi sekolah Cina di Sabah sangat unik kerana ramai (bahkan di beberapa tempat lebih ramai) murid-murid bukan Cina dari pelbagai suku kaum yang bersekolah di sini. Satu lagi kelebihan yang saya dapati ialah, sistem pengajaran matapelajaran, khususnya matematik, di sekolah Cina sangat baik dan sistematik.

Dalam penulisan ini, saya sebenarnya hanya berpendapat bahawa jabatan harus memberikan perhatian yang serius untuk membantu sekolah-sekolah Cina dan sekolah-sekolah seumpamanya kerana sekolah-sekolah ini juga memainkan peranan yang penting dalam memajukan negeri dan negara kita.

Nota: Pendidikan asas kemajuan.

HAPPY BIRTHDAY TO LITTLE MIKE (JALIMIK SAWATAN)

Hari ini salah seorang penulis SAM saudara LM menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-36..Dikesempatan ini SAM ingin mengajak semua ahli2 serta pembaca untuk mengucapkan SELAMAT HARIJADI kepada saudara LM.Tidak ada hadiah yang dapat diberikan selain dari doa dan harapan agar LM sentiasa sukses dalam apa juga bidang diceburi dan diberikan kecekalan semangat serta limpahan rezeki.



P/S: kami sangat2 mengharapkan agar LM "cepat2"lah mangatur ah..urang kampung bilang..inda sabar suda makan gisak..hahahahaaha

Wednesday, May 5, 2010

Bila Ada Keazaman...




Gambar di atas saya ambil semasa Acara "Badang Tandek" sempena Pesta Menuai di Kg. Mosolog baru-baru ini. Saya amat kagum dengan keazaman dan keberanian para peserta menempuhi berbagai cabaran sebelum dinobatkan sebagai juara/badang. SAM berharap detik seumpama ini boleh mengetuk minda bangsa..

Tuesday, May 4, 2010

Relekslah Bro...



Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya:

Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6114)

Allah juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2417)

Boleh marah, tapi salurkan kemarahan itu di tempat yang benar.

Monday, May 3, 2010

Bercinta Dgn Ilmu (2)

Dalam siri yang kedua ini, saya ingin bicara soal persepsi jumhur manusia berkenaan dengan ilmu. Bilamana disebut perkataan "Ilmu", ramai di antara kita melencong persepsinya.

Majoriti tahu bahawa umumnya ilmu itu ditakrifkan sebagai, "Satu kefahaman berkenaan sesuatu secara sistematik yang diusahakan secara sedar". Malangnya, ramai juga yang kurang memahaminya dan mempraktiknya.

Natijah daripada itu, skop ilmu tersebut menjadi sempit dan menimbulkan konflik. Golongan manusia seperti ini melihat ilmu itu hanya ada pada tempat-tempat tertentu sahaja seperti ilmu persilatan, ilmu hitam, ilmu perubatan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya.

Walhal ilmu itu adalah, kefahaman kita berkenaan sesuatu. "Sesuatu" itu bagi saya membawa konotasi kepada semua perkara. Maknanya, ilmu itu mencakupi semua ruang lingkup kehidupan yang di sana wujudnya kefahaman.

Baiklah, saya berikan satu contoh mudah. Yang membezakan burung dengan kucing ialah, burung terbang di udara sementara kucing pula berjalan di dalam rumah. Ini juga ilmu saudara. Tapi ramai yang tidak nampak ini sebagai ilmu kerana perkara ini kelihatan remeh dan sudah diketahui sejak kecil lagi.

Cuba bayangkan jika ada seorang professor mengajar bahawa kucing itu terbang di udara. Tidak kecoh dunia ini dengan ilmu sesat tersebut? Bermaksud, remeh-remeh pun sesuatu ilmu, jika sesat amat memudaratkan.

Kesimpulannya, perbetulkan persepsi kita terhadap ilmu. Jangan sempitkan sesuatu yang Allah ciptakan luas meskipun ia kelihatan remeh. Apabila persepsi kita betul maka akan semakin baiklah hubungan kita dengan kekasih (ilmu) kita. Dan pastinya, kita akan lebih menyintainya selepas ini.

Sunday, May 2, 2010

Sambutan "Tadau Kaamatan" peringkat Kg. Mosolog Bermakna

Tandek, Kota Marudu. Ahad: sambutan pesta Menuai Kg. Mosolog berlangsung dengan meriah dan mengetengahkan berbagai acara yang bukan sahaja dapat mempertahan tradisi lama seperti "Sugandoi" dan "Ngunduk Ngadau" tetapi juga acara2 baru yang turut mampu memelihara budaya lama misalnya pertandingan masakan tradisional dan sunda"et.








Turut dipertandingkan sukan rakyat dan sukan moden yang kesemuanya menyumbang bukan sahaja untuk perpaduan juga kesihatan. Antara yang paling mendapat perhatian ialah acara tarik tali dan pencarian " Badang Tandek".








SAM berpendapat anjakan paradigma yang dibuat oleh AJK Sambutan Pesta Menuai Kg. Mosolog ini dapat dicontohi atau diperbaiki lagi. "Kimaragang Boleh!" -"Kaamatan Pisompuruan om Pitoluadan Tokou, tuh tokou eh tokou iti!" - sanguru.