SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, May 11, 2010

Gurindam Satu Tandek

GURINDAM SATU TANDEK

Kampung ku indah namanya Tandek
Dataran rendah Teluk Marudu
Walau lesi ku pandang cantik
Sinilah tempat kami beradu.

Asal mulamu bernama DOBUR
Tumbuhan paya aneka duri
Walaupun mundur kami terhibur
Suatu masa pasti berseri

Lapan pintu kedainya dulu
Binaan kayu kukuh dan gagah
Sinilah kami berkunjung selalu
Membeli-belah pelbagai juadah.

Jambatan kayu jadi pengikat
Dua daratan tetap bersatu
Pelbagai kaum hidup sepakat
Amal budaya perpaduan jitu.

Pekan kecil di mulut tanjung
Tempat menetap keluarga Pak Nain
Nelayan kecil pasti berkunjung
Menjual ikan di tamu Isnin.

Kaum petani tidak ketinggalan
Tamu ditunggu setiap minggu
Buah-buahan pasti di pasarkan
Buat membeli garam dan baulu.

Ada yang datang berperahu
Ada yang datang menunggang kerbau
Ada yang datang tak bersepatu
Ada dari jauh berbatu-batu.

Tahun berlalu dekad berganti
Kedai yang dulu menyembah bumi
Pekan baru sedia menanti
Di sini cinta kami tetap bersemi.

Bukan emas bukan suasa
Semanis madu sesedap rasa
SK Tandek sangat berjasa
Membangun umah sekalian bangsa.


Akal dan minda terus dikerah
Menimba ilmu tak pernah leka
Di sinilah ilmu mula dicurah
Buat pedoman dihari muka.

Guru mendidik murid belajar
Ilmu dicurah sangatlah laju
Ilmu yang baik terus dikejar
Agar hidup bertambah maju.

Kee Abdul Jalil guru berjasa
Jauh kembara beribu batu
Murid disuruh gigih berusaha
Menggapai ilmu setiap waktu

Bergulung kain jemur di ampaian
Pelbagai warna aneka gaya
Menggunung harapan menjulang impian
Tekad dipacu untuk berjaya.

Buah papaya buah betik
Sama rasa boleh dipetik
Cikgu Pungawon rajin mendidik
Memajukan bangsa menjulang naik.

Bangun pagi nampak menyerlah
Muka dibasuh terus berseri
Tersenyum indah bangunan sekolah
SMK Tandek nama diberi.

Tersergam cantik nampak berseri
Jabatan kesihatan punya bangunan
Rawatan percuma pasti diberi
Ubat dan nasihat juga dihulurkan.

Aki Tumunda Aki Sambion
Tokoh terbilang leluhur kita
Pejuang gigih Aki Rindongon
Sanggup mati tak takut derita.

Semangat juang perlu diikut
Hantu dan setan tak perlu ditakut
Tanamkan niat tak perlu sebut
Semua peluang mesti direbut.

Ahli terpilih silih berganti
Dendangkan janji segenap ceruk
Kemajuan dicita tapi masih lesi
Agaknya sistem penyampaiannya teruk!

Kalau begini nasipnya badan
Pasti merana tidak keruan
Patutkah kita mengubah haluan
Mencapai cita penuh kegemilangan?

Bangunlah kawan basuhlah muka
Dendangkan tekad maju ke hadapan
Bangunlah bangsa buanglah duka
Capailah cita gapailah harapan.

Walaupun lesi tapi tak jelik
Laungkan kemajuan tak pernah serik
Tandek ku sayang setiap detik
Tak luntur kasihku walau setitik.

Guridam ini hanya hiburan
Buat tatapan rakan dan taulan
Salah dan silap harap dimaafkan
Ku hulur salam ku hulur perpaduan.



HANAFIAH MZ
http://marudutuaran.blogspot.com


Pihak SAM mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Cikgu Hanafiah Zilkifly kerana kesudian beliau membenarkan admin SAM untuk menerbitkan karya2 beliau untuk menjadi perkongsian kita bersama.Ini bukanlah seloka/gurindam semata-mata tetapi mempunyai mesej dan pengajaran yang cukup berguna kepada kita terutama generasi baru.

2 comments:

kyro said...

Inilah gurindam yang saya tunggu-tunggu.Terima kasih pinsan ku....hebat dan penuh bermakna.Harus dihayati oleh semua warga Tandek.

SANGURU said...

Pencipta Gurindam ini akan dijemput mengurindamkan gurindam ini masa majlis SATU Tandek 2011.