SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, May 11, 2010

SELOKA KAMPUNG TINGKALANON

Lugu Tolungung bahagian ulu
Tongkungon bahagian hilir
Lopungon nama dahulu
Tingkalanon kini digilir.

Dusun Kimaragang suku utama
Masyarakatnya hidup bahagia
Padi dan kelapa sumber bersama
Seia sekata hidup ceria.

Sungai jernih mengalir tenang
Walau cetek tak pernah leka
Sawah dan bendang habis digenang
Padi dan huma subur belaka.

Kambing dan kerbau riang meragut
Ayam dan itik turut semua
Lembu juga turut merumput
Kuda pula seekor dua.

Langsat dan tarap lebat berbuah
Mangga bulunu demikian juga
Pisang dan jambu melimpah ruah
Jadi kegemaran anggota keluarga.

Sawah terbentang luas menghijau
Tali air mengalir damai
Padi tumbuh berelau-relau
Hasil mekar dituai ramai.

Rumpun buluh tumbuh melata
Tumbuh subur tepian sungai
Pokok getah juga merata
Padi huma turut dituai.

Aki Tumunda tokoh terbilang
Aki Sambion tak kurang hebat
Cucu dan cicit berbilang-bilang
Semuanya kaum kerabat.

Aki Rindongon pahlawan dijulang
Tinggi adab budi pekerti
Musuh durjana pasti dihalang
Walau tubuh tergantung mati.

Pawai Ein tokoh ternama
Ketua kampung berdekad lama
Walau pendek karisma cara
Pemutus kata dalam bicara.

Lanjut usia dimamah waktu
Jawatan penting beralih tangan
Pakcik Pangagin kini sekutu
Memimpin bangsa penuh ketenangan.

Baudi, Madinah dua saudara
Ahli Parlimen bijak berkata
Omar Majun juga mara
Wakil rakyat kebanggaan kita.

Zaman berubah wakil bertukar
Vilson Malingka punya giliran
Saibul Supu juga mekar
ADUN kita jadi pujaan.

Zulkifli Majun tidak dilupa
Yayasan Sabah majikan dicinta
Masyarakat kampung mahu berjumpa
Amanah Rakyat, asrama mahu dipinta.

Kelip-kelip penghias malam
Burung pungguk turut berbunyi
Ceria penduduk tak pernah suram
Unggas semua turut menyanyi.


Anak-anak tak pernah lelah
Ke SK Tandek menimba ilmu
Bila remaja ke sekolah menengah
Mencari ilmu tak pernah jemu.

Tamat sudah peringkat rendah
menara gading jadi tumpuan
Menjulang bangsa menjadi mudah
Jika masyarakat semua ilmuan.

Jurutera akauntan dua tiga
Guru-guru ilmu di dada
Taukeh kontraktor ada juga
Pesawah petani berganda-ganda.

Polis bomba juga tentera
Jalankan tugas penuh setia
Wartawan kanan di Singapura
Relawan rakyat juga sedia

Jampi serapah penuh mistik
Amalan lama dalam perubatan
Ubat hospital walau setitik
Kini popular dalam kehidupan.

Kampung ku sayang bagai permata
Tempat tinggal syahdu dan berkat
Walaupun jauh di pandang mata
Di dalam hati terasa dekat.

Seloka ini hanya hiburan
Buat teladan kita semua
Salah dan silap harap dimaafkan
Ikatan persahabatan dipinta jua.


HANAFIAH MZ
05/05/2010

2 comments:

kyro said...

Suka betul saya baca seloka ini.Gaya bahasa cantik dan sangat bermakna.Teruskan pinsan ku.

SANGURU said...

Saya sokong sepenuh jiwa raga saya! Tahniah dan terima kasih.