SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Thursday, October 21, 2010

As I See It : Pemimpin Masyarakat Dapat Elaun RM800, Antara Suntikan Motivasi dan Rangsangan Monetari

Carl Martin Albert @ Mart
“Lonjakan Mega” – demikian tajuk artikel utama yang disiarkan di muka pertama akhbar kebangsaan, Berita Harian bertarikh 16 Oktober 2010 sehari selepas Bajet 2011 dibentang oleh Perdana Menteri. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah pakej yang terkandung di dalam bajet ini turut memberikan rangsangan monetari kepada pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat kampung; misalannya, elaun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah dinaikkan kepada RM800 berbanding RM450 sebelum ini. Satu lagi bentuk “transformasi” yang boleh dianggap antara strategi untuk meningkatkan motivasi dan ketekunan kerja di kalangan pemimpin masyarakat; dan sekurang-kurangnya bukti kerajaan menghargai sumbangan dan peranan mereka.

Selaras dengan “penambahbaikan” berkenaan tentunya jawatan Pengerusi JKKK ini akan menjadi lebih “panas” dan “kompetitif” sifatnya – lazimnya subjek Pengerusi JKKK kerap-kali menjadi antara agenda yang cukup provokatif; yang menjadi pengisian cerita-cerita di kedai-kedai kopi di samping menjadi “topik hangat” yang digunakan sebagai “kayu ukur” untuk menilai sejauh mana kekuatan pengalaman, kebolehan, kemahiran dan pencapaian kepimpinan dan pengurusan seseorang individu yang akan,sedang atau telah pernah menjawat jawatan berkenaan, atau pun mungkin bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk duduk di “kerusi panas” berkenaan.
Begitu signifikannya jawatan berkenaan sehinggakan mampu mencetuskan polemik dan suasana yang agak “chaotic” dalam institusi masyarakat kampung. Dalam konteks yang lebih menarik, agenda pemilihan “Pengerusi JKKK” turut dimanifestasikan melalui gelagat, tingkah laku dan tindakan – misalannya, masyarakat kampung sudah semakin matang, kritikal dan analitikal dalam membuat pengukuran dan penilaian dalam memilih bakal individu pemimipin. Bakal dan calon prospektif “pengerusi JKKK” akan dipantau , diuji dan dinilai – mungkin juga dalam bentuk yang agak ekstrem. Walau bagaimanapun, ia adalah hak para penduduk kampung, sebagai ahli komuniti kampung mereka berhak untuk mendapat pemimpin yang proaktif, boleh membawa perubahan dan kemajuan – tidak lagi sekadar disogok dengan janji-janji retorik dan imbuhan yang bersifat sementara dan “bias”.
Realitinya, senario tadi sudah menjadi asam garam dalam institusi politik peringkat kampung; yakni “pentas” paling asas bagi komuniti kampung berpolitik. Momentum monetari yang disuntik oleh kerajaan tentunya akan menambahkan lagi kerancakkan perbincangan di kedai-kedai kopi – mungkin ia akan dimeriahkan lagi dengan sisipan-sisipan elemen dan subjek tentang “persaingan dan perebutan kuasa serta pengaruh”, “sindrom berkelompok”, “boikot-memboikot”, kupasan tentang isu-isu “nepotisme”, “kronisme” dan pelbagai lagi.
Apa-apa pun, seperti yang dicanang oleh pihak pemerintah – “People First Performance Now”; bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi JKKK atau bagi mereka yang sedang memegang jawatan berkenaan harus lebih ikhlas, telus, berakauntibiliti, berintegriti, adil, demokratik dan proaktif serta mampu menjadi agen perubahan dan pemangkin kemajuan dengan meletakkan kebajikan orang-orang kampung sebagai agenda utama – jangan hanya sekadar mengambil kesempatan daripada “Lonjakan Mega” yang disebutkan di awal tadi dengan meletakkan imbuhan monetari sebagai agenda dan prioriti tersembunyi .

No comments: