SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, November 30, 2010

GURINDAM KASIH


GURINDAM KASIH
(New Sabah Times, 30/11/2010)

Hormati ibu dan bapa
Dari mereka kita bermula.

 Sayangi ibu dan bapa
Lebih dari emas permata.

Kasihi ibu dan bapa
Bagai menatang bayi tercinta.

Senyumlah pada ibu bapa
Supaya hidup mereka ceria.

Belailah ibu  dan bapa
Agar mereka tidur lena.

Lawatilah ibu dan bapa
Supaya mereka tidak tersiksa.

Damaikan hati ibu dan bapa
Supaya mereka rasa bahagia.

Cintailah ibu dan bapa
Hidup kita akan bahagia.

Taatilah ibu dan bapa
Allah akan merahmati kita.

Uruslah ibu bapa mu
Bila mereka dihujung waktu.


HANAFIAH MZ

KENAPA INI BERLAKU: MOHON PIHAK BERKENAAN AMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA

to all sabahan live or studying at semenanjung,go back ur place!
326 orang menyukai ini.
Sangat sedih rasanya bila masih ada segelintir dikalangan rakyat Malaysia yang masih membelakangkan perlembagaan. Jelas dalam perlembagaan menyatakan kita harus menjaga perpaduan dengan tidak menyentuh mana2 perkara sensetif.
Kerajaan berusaha menyatupadukan rakyat dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti, mengwujudkan intergrasi namun masih ada yang lagi memecahbelahkan.
Jelas sekali orang atau admin page ini tidak rasional, admin ini telah menyalahgunakan saluaran yang baik kepada yang tidak baik. Rata2 yang menyertainya adalah mereka2 yang tidak senang dengan page ini. Dan adalah menjadi penghinaan bila Bendera Negeri itu diterbalikkan.
Kami menentang keras sebarang kenyataan yang bersifat menghina apa lagi yang melibatkan negeri kami. Mohon pihak yang berkenaan mengambil tindakan terhadap admin ini.

Monday, November 29, 2010

RANKING TERKINI SAM

SUARA ANAK MARUDU telah mencipta sejarah apabila buat kali pertamanya telah dinaikkan ranking.Kalau sebelum ini ranking SAM hanya berada di tangga ke-15 daripada 50 website/blog yang berdaftar dengan ShinyStat.Tetapi apa yang menarik kali ini ialah blog SAM berada di ranking yang PERTAMA.Tahniah kepada penulis2 SAM kerana terus aktif dengan artikel masing2.Penghargaan juga ditujukan kepada semua penggunjung blog SAM.Tanpa anda sebenarnya SAM tidak mungkin berada di ranking teratas ini.Semoga ranking ini akan berkekalan. ADMIN SAM

Sunday, November 28, 2010

ANAK MARUDU BOLEH..

GERAI "GIS" DINAMIK...


Bumiputera khususnya di Kota Marudu berkebolehan untuk maju dalam perekonomian. Ini dibuktikan oleh Sdr Ismaili yang membuka restoran "Gerai Ismaili Santai" (GIS). gerai ini menyediakan berbagai menu menarik yang sedap, bersih pada harga berpatutan. Mari sokong usahaniaga orang tempatan. Turut menyediakan Wifi untuk yang mahu mengakses internet.

Friday, November 26, 2010

Terus bersuara YB Anita Baranting



















Jalanraya telah dikemukan
paip jangan dilupakan
debu telah lesap
air ke dalam tanah meresap......

Terus bersuara YB Anita Baranting

Tuesday, November 23, 2010

PUISI-Secebis Harap Setangkai Racun

SECEBIS HARAP SETANGKAI RACUN
(New Sabah Times , 23/11/2010. hal. 16)

Menjerit mengenang sakit ,
merimbun perit
bertahun sedih merintih,
berguni pedih
berdekad hati bernanah,
parah menjarah
kumat-kamit mentera dijana,
menghimpun daya
beralun harap dihimpun,
tersusun rimbun
berkepal derap digarap,
menggunung harap.

Bagai tiada mengerti,
tiada peduli
bagai batang buruk tersingkir,  
terus dipinggir
bagai penyapu lama,  
terbuang tercela
bagai besi terperuk,
menjeruk buruk
tiada siapa bertandang,
mencanang terang.

Inikah gebar kasih kau bentang,
suram bergenang
inikah pekat janji kau laung,
kosong dan murung
inikah belas ehsan kau jajan,
merekah harapan
rupanya cinta tersusun rimbun,
cuma setangkai racun.

Berjela kenang bergenang,
mengungkap remang
bagai hilang arah berkurun,
meruntuh santun
bercucuran airmata tumpah,
 menyingkir tenang
pedih meruntun-runtun,
merangkai lamun
kami kekal di sini
bertongkat  sedih.

Tunggulah sangkakala ditiup
dihari penutup
pintu maaf  pasti tertutup
di hujung huruf
koma pertama
 noktah menjunjung taup
kasih mu akan ku renyuk,
pujukmu tidak ku hirup
sauh pasti terlepas ,
sampan terbabas bebas
resah pasti terhempas
dan kami kemas bernafas.

HANAFIAH MZ

Sunday, November 21, 2010

PUISI


INGIN
(Utusan Borneo, 21/11/201/. Hal.B7)

Ingin ku kucup haruman seri
sebelum kuncup di taman hati
ingin ku capai jambangan kasih
sebelum duka menyulam rintih

Ingin ku buang sakit dan pedih
sebelum nanah menghambat hati.
Ingin ku peluk wangian kasih
sebelum renyuk dilanda benci

Ingin ku garap nukilan janji
sebelum lena diulit mimpi
ingin ku nyata hasrat di hati
sebelum lesu dibuai caci.

Ingin ku bina mahligai abadi
sebelum gempa melanda janji
ingin ku ikat cinta yang suci
sebelum nafas mengundur diri.

Ingin ku renjis hujan asmara
sebelum layu dimamah usia
ingin ku bina kubu takwa
sebelum janji menjemput jiwa.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Friday, November 19, 2010

Pantun Linopot Daun Tarap

Daun Tarap daun limadang
Saya harap jangan meradang
Walau lama tidak di pandang
Di dalam hati tetap tak hilang.

Tandaa kina amu mongungkarab
aso wulu turunan lanog
roon madang mimang alaab
tuwa omis koinginan tombolog.


Mongoi moginum sampai koodop
sampai owuwul wulu do kirop
kukurangan tokou no mokilogop
mogiim tokou koposion mitotongkop.

Pantun ini untuk hiburan
supaya boros tokou amu olingan
salah dan silap harap dimaafkan
misambat kembagu kotoluadan.


...tompinai..... simbar kou
 
Sambutan Kaamatan Kg.Mosolog: juadah tradisional utk VIP
Gambar oleh: Androd Sadian
 
 

Thursday, November 18, 2010

SEPERTI LAUT

SEPERTI LAUT

Seperti laut
setia pada pantai
walau berkali surut
pantai tetap dibelai
walau hatinya kusut
simpul mampu diurai
walau dilanda ribut
kasih tak akan dilerai
telah berkurun kasihnya bertaut
tak pernah lalai
indahnya cinta laut
begitu juga pantai.


HANAFIAH MZ
TUARAN

Tuesday, November 16, 2010

SELAMAT BERKORBAN

"Pengorbanan Asas Kejayaan"


Setiap kejayaan memerlukan perjuangan. Perjuangan itu sendiri satu pengorbanan. Pengorbanan itu bukan mudah, selain mengorbankan harta benda, ia turut memerlukan pengorbanan jiwa raga. Semoga apa pun perjuangan anak-anak Marudu dapat membawa impak positif kepada daerah dan warga daerah tercinta ini. Dalam kesempatan ini pihak SAM mengucapkan selamat merayakan Hari Raya Aidil Adha (Hari Raya Qurban). "Maaf Zahir dan Batin".

Monday, November 15, 2010

BERBUDI KEPADA TANAH

BERBUDI KEPADA TANAH

Berbudi kepada tanah
kita tidak akan kecewa
rezeki melimpah ruah
makmur bahagia mewah

Wednesday, November 10, 2010

MERDEKAKAN MARUDU

MERDEKAKAH KITA?...


Merdekakan Marudu dari kemiskinan, kejahilan, kebobrokan, kebergantungan, kekerdilan jiwa, kejumudan, kefanatikan. Tapi kekalkan bahkan suburkan ikatan kekeluargaan, toleransi dan muhibbah kita.

Tuesday, November 9, 2010

DAMAI

DAMAI
(New Sabah Times. 9.11.2010.hal 16)

Selembut mentari pagi
menyapa busana bumi
rerumput riang menyanyi
dijamah cahaya sakti.

Nurkasih  sulam menyulam
bening menghulur salam
hening mekar menyiram
damai alam bersemayam

ombak melambai permai
mengucup jejari pantai
mengalun irama santai
menyiram debunga damai.

Dedaun tulus melambai
disapa bayu gemalai
beburung menyanyi permai
irama senandung damai.

Damai alam membuai
damai kasih membelai
damai jiwa dicanai
damai rindu mengintai
damai hati disemai
damai hidup dituai.

HANAFIAH MZ
KG. DAMAI, KOTA MARUDU.


Sunday, November 7, 2010

Apa dah jadi.....?

Salam mesra....salam muhibah....salam 1Marudu 1Malaysia.... Terlalu lama saya menghilang dari radar SAM...hari ini muncul kembali.... Tidak banyak cerita cuma tertanya-tanya.... Pagi tadi saya ke tamu Jalan Gaya,Kota Kinabalu....dengan tujuan hendak mendapatkan urutan reflexology dari OKU yang saban minggu berkumpul disini.Berjalan sambil meninjau-ninjau jualan para peniaga tiba-tiba mata terpaku pada sekumpulan orang yang begitu khusyuk mendengar "ceramah". Ingin tahu .... saya mendekati kumpulan itu dan cuba melihat apa sebenarnya yang dijual oleh si 'penceramah" yang begitu bersemangat.... Astaga.....terkejut....tergamam....terkesima....ter....entah apa-apa ter lagi....biar betul orang ini.... saya melihat seorang lelaki melayu dengan penuh semangat sedang memberikan tunjuk ajar bagaimana membuat nombor ramalan.Didepan beliau ada sebuah meja kecil dan beberapa naskah buku kecil yang mengandungi tiket-tiket nombor ramalan tersusun......yukk....jual numbur ekor ba pula kau ni bayau.....canggih betul juga orang melayu ni sikarang.....apa dah jadi...??? Saya tinggalkan kumpulan itu dan teruskan perjalanan.Sebelum tiba di tempat OKU saya terjumpa seorang penjual teh serai.....hasil temubual saya dengan beliau (lelaki bukan melayu) saya dapat maklumat ini......beliau mempunyai sebuah kilang memproses teh herba berasaskan serai dan halia.Beliau membeli bahan mentah tempatan - halia dari Tambunan dan serai dari Sandakan.Bekalan amat kurang dan jika ada yang berminat bolehlah menjadi pembekal.Beliau membeli serai dalam kuantiti yang banyak pada harga 60sen sekilogram.....apa kau bilang....? murah....? cuba kira betul-betul.....1kg = 60 sen,10kg = $6.00.....100kg = $60.00 kalau 1 tan...? bukankah $600.00......kalah harga kelapa sawit..... Bahhh....baranti-baranti lah beli numbur....bagus lagi buka kebun....tanam serai.

KENALI DAERAH ANDA: SIGUNTING

KENALI DAERAH ANDA: PEJUANG BANGSA – SIGUNTING
                                                                  SIGUNTING


Lelaki dusun yang bernama Sigunting tidak rela melihat bangsanya diperkotak-katik oleh penjajah yang secara terang-terangan menindas penduduk pribumi daerah ini kira-kira 100 tahun yang lalu. Penjajah secara melampau mengenakan pelbagai cukai yang bukan saja tidak masuk akal malahan tidak pernah diamalkan sebelum itu.

Beberapa cukai yang amat membebankan seperti cukai kepala, cukai tanam-tanaman dan cukai tanah dikenakan oleh penjajah ke atas masyarakat tempatan. Pengenalan cukai-cukai tersebut menyebabkan beban masyarakat ketika itu semakin bertambah. Sudahlah hidup mereka yang serba kekurangan ibarat kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini ditambah lagi dengan  cukai yang membebankan.

Akibat pengenalan cukai tanah, masyarakat tempatan ditegah dari membuka tanah-tanah baru untuk tujuan pertanian yang sama sekali mengganggu amalan pertanian masyarakat Dusun ketika itu. Jika tidak dapat membuka tanah baru bermakna masyarakat Dusun dihalang mencari rezeki mengikut amalan pertanian mereka. Tiada tanah untuk dibuka maknanya tida makanan untuk bulan atau tahun berikutnya. Pastinya masyarakat Dusun akan mati kebuluran.

Sikap penjajah yang memeras masyarakat tempatan menimbulkan kemarahan Sigunting, seorang lelaki suku Dusun Mumus yang berasal dari Kampung Sorinsim di kaki Gunung Tambuyukan. Kemarahan beliau bertambah-tambah apabila mendengar bahawa seorang lelaki yang merupakan kakitangan penjajah dikatakan menjalinkan hubungan dengan seorang gadis Dusun di Kampung Timbang Batu tanpa mengikut adat istiadat nikah kahwin masyarakat Dusun ketika itu. Bagi masyarakat Dusun tindakan sedemikian merupakan suatu pencabulan yang mencemar kesucian adat istiadat yang diamalkan secara turun-temurun sejak nenek moyang dahulu kala lagi.

Kebiadapan penjajah menimbulkan kemarahan Sigunting. Beberapa siri serangan dilakukan oleh Sigunting untuk menghalau penjajah. Oleh kerana pasukan Sigunting bukanlah sebuah pasukan tentera yang serba lengkap, tindakannya tidak dapat melemahkan kekuasaan penjajah di daerah ini. Malahan selepas itu Sigunting pula yang menjadi buruan penjajah. Namun kelicikan dan kepintaran Sigunting menyebabkan penjajah tidak dapat menangkap beliau. Sehingga pihak penjajah mengambil keputusan untuk berdamai dengan Sigunting.

Sigunting yang sezaman dengan Paduka Mat Salleh kemudiannya menetap di Kampung Sorinsim, Marak Parak hingga ke akhir hayatnya.

Sumber: Peristiwa-peristiwa Berdarah di Sabah. DBP

Wednesday, November 3, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA JALIMIK SAWATAN

Masih belum terlambat untuk SAM mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada Sdr.Jalimik Sawatan yang baru saja melangsungkan perkhawinan dengan gadis pilihan hatinya iaitu Sdri.Bernadette Tobin di gereja SDA Tenghilan pada 31hb Oktober 2010.Semoga perkhawinan ini akan terus berkekalan sehinggalah keakhir hayat dan pastinya perkhawinan ini akan terus memberi kebahagiaan hidup kepada pasangan ini.Sekiranya anda ingin melihat gambar2 sempena majlis perkhawinan ini,bolehlah masuk keruangan Facebook saya.

Tuesday, November 2, 2010

GURINDAM KASIH SAYANG

GURINDAM KASIH SAYANG
(New Sabah Times. 02.11.2010. hal.16)

Kasih Adam kepada Hawa
Tinggalkan syurga turun ke dunia.

Kasih bermula dari mata
Turun ke hati sayang berbunga.

Kasih uda kepada dara
Sayang dara tiada dua.

Kasih bertaut di dalam hati
Sayang bercambah tambah berseri.

Kasih bersimpul begitu erat
Sayang bertaut cinta tersemat.

Kasih merimbun cinta tersemat
Sayang dicantum janji diikat.

Kasih diikat tersimpan tekad
Sayang ditambat di dalam akad.

Kasih diikat sepanjang hayat
Sayang disemat  hubungan berkat.

Kasih diikat merimbun rahmat
Sayang disemat bersulam adat.

Kasih nabi kepada umat
Sayang Allah turunkan rahmat.

HANAFIAH MZ
TUARAN.

Monday, November 1, 2010

BILA SAPI GALAS BATU...

Rakyat dalam dilema...


Ketika Batu Sapi dan Galas berpesta tabur benih janji dan pesta balas hentam, rakyat di luar kawasan juga sibuk membuat analisis. Analisis mereka cukup "mantop" dan kalaulah sampai ke telinga individu/pihak berkenaan, pasti bikin panas telinga. Ada yang kata;"kalau dah sapi, ditegur, disindir, pun tak guna. Sapi perlu dirotan". Ada yang kreatif menjawab;" kalau dah kepala batu, diketuk pun tak guna. Batu perlu dilempar jauh". Bagaimana kalau "Sapi Galas Batu?".