SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Friday, December 3, 2010

BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00





BILA SEIKAT KACANG PANJANG BERHARGA RM 2.00

           
            Pada tahun 1977 atau 33 tahun yang lalu saya dan seorang sahabat bersama-sama mengunjungi pasar pekan lama Kota Marudu untuk membeli keperluan makan minum selama lima hari. Ketika itu harga seikat kacang panjang hanya Rm 0.10. Begitu juga dengan kangkung. Masing-masing memilih seikat kacang panjang. Faktor utama pemilihan sayur berkenaan ialah kerana harganya yang murah,jumlah yang banyak dan tahan untuk dua atau tiga hari. Jadi dalam seminggu, kami hanya memerlukan dua ikat kacang panjang untuk dijadikan sayur selama 5 hari. Ini sudah memadai untuk mengalas perut kami di asrama Yayasan Sabah Kota Marudu.

            Pada tahun 90an, harga kacang panjang menjangkau Rm 1.00 seikat. Namun baru-baru ini, saya dikejutkan dengan kenaikan harga kacang panjang yang meningkat sebanyak 200 peratus berbanding tahun 1977 iaitu RM 2.00 seikat di beberapa pekan di Sabah. Ini bermakna, sebuah keluarga kecil memerlukan sekurang-kurangnya Rm 14.00 untuk menampung keperluan keluarga selama seminggu. Itupun jika keluarga berkenaan memutuskan untuk makan satu jenis sayuran sahaja dalam satu hidangan.

            Jika kita tinjau pasar-pasar ikan, tiada satupun pasar yang meletakkan harga ikan kelas 1 di bawah Rm 12.00 sekilo. Rata-rata harga ikan dalam kategori ini di antara Rm 12.00 hingga Rm 25.00. Mahu tidak mahu pengguna terpaksa memilih ikan basung yang lingkungan harganya antara Rm 5.00 hingga Rm 6.00 sekilo.

            Bila persoalan kenaikan harga barangan tersebut dikemukakan kepada peniaga, masing-masing menuding jari kepada faktor peningkatan kos pengendalian. Mereka kata harga minyak naik. Jadi harga baja,racun dan upahpun naik. Begitu juga dengan nelayan yang menjadi pengguna utama minyak. Jadi beban kenaikan harga minyak memberi impak kepada kenaikan barangan pengguna dan akhirnya kita sebagai pengguna menanggung beban kenaikan harga barangan tersebut.

            Mungkin golongan berpendapatan sederhana tidak seberapa merasai kesan kenaikan harga barangan keperluan tersebut. Tetapi lain ceritanya dengan masyarakat desa atau kota yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap atau yang tergolong dalam kategori miskin tegar. Tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, tidak ada ruang untuk berniaga malah kekurangan dalam serba-serbi. Tentulah mereka akan merasai bahang dan keperitan akibat kenaikan harga barang tersebut.

Baru-baru ini KYRO menulis tentang seorang peniaga yang hanya menjual serai di Jalan Gaya, Kota Kinabalu dan berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan. Beliau juga ada mengulas sebuah buku yang terbitan Indonesia yang membongkar rahsia kejayaan peniaga gerai tepi jalan. Tulisan-tulisan beliau disiarkan dalam blog SAM. Saya juga mengutarakan sifat rajin dan tidak mudah putus asa golongan peniaga tepi jalan di Langkon dan kampung Mengaris, Kota Marudu.

Saya turut menyarankan agar masyarakat  mencontohi sikap rajin dan gigih penduduk Kampung Langkon dan Kampung Mengaris dalam menjana ekonomi keluarga walaupun ada dalam kalangan pengunjung blog SAM melabelkan perniagaan tepi jalan sebagai melucukan. Sekurang-kurangnya pendapatan sebanyak Rm 7.00 ke Rm 20.00 sehari dapat meringankan beban sesebuah keluarga. Ada yang mengatakan bahawa tanpa kita sedari pendapatan golongan peniaga tepi jalan sebenarnya boleh menjangkau Rm 50.00 sehari. Namun ada sumber yang boleh dipercayaai menyatakan bahawa pendapatan golongan berkenaan boleh menjangkau Rm 200.00 sehari. Bayangkan berapa yang mereka boleh perolehi dalam sebulan.

Sepanjang kehidupan selama 45 tahun ini saya telah banyak melihat warga asing yang datang ke negeri Sabah yang kita cintai ini telah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Pada tahun 1991, sekumpulan pemuda berketurunan Jawa berasal dari negara jiran berjaya menjadi subkontraktor untuk pemasangan jambatan besi yang merentangi sungai Marak Parak. Ketika saya berpindah ke SMK Badin, seorang pekerja pengusaha kantin telah memberanikan diri dengan meletakkan jawatannya itu dan berniaga goreng pisang secara sepenuh masa di tamu pekan Tuaran. Pada hari ini beliau mampu menyewa sebuah restoran dan menjalankan perniagaan makan minum. Walaupun sudah mempunyai ruang niaga yang selesa, beliau masih berniaga goreng pisang di tamu Tuaran kerjaya yang mencetuskan inspirasi kejayaannya pada hari ini.

Dalam bidang pertanian, rata-rata hasil pertanian yang mendominasi tamu-tamu di seluruh Sabah dikuasai oleh golongan petani yang kita semua sendiri tahu asal-usulnya. Justeru itu, tidak menjadi kesalahan untuk kita sama-sama bercucuk tanam di belakang rumah untuk menampung keperluan harian kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut dapatlah kita menjimatkan perbelanjaan harian sambil menjaga kesihatan dengan menggerakan seluruh otot berbanding hanya duduk bersantai sepanjang masa. Juga tidak salah untuk kita memulakan aktiviti berniaga di tepi jalan atau mana-mana ruang perniagaan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk menampung keperluan seharian.

Dengan berniaga kecil-kecilan, kita sebenarnya telah memulakan langkah ke arah kejayaan yang lebih besar. Hari ini kita memulakan langkah pertama, esok lusa anak-anak yang membantu kita menjalankan aktiviti berkenaan memerhati ,menilai dan mungkin juga mendapat inspirasi baru bagaimana memengembangkan perniagaan yang kita mulakan itu.

Boon Siew bukanlah orang kaya ketika mula-mula masuk ke Tanah Melayu 70 tahun yang lalu. Beliau hanya seorang kanak-kanak yang rajin memerhati dan berhati cekal. Berkat kerajinannya beliau mempelajari bagaimana membaiki basikal. Kemudian membaiki motorsikal. Akhirnya, berkat sabar dan usaha berterusan beliau berjaya memperoleh kontrak mengedar motorsikal jenama Honda di Malaysia. Hari ini, ramai penduduk Malaysia menunggang motorsikal Boon Siew Honda.

Kerajaan tidak selama-lamanya mampu menangung kos subsidi yang diterima oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Pada suatu ketika, subsidi-subsidi berkenaan lambat-laun akan dikurangkan atau dihapuskan terus. Jadi, kita perlu memulakan langkah hari ini untuk kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

1 comment:

Anonymous said...

salam kepada warga SAM dan seluruh pelawat SAM.saya tertarik dengan artikel ini dan ingin menambah 1 perkara sahaja melalui persoalan yg saya utarakan:
"adakah kerana kurangnya daya pemikiran INOVATIF dalm kalangan pnduduk tmpatan, telah menyebabkan mereka terus berada di takuk kehidupan yg daif itu?". 1 perbndingan yg saya lihat adalah:
1.orang kita: 2011 jual kangkung->2020 jual kangkung juga?
2.Orang asing:2011 jual pisang goreng->2020 buka restoran sudah.
mengapa tidak:2011 jual kangkung->2020 jual kangkung, kobis,kacang pnjang,etc..1 SEBAB:KITA TERLALU SELESA DENGAN APA YANG KITA ADA SEKARANG DAN INI YANG MEMBANTUTKAN BERKEMBANGNYA PEMIKIRAN INOVATIF DALAM KALANGAN MASYARAKAT KITA DI SINI.SUKAR MAU BERUBAH DAN SUKAR UNTUK MENERIMA PERUBAHAN.apapun tahniah kepada warga SAM kerana terus menjadi wadah perubahan dan agen jentikan minda generasi KM kini.tahniah!