SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Tuesday, December 27, 2011

Amaran Ramalan Hujan

Ramalan cuaca hujan adalah seperti berikut :- Hujan dijangka akan turun sehingga 29/11/2011. Kudat & Ranau telah dijangka hujan lebat, banjir terutamanya di kawasan rendah & sungai2 yang mengalir dari gunung kinabalu harus diambil perhatian, kerana level air mungkin naik & mengakibatkan banjir. Kudat - kawasan dilanda banjir:- Main road di dekat simpang Jalan Tamalang ( simpang laluan ke Tg. Simpang Mengayau ) Jalan Bak-Bak (selepas jambatan sebelum sampai pantai bak-bak) Jalan Indarasan ( jambatan ke-2) tidak boleh dilalui kenderaan kecil Harap Maklum

Tuesday, December 13, 2011

Amaran Ramalan Hujan

Ramalan hujan - Disember 2011 hingga Januari 2012 Pattern Hujan - hujan turun tidak berhenti selama 1-2 hari / atau lebih buruk. Kadar air hujan adalah 20% - 40% lebih dari biasa. Bahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan tebing sungai, sungai yang mempunyai laluan air dari gunung kinabalu adalah kawasan berbahaya semasa hujan. Sila maklumkan kepada mereka yang tinggal di tebing sungai ini, jika hujan kuat & tidak berhenti-henti, sila ambil langkah berjaga-jaga & waspada. diharapkan ramalan ini tidak seteruk yang diramalkan, tetapi jika ramalan ini betul, harap info ini dapat membantu kepada persediaan yang lebih awal. ramalan & sumber ini diperolehi dari seorang staff jabatan ramalan kaji cuaca.

Friday, December 9, 2011

SERUMAH TAPI TAK SEHALUAN

Mmmmm...inilah perangai orang..bila ditegur melenting,tak ditegur melebih-lebih. Kadang2 sikap ini membuatkan rasa mual itu menjadi-jadi. Bukan apa tapi membaca pada kenyataan masing2, jelas menunjukkan ketidak sefahaman itu sangat ketara.

Pasti ramai yg terbaca tentang percakaran ini. Kenyataan pertama oleh si A telah di jawab oleh si B. lalu atas ketidakan senangan oleh si A, sekali lagi, dia membuat kenyataan dgn menyatakan cabaran utk dijawab oleh si B. ok...kita tunggu saja apa jawapan si B..

Yang pasti, perkara ini menjadi perhatian pihak2 tertentu, yang sentiasa mencari peluang untuk menjadi pilihan ketiga. Nahhh....apa sudah jadi?...dimana sudah tu janji2 untuk mahu berkerjasama tanpa sebarang prasangka. Kerapuhan kerjasama ini jelas menunjukkan kelemahan dalam ikatan perjanjian.

Kenapa mesti lantang menyuarakan sesuatu yang boleh merosakkan kerjasama?. Kenapa tidak dibawa dalam satu perbincangan agar ia tidak mengaibkan mana2 pihak. Susah sangatkah untuk berkumpul dan bersemuka?. Atau memang sudah jadi maksud untuk berdiri bercakap dan mengaku saya lebih baik daripada sesiapa pun?...hahahaha...lucu..

Pemimpin apa seperti kamu?...belum lagi mendapat tempat sudah menunjukkan sifat yang akan menyakitkan hati semua orang. Apakah tidak ada satu latihan khusus yang kmu berdua sertai?. Latihan kepimpinankah...cuba2lah bersikap seperti orang biasa yang sentiasa peka tapi menilai dahulu baru bersuara. Rasanya sikap kamu berdua ini akan menimbul persepsi yang tidak baik di kalangan orang2 disini.

Adalah lebih baik kamu berdua berusaha memantapkan bahagian masing2 untuk akan datang. Manalah tau, kmu semua masih kekal di tempat kmu... dan jgn pula salahkan org lain bila kmu semua mengalami kekalahan....

Wednesday, December 7, 2011

DIPENGHUJUNG 2011

Pasti ramai yang tahu bila saja berada di ambang akhir tahun dan awal tahun baru, daerah Kota Marudu akan mengalami banjir. Jumlah hujan yang diterima tidak mampu diserap oleh hutan di kawasan bukit lantaran kerasukan orang-orang terdahulu melenyapkan hutan itu. Akibatnya, keadaan sekarang di alami. Kalau lah penebangan ini berjaya dikawal pasti kawasan ini tidak akan mengalami baniir. Tidak dinafikan yang, kawasan ini sering dinaiki air dari dulu lagi namun ia bukanlah satu alasan untuk mencari penyelesaian yang jitu.

Kerancakan pembanguanan juga boleh menjadi salah satu penyebab kenapa banjir ini sering dialami dan makin kerap. Kealpaan para pemaju untuk menyediakan parit atau longkang, menjadikan air sering terkumpul. Ketegasan pihak yang berkenaan untuk memastikan setiap parit dan longkang itu mencukupi adalah amat diperlukan.

Suka atau tidak, hakikatnya terpaksa diterima. Keadaan ini pastikan berterusan selagi tidak ada perancangan khusus dari pihak pentadbir Daerah untuk mempastikan semua bentuk pembangunan memenuhi keriteria yang ditetapkan. Selain itu, kerjasama dari semua pihak juga amat perlu. Tidak perlulah menunding tempat lain. Sama-sama berkerja demi Kota Marudu.

Monday, November 28, 2011

TAHNIAH!! DR.HAJI JANATHAN KANDOK

 

NEW SABAH TIMES: Acting Sabah Customs Director Janathan Kandok @ Janathan Binbang receiving his PhD in Creative Art From the Governor. He is the most senior Customs officer in Malaysia with Phd. The main focus of his research was on 'sudait' and its relations to belief, education and the Kadazandusun people's world view. The 54-years -old from Kota Marudu also holds a Masters degree in Education, Training and Development from Hull University in UK and a Degree in Management and Finance from Walsh University in the U.S. In 2000, he won the Sastera Perdana Menteri" award.. CONGRATULATIONS!! Dr.Haji Janathan Kandok... We proud of you...

Wednesday, May 18, 2011

TESTING

layout blog ini akan bertukar dari semasa ke semasa..harap maklum

Tuesday, May 17, 2011


LILIN MEMBAKAR DIRI
(Buat semua insan bergelar guru)

Tika kelibat neon menerangi laluan
anak-anak kota alpa kegembiraan
anak di desa terpegun kehairanan
lilin setia  mula dilupa-lupakan
dicampak jauh dari sumur kehidupan
diperkotak-katik sebagai arkitek kemanusiaan
terpinggir sendirian di gubuk penghinaan
berteman sunyi berpanjangan.

Ketika bahtera nusa tersesat arah haluan
kemudi patah terlepas dari buritan
perut terburai oleh tusuk persengketaan
layar terkoyak dibadai racun permusuhan
lalu nakhoda  kehilangan kompas kekuasaan
dirampas oleh  amuk lanun perpecahan
engkau dipanggil menyulam koyak perpaduan
engkau diseru mencanang seruan persahabatan
engkau dirayu mengubati luka perpecahan
engkau dituntut menyebar salam persaudaraan
kerana mereka tahu
engkau kental menyahut cabaran
ke mana pun engkau patuh arahan
ke pulau, juga di rimba pedalaman
jejak kehidupan engkau corakkan
dengan warna-warni senyum kejayaan
hingga  terpancar cahaya berkilauan
di wajah masyarakat yang kau tinggalkan
sedang engkau masih bergelumang perit kesakitan
membakar diri menerangi kehidupan
insan-insan yang dahaga kesempurnaan..

Hari ini
mereka canang mahkota pengiktirafan
pentauliahan atas tiap pengorbanan
yang kau curah atas nama kesempurnaan
untuk sebuah kehidupan yang mapan
namun, itu semua bukanlah jawapan
untuk menghilangkan parut kepayahan
yang kau lalui sepanjang jalan perjuangan
untuk menobat pembangunan tiap insan

Aku tahu apa yang kau impikan
kemenjadian insan di laman kehidupan.

HANAFIAH MZ
SULAMAN
16 Mei 2011







Monday, April 25, 2011

NOTICE FROM ADMIN

THIS BLOG IS UNDER MAINTAINENCE.....IT SHALL BE BACK UP WITHIN 1 WEEKS.

Thursday, April 21, 2011

PUISI - BAYU PERPADUAN

BAYU PERPADUAN Wahai kawan kita pernah berganding tangan menyemai senyum di taman impian benih muafakat semangat kesetiaan kau baja dengan keringat persaudaraan kau pagari dengan kota kesepakatan tiang-tiang yang kau pacak utuh megah berdiri segak teguh unggul tegak lasak menunjangi taman hati. Tiang yang kau namakan PASAK kayu terpilih jati diri tak lapuk dalam sehari tak lekang walau berzaman unggul menyahut cabaran. Wahai kawan taman indah setiakawan pesonanya melimpasi awan di cakrawala ia gemerlapan subur rimbun bintang harapan walau kilaunya mempersonakan dongak ke langit terkehel perasaan mengadu domba menyala permusuhan tak mahu memijak bumi persahabatan. Wahai kawan kita di laman kedewasaan pengalaman kematangan jadi pegangan interaksi, komunikasi kita suburkan mesej diteliti butiran diamati perasaan diawasi, lisan dikuliti kerana yang datang perlu ditimbang-timbang kadang betul senyum memantul kadang curang mengundang berang kadang mata lebih dipercayaai walau tidak berkata-kata lari bila dusta dicerna tak mahu menganjur sengketa. Wahai kawan tabahlah menghadapi dugaan kerana kita adalah bumbung harapan pada anak-anak yang kehausan yang giat mengumpul bekal kehidupan. Wahai kawan cekallah menempuh cabaran laluilah onak kehidupan dengan mahabah pada tiap insan moga jalan mu lurus ke arah tujuan berselimut desiran bayu perpaduan. HANAFIAH MZ SULAMAN Utusan Borneo, 20 Mac 2011.

Sunday, April 3, 2011

RAGAM RIMBA


RAGAM RIMBA

Yang berakar
mencengkam ke dasar hidup
menyedut mineral hayat
di kolam syafaat
membiarkan rumput bergelut
menutup ranjau reput
sehingga mentari luput
dibalik awan mendung
hingga terukir lohong kosong
di dasar bumi
dan gempa pun berbondong-bondong
merentap jantung.

Yang menjalar
pada dahan dan batang
ramah bertanya khabar
menumpahkan kasih sayang
mencengkam penuh sabar
tak sedar diri menumpang
lalu merimbun di puncak
hingga dedaun resah terdesak
nafas tersedak-sedak
pabila senyum mentari 
menyisih diri.

Yang melangit
melepaskan pucuk masing-masing
bersaing, sengit membingit
dunia sekeliling
dibiar hangus,hangit
tak ambil pusing
semak dan renek dibiar pening
hingga rentung ,kering dan garing
seperti melukut di tepi gantang
hanya mampu tersenyum sumbing.

Yang merimbun
mendongak ke langit
lantai bumi dibiar pegun
hidup  tersepit

HANAFIAH MZ
SULAMAN
Utusan Borneo,03/04/2011. hal.B5


Monday, March 14, 2011

Berita Harian Online | Kota Marudu banjir buat kali kedua

2011/03/14

BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman  mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini, buat kali keduanya dilanda banjir dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,869 penduduk daripada 617 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, kelmarin. Sehingga semalam, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara dibuka termasuk Dewan Tonsom, Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkongan, SK Ranau, Dewan Serbaguna Tandek dan Dewan Marudu Darat berikutan banjir di 25 kampung akibat hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Sandreygo Salleh, berkata penduduk terbabit mula dipindahkan pada Jumaat lalu hingga kelmarin secara berperingkat.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kita sentiasa memantau keadaan banjir di daerah ini. Paras air Sungai Bandau dan Sungai Bongkon juga kembali di tahap normal. “Setakat ini, kita sentiasa memantau kerana keadaan cuaca tidak menentu sekarang, malah mangsa banjir juga belum dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam. Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut melawat kampung yang terbabit dengan banjir, kelmarin. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut mendengar taklimat banjir oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Luvita Koisun, di bilik pengurusan bencana banjir di Kota Marudu. Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan bencana banjir sedang berusaha memastikan keselamatan penduduk yang terbabit termasuk mengurangkan kerosakan harta benda. “Kita juga mengalu-alukan bantuan makanan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir dan mereka yang mahu berbuat demikian boleh menghubungi pejabat daerah Kota Marudu,” katanya.

BANJIR MELANDA KOTA MARUDU

Gambar-gambar ini diambil pada petang 12.03.2011 di mana Kota Marudu mula dinaiki air.. Kejadian banjir kali ini dikatakan adalah yang paling besar di mana banyak kampung ditenggelami banjir dan ada mangsa hanyut dilaporkan di Langkon..

Sunday, March 13, 2011

anak kera di hutan disusui anak di rumah mati kebuluran

Kota marudu dilanda bencana banjir lagi dan kali ini agak teruk berbanding dengan banjir yang melanda awal bulan Febuari 2011. Untuk makluman, banjir yang melanda pada masa ini merupakan banjir gelombang kedua, selepas banjir petang semalam surut dan seperti yang kita sedia maklum, banjir gelombang kedua biasanya lebih teruk. Ya, memang tepat sekali, memang teruk. Tetapi apa yang ingin saya katakan dalam nota ini bukan tentang teruknya banjir yang melanda tetapi lebih kepada teruknya pengurusan pihak berwajib dalam usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Saya ingin menyunting situasi yang dihadapi oleh beberapa orang sepupu saya yang tinggal di Perumahan Kuranji, Kota Marudu dan situasi atau masalah mereka ini dipanjangkan sebagai topik perbincangan atau lebih sesuai dipanggil luahan oleh kakak mereka dalam wall FBnya.

Melalui luahan tersebut, sepupu-sepupu ini sudah beberapa kali menghubungi pusat gerakan banjir tetapi malangnya jawapan yang diberikan langsung tidak membantu meringankan kebimbangan sebaliknya turut memberikan alasan bahawa mereka tidak cukup kakitangan untuk dikerahkan ke tempat yang terjejas dan juga kekurangan peralatan. Malah lebih menyedihkan lagi mangsa banjir diminta menunggu sahaja. Ya, memang akan menunggu, kalau tidak menunggu, apa lagi yang boleh dilakukan? Kalau ada bot sendiri tidak payah susah payah meminta pertolongan mereka.

Saya bukannya berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Cuma sedikit terkilan dengan jawapan yang diberikan.

Jabatan metrology telah pun mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Jingga di bebarapa kawasan Negeri Sabah termasuklah daerah kota marudu, dan sepatutnya antara pihak yang lebih dulu mengambil langkah drastik ialah jabatan-jabatan penyelamat serta pusat gerakan banjir dimana mereka perlu memperlengkapkan jentera mereka sama ada dari segi kakitangan dan juga peralatan. Tetapi kenapa masih didengar jawapan atau lebih layak dipanggil alasan begitu?

Mungkin juga ada sebahagian kita akan mempersoalkan kenapa mangsa yang terlibat tidak berpindah sahaja lebih awal sebelum banjir lebih teruk, kenapa tidak berdikari dalam hal keselamatan masing-masing, kenapa terlalu mengharapkan bantuan pasukan penyelamat? Ada juga yang menyamakan mereka ini seperti budak yang sentiasa mahu disuap.

Adakah mereka layak kita panggil dungu,?

Tetapi saya ingin mengajukan persoalan berikut?

Seberapa pantaskah pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Kota Marudu? Adakah selepas amaran hujan peringkat jingga itu dikeluarkan, maka pusat pemindahan banjir pun dibuka? Ataukah, selepas 1 malam hujan tidak berhenti turun? Bila?

Terdapat juga yang menyarankan agar terus pergi ke Dewan Komuniti Kota Marudu kerana dewan tersebut sentiasa menerima mangsa banjir. Ya, cadangan yang baik.

Tetapi untuk itu saya ingin mengajukan persoalan ini.

Bagaimana hendak ke sana? Berenang kuak lentang?

Tahukah kita dimana kedudukan perumahan Kuranji? Kawasan ini merupakan antara kawasan yang paling teruk sekali sekiranya banjir datang dan saya sangat yakin tidak ada kenderaan yang sanggup masuk ke kawasan tersebut semata-mata untuk menyelamatkan dan seterusnya menghantar mangsa banjir ke Dewan Komuniti Kota Marudu.

Rasanya tidak ada pilihan yang rasional selain dari menghubungi dan menunggu pasukan penyelamat datang “menyelamat”.

Bagaimana pula dengan makan dan minum mangsa? Seberapa pantas bantuan makanan dan minuman akan disalurkan kepada mangsa yang pergi ke Dewan tersebut sekiranya mereka berpindah terlalu awal?

Ataukah nanti ada lagi cakap-cakap sindiran yang berbunyi, tanggung sendiri lah, itupun mau harap ehsan kebajikankah? Tidak mustahil dan saya percaya saluran bantuan makan pasti lambat sampai. Sedangkan bot penyelamat tidak sampai, apakah lagi bantuan makanan yang jelas sekali memerlukan ongkos.

Atau juga ada cakap-cakap seperti ini- syukurlah bah selamat, tidak makan pun tidak apa. Terfikirkah kita pada anak-anak kecil yang turut bersama?

Memang dalam suasana seperti banjir, kita tidak layak dilayan seperti artis bertaraf dunia tetapi apa maknanya kita mempunyai agensi-agensi kebajikan sekiranya mereka tidak dapat memberikan kebajikan yang sepatutnya kepada mereka yang memerlukannya.

Kenapa bila ada bencana alam yang melanda tempat lain –negara lain seperti kita berlumba-lumba menghantar bantuan tetapi bila bencana melanda depan mata kita, banyak sangat alasan dan “songeh”. Benarkah kita ini seperti peribahasa anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kebuluran?

Jam 9.20 pagi tadi saya ada menghubungi sepupu saya yang terlibat dalam banjir di Perumahan Kuranji dan mereka tidak dipindahkan. Air pada malam tadi telah memcecah lantai rumah. Keadaan sekarang beransur pulih. Syukur alhamdulillah.

Kay Masingan

13/3/2011

Suara dari Pusat Pemindahan SK RANAU, Kota Marudu.

Info dari Pusat Pemindahan SK Ranau 12/03/2011 ~ Pusat pemindahan banjir SK Ranau dibuka pada waktu petang ketika air naik. dan setelah penduduk dipindahkan ke pusat ini, bantuan bekalan lambat tiba, menyebabkan ramai orang kelaparan. Salah satu kes yang berlaku semalam dimana, ada ahli keluarga dari JKKK Kg. Kandawayon Laut, mengambil kesempatan menjual kuih, yang mana harganya amat luar biasa. Pihak yang sama juga turut cuba menjual selimut, yang mana selimut yang dijual adalah yang hampir sama dengan bantuan sebelum ini yang diberikan secara percuma! Dan tidak dijangka juga, bahawa orang yang sama turut berbaris untuk mendapatkan bantuan selimut ketika bantuan dari kerajaan sampai di pusat. Makanan & minuman sampai di pusat dalam jam 1 pagi. 13/03/2011 - Bantuan makanan & minuman sebelah pagi agak lambat, dan telah sampai pada lebih kurang jam 12 tadi. Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini melalui Jabatan Kebajikan amat diperlukan bagi mangsa-mangsa banjir yang kebanyakannya dari keluarga miskin. Terima Kasih dari penduduk yang dipindahkan kepada Puan D.O Kota Marudu, yang sangat prihatin dengan nasib penduduk yang dilanda banjir.

Tuesday, March 1, 2011

PUISI- SAPU TANGAN TANDA MATA





SAPU TANGAN TANDA MATA

Sapu tangan warna biru
ku sepuh kelarai rindu
pada puncak tiap bucu
ada baldu kasih ku.

Ku lipat sapu tangan
segi empat berpasangan
dua singahsana
putera gagah perkasa
puteri di anjung setia
mahligai indah bahagia.

Sapu tangan yang mekar
dalam senyap ku hantar
hatinya pasti bergetar
tanda tanya berhias debar.

Mata melirik manja
hati tertanya-tanya
siapa gerangan empunya
sapu tangan tanda mata.

Pabila mata bertemu
matanya terpaku ayu
lidah ku kelu membisu
terubat  rindu terbuku
riang menggebu-gebu
manisnya
ku bawa beradu.


HANAFIAH MZ
SULAMAN

(New Sabah Times, 01 Mac 2011)

Saturday, February 26, 2011

4WD SAM MARUDU BUAT KEJUTAN




(Team 4WD ditubuhkan sekitar 1 tahun lepas. Kian mantap).


(En. Josin, pengerusi 4WD: kami bertanding penuh keyakinan...)


(Kapten 4WD: berani kalah) Labuan, Sabtu: Team tarik tali 4WD Suara Anak Marudu membuat kejutan terbesar dalam Kejohanan Tarik Tali sempena Penutupan Hari Wilayah hari ini. 4WD telah mengalahkan beberapa pasukan lebih ternama dan berpengalaman seperti Perbadanan Pembangunan Brunei, Extreem (Penampang/KK), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Bagaimanapun, gelora kejutan ini berjaya disekat oleh Pasukan handalan Putrajaya di peringkat separuh akhir. Pasukan Putrajaya ini kemudiannya menjadi juara selepas menewaskan Kudat Power, satu lagi wakil dari Sabah. Saya selaku penasihat pasukan 4WD amat berpuas hati dengan pencapaian ini dan yakin bahawa 4WD SAM akan melakar lebih banyak kejayaan dalam masa terdekat. En. Sabli Ambang selaku ketua pasukan menyatakan bahawa mereka telah lama mengkaji corak serangan (tarikan) dan pertahanan kebanyakan pasukan yang bertanding. Kami hanya kekurangan pengalaman di peringkat nasional dan antarabangsa, katanya. Puan Luvita Koisun, Pegawai Daerah Kota Marudu turut terkejut dengan pencapaian cemerlang ini dan berharap pasukan 4WD terus mengharumkan nama daerah Kota Marudu. -"BERANI GAGAL - motto 4WD".

Friday, February 25, 2011

PUISI- CINTA DARJAH SATU





CINTA DARJAH SATU

Mengalir rindu di penjuru mata
lihat senyum  ranum menyala
mengalir rindu berbisik cinta
hati meronta rindu membara.

Bagaimana hendak ku mula
bagaimana hendak ku nyata
perdu cinta ku yang menyala
bergema di buana dada
gelombang membadai rasa
resah,  mahabah bersengketa
tak terungkap kata
tak lena semalaman
kenyang berpanjangan.

Hendak ku utus warkah
baru mengenal nokhta,
hendak ku rangkai madah
baru mengenal alif, ba, ta…

Ah…..
biar ku bubuh bedak asmara
pada kertas putih cinta
aroma cakrawala
lalu ku lipat penuh beradat
di penjuru yang empat
ku tiup kata makrifat
kemas,
walau tiada  bersifat
tiada madah terpahat
makrifat kasih ku tersemat
kasihnya ku tambat
ku ikat
rapat.

Kunpayakun.

HANAFIAH MZ
SULAMAN
23 FEB. 2011





Monday, February 21, 2011

PUISI- TAK KUNJUNG DAMAI



TAK KUNJUNG DAMAI

Tak akan runtuh gunung itu
wahai anjing
walau salak mu bertalu
bingit berdesing.

Tak akan jatuh musuh mu,
wahai anjing
kerana mahligai itu
di atas tiang ampuh
rumah utuh
keramat si kucing.

Tapi
aku kadang keliru
engkau lupa asal mu
haiwan terpelihara,
kelas dunia
di medan perang
engkau ternama
penjejak, pengintip utama
berjuang untuk negara
sedang si kucing
hanya tidur lena
di bantal selesa.

Tahukah engkau wahai anjing
tikus kadang tewaskan kucing
walau kecil,
akal ligat berpusing
menyusup dimalam hening
dari ranting ke ranting
tak tidur walau sepicing
tidak bising-bising
meniti gelegar,
di bawah tikar
mahligai diselongkar
sedang kucing
berdengkur,  
berselimut gebar lena.

Tahukah engkau wahai anjing
anai-anai yang kecil
buat tiang musykil,
mahligai  pasti menggigil
saat itu
kucing pasti tersingkir
jatuh ke bumi
dan engkau pasti mahu
melakukan
larian akhir.

Tak akan runtuh gunung itu
wahai anjing
walau salak mu bertalu
bingit berdesing.

HANAFIAH MZ
SULAMAN

Sunday, February 13, 2011

BUKAN ITU


BUKAN ITU
(New Sabah Times,01.02.2011)

Tanpa segan dan malu
mereka rakus memburu
kepercayaan dan kesetiaan
dijadikan sasaran
peluru dihambur
habis-habisan
hingga kering lautan
kontang daratan

Di medan pertempuran
kesopanan keciciran
kesusilaan dipinggiran
tidak sedikitpun  dicanangkan
keharmonian
melainkan demonstrasi jalanan
caci maki bertaburan
subur mekar bergelandangan
hingga rakyat bertempiaran
sukar membuat pilihan
siapa berhak dimuliakan
sebagai nakhoda kehidupan.

Bukan itu yang kita mahu
tika mengikat janji dahulu
kita ingin, janji yang terakru
dipasang sumbu,
supaya nyalanya membiru
menerangi hampar harapan
yang memuliakan
sesama insan.

HANAFIAH MZ
TUARAN

Saturday, February 12, 2011

ISU HANGAT DI MARUDU KINI?

Berbagai lontaran pandangan dikemukakan oleh anak-anak watan Marudu. Pro dan kontra. Halus dan kasar.


Layari facebook saya "ANDROD SADIAN" untuk mengikuti kisah selanjutnya. Terima kasih. -"Rakyat dikasihi, Pemimpin dirahmati".

Friday, February 11, 2011

LUAR BANDAR DAPAT APA?

Dalam banyak aspek komuniti luar bandar selalu ketinggalan. Apakah kerana mereka wajar ditinggal-tinggalkan?


(Komen penulis di laman facebook beliau ttg insentif kepada sekolah cemerlang. Berapa buah sekolah luar bandar dan pedalaman mendapat insentif ini?)


Diharap pihak kerajaan beri fokus lebih termasuk input-input pembangunan yang lebih bersepadu untuk mencapai PEMBANGUNAN KOMUNITI LUAR BANDAR. Kasihanilah dan hormatilah hak-hak mereka. Mereka juga warganegara dan mereka juga ada hak-hak yang sama. -"Rakyat dikasihi, Pemimpin dirahmati".

Sunday, February 6, 2011

SAAT MENGHULUR SALAM




SAAT MENGHULUR SALAM

Saat ini
bukan masa membuang pandang
bukan sakit  mahu dikenang
bukan dendam mahu ditimang
bukan  cemuh  perlu dikarang
bukan meroboh jambatan usang.

Saat ini
masa untuk tegakkan azam
tiang muafakat padu ditanam
lantai sepakat baris disulam
dinding kerabat cantik diandam
tangan berjabat erat digenggam.

Saat ini
aman sentosa, tenang dicanang
berat dipikul sama dijulang
ringan dijinjing sama disandang
hasil dituai sama dibilang
rugi dikenang sama dipandang
susah bergunung sama dicincang
musuh datang sama diganyang.

Saat ini
masa untuk tegakkan azam
tiang muafakat padu ditanam
tangan berjabat menghulur salam.

HANAFIAH MZ
TUARAN.

Utusan Borneo
06/02/2011
 

Wednesday, February 2, 2011

Zon Tandek dilanda banjir 29/01/2011

KG. Masin-Asin, KG. Balijung dan KG. Liabas

Banjir Kota Marudu. 30/01/2011

PEKAN LAMA KM
KG. TAMBUN KM
JALAN TANDEK / PITAS
JALAN TANDEK/PITAS
SIMPANG 4 POPOK KM

Banjir Di Kota Marudu 2011

BANJIR MARUDU REDA

KOTA MARUDU, SABAH, RABU: Banjir yang berlaku bermula Jumaat lepas (28.1.2011) telah reda dan mangsa yang terlibat banjir telah kembali pulang ke rumah masing-masing bermula kelmarin (1.2.2011). Semua jalan-jalan utama sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. Bagaimanapun air sungai masih diparas bahaya dan jika berlaku hujan lebat berterusan, kemungkinan besar banjir boleh berlaku lagi.





(Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan SMK Tandek. Tarikh:31.1.2011). Berbeza tahun lepas, tahun ini pihak SAM belum berupaya menyalurkan sumbangan kerana sebagai badan NGO pihak kami menghadapi masalah dana. Setakat ini pihak SAM sedang berusaha mendapatkan sumbangan ikhlas dari beberapa persatuan dan orang perseorangan. Apabila telah sumbangan daripada pihak yang berkenaan telah diterima, pihak SAM akan segera menyalurkan kepada keluarga miskin yang terjejas banjir. -"MUSIBAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA"

Monday, January 31, 2011

Mangsa Banjir Terbela

TANDEK, KOTA MARUDU, ISNIN: Tinjauan di pusat-pusat pemindahan banjir mendapati mangsa-mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya terutama dari aspek makan-minum dan kunjungan para pemimpin.








Mangsa-mangsa banjir hanya merungut tentang aspek sanitasi (tandas) dan kekurangan pakaian serta selimut. Ini mungkin disebabkan oleh kesilapan mereka sendiri yang kurang persiapan ekoran kejadian banjir secara mengejut. Saya bagi pihak SAM yang berkesempatan bersua dengan para pemimpin setempat telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan di pusat-pusat pemindahan banjir. Mudah-mudahan mangsa-mangsa banjir lebih berpuas hati pada masa-masa akan datang.

Sunday, January 30, 2011

USAH MENANGIS



USAH MENANGIS
(Utusan Borneo, 23/01/2011)

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis
awan mu kian merintih
curah menitis
sejuk panas silih berganti
resah meniti
kelak hujan membasahi  kami
langkah terkunci
jika bah datang lagi
menyulam rintih.

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis
jika resah mu melewati
basahlah diri
sawah ladang digenangi
bukan sehari
kerbau kambing menjerit
sakit terhimpit
derita, penyakit
bukan sedikit.

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis
tempias mu membasahi kami
tak mampu ditangkis
akan kami usul resolusi
aku janji
menjaga mu tulus dan suci
sepenuh hati.

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis
hutan kami pulihara
tumbuh melata
pokok merimbun tinggi
gagah berseri
rimbun tenang redup
bumi ditutup
kera beruk girang
memanjat riang.

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis
pantai kami hias
bakau berbaris
bukit kami litupi
pokok berdiri
sungai kami rawati
penuh teliti.

Sudah-sudahlah bumi
usah menangis.


HANAFIAH MZ
KOTA MARUDU