SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Monday, March 14, 2011

Berita Harian Online | Kota Marudu banjir buat kali kedua

2011/03/14

BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman  mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini, buat kali keduanya dilanda banjir dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,869 penduduk daripada 617 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, kelmarin. Sehingga semalam, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara dibuka termasuk Dewan Tonsom, Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkongan, SK Ranau, Dewan Serbaguna Tandek dan Dewan Marudu Darat berikutan banjir di 25 kampung akibat hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Sandreygo Salleh, berkata penduduk terbabit mula dipindahkan pada Jumaat lalu hingga kelmarin secara berperingkat.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kita sentiasa memantau keadaan banjir di daerah ini. Paras air Sungai Bandau dan Sungai Bongkon juga kembali di tahap normal. “Setakat ini, kita sentiasa memantau kerana keadaan cuaca tidak menentu sekarang, malah mangsa banjir juga belum dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam. Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut melawat kampung yang terbabit dengan banjir, kelmarin. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut mendengar taklimat banjir oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Luvita Koisun, di bilik pengurusan bencana banjir di Kota Marudu. Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan bencana banjir sedang berusaha memastikan keselamatan penduduk yang terbabit termasuk mengurangkan kerosakan harta benda. “Kita juga mengalu-alukan bantuan makanan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir dan mereka yang mahu berbuat demikian boleh menghubungi pejabat daerah Kota Marudu,” katanya.

BANJIR MELANDA KOTA MARUDU

Gambar-gambar ini diambil pada petang 12.03.2011 di mana Kota Marudu mula dinaiki air.. Kejadian banjir kali ini dikatakan adalah yang paling besar di mana banyak kampung ditenggelami banjir dan ada mangsa hanyut dilaporkan di Langkon..

Sunday, March 13, 2011

anak kera di hutan disusui anak di rumah mati kebuluran

Kota marudu dilanda bencana banjir lagi dan kali ini agak teruk berbanding dengan banjir yang melanda awal bulan Febuari 2011. Untuk makluman, banjir yang melanda pada masa ini merupakan banjir gelombang kedua, selepas banjir petang semalam surut dan seperti yang kita sedia maklum, banjir gelombang kedua biasanya lebih teruk. Ya, memang tepat sekali, memang teruk. Tetapi apa yang ingin saya katakan dalam nota ini bukan tentang teruknya banjir yang melanda tetapi lebih kepada teruknya pengurusan pihak berwajib dalam usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Saya ingin menyunting situasi yang dihadapi oleh beberapa orang sepupu saya yang tinggal di Perumahan Kuranji, Kota Marudu dan situasi atau masalah mereka ini dipanjangkan sebagai topik perbincangan atau lebih sesuai dipanggil luahan oleh kakak mereka dalam wall FBnya.

Melalui luahan tersebut, sepupu-sepupu ini sudah beberapa kali menghubungi pusat gerakan banjir tetapi malangnya jawapan yang diberikan langsung tidak membantu meringankan kebimbangan sebaliknya turut memberikan alasan bahawa mereka tidak cukup kakitangan untuk dikerahkan ke tempat yang terjejas dan juga kekurangan peralatan. Malah lebih menyedihkan lagi mangsa banjir diminta menunggu sahaja. Ya, memang akan menunggu, kalau tidak menunggu, apa lagi yang boleh dilakukan? Kalau ada bot sendiri tidak payah susah payah meminta pertolongan mereka.

Saya bukannya berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Cuma sedikit terkilan dengan jawapan yang diberikan.

Jabatan metrology telah pun mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Jingga di bebarapa kawasan Negeri Sabah termasuklah daerah kota marudu, dan sepatutnya antara pihak yang lebih dulu mengambil langkah drastik ialah jabatan-jabatan penyelamat serta pusat gerakan banjir dimana mereka perlu memperlengkapkan jentera mereka sama ada dari segi kakitangan dan juga peralatan. Tetapi kenapa masih didengar jawapan atau lebih layak dipanggil alasan begitu?

Mungkin juga ada sebahagian kita akan mempersoalkan kenapa mangsa yang terlibat tidak berpindah sahaja lebih awal sebelum banjir lebih teruk, kenapa tidak berdikari dalam hal keselamatan masing-masing, kenapa terlalu mengharapkan bantuan pasukan penyelamat? Ada juga yang menyamakan mereka ini seperti budak yang sentiasa mahu disuap.

Adakah mereka layak kita panggil dungu,?

Tetapi saya ingin mengajukan persoalan berikut?

Seberapa pantaskah pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Kota Marudu? Adakah selepas amaran hujan peringkat jingga itu dikeluarkan, maka pusat pemindahan banjir pun dibuka? Ataukah, selepas 1 malam hujan tidak berhenti turun? Bila?

Terdapat juga yang menyarankan agar terus pergi ke Dewan Komuniti Kota Marudu kerana dewan tersebut sentiasa menerima mangsa banjir. Ya, cadangan yang baik.

Tetapi untuk itu saya ingin mengajukan persoalan ini.

Bagaimana hendak ke sana? Berenang kuak lentang?

Tahukah kita dimana kedudukan perumahan Kuranji? Kawasan ini merupakan antara kawasan yang paling teruk sekali sekiranya banjir datang dan saya sangat yakin tidak ada kenderaan yang sanggup masuk ke kawasan tersebut semata-mata untuk menyelamatkan dan seterusnya menghantar mangsa banjir ke Dewan Komuniti Kota Marudu.

Rasanya tidak ada pilihan yang rasional selain dari menghubungi dan menunggu pasukan penyelamat datang “menyelamat”.

Bagaimana pula dengan makan dan minum mangsa? Seberapa pantas bantuan makanan dan minuman akan disalurkan kepada mangsa yang pergi ke Dewan tersebut sekiranya mereka berpindah terlalu awal?

Ataukah nanti ada lagi cakap-cakap sindiran yang berbunyi, tanggung sendiri lah, itupun mau harap ehsan kebajikankah? Tidak mustahil dan saya percaya saluran bantuan makan pasti lambat sampai. Sedangkan bot penyelamat tidak sampai, apakah lagi bantuan makanan yang jelas sekali memerlukan ongkos.

Atau juga ada cakap-cakap seperti ini- syukurlah bah selamat, tidak makan pun tidak apa. Terfikirkah kita pada anak-anak kecil yang turut bersama?

Memang dalam suasana seperti banjir, kita tidak layak dilayan seperti artis bertaraf dunia tetapi apa maknanya kita mempunyai agensi-agensi kebajikan sekiranya mereka tidak dapat memberikan kebajikan yang sepatutnya kepada mereka yang memerlukannya.

Kenapa bila ada bencana alam yang melanda tempat lain –negara lain seperti kita berlumba-lumba menghantar bantuan tetapi bila bencana melanda depan mata kita, banyak sangat alasan dan “songeh”. Benarkah kita ini seperti peribahasa anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kebuluran?

Jam 9.20 pagi tadi saya ada menghubungi sepupu saya yang terlibat dalam banjir di Perumahan Kuranji dan mereka tidak dipindahkan. Air pada malam tadi telah memcecah lantai rumah. Keadaan sekarang beransur pulih. Syukur alhamdulillah.

Kay Masingan

13/3/2011

Suara dari Pusat Pemindahan SK RANAU, Kota Marudu.

Info dari Pusat Pemindahan SK Ranau 12/03/2011 ~ Pusat pemindahan banjir SK Ranau dibuka pada waktu petang ketika air naik. dan setelah penduduk dipindahkan ke pusat ini, bantuan bekalan lambat tiba, menyebabkan ramai orang kelaparan. Salah satu kes yang berlaku semalam dimana, ada ahli keluarga dari JKKK Kg. Kandawayon Laut, mengambil kesempatan menjual kuih, yang mana harganya amat luar biasa. Pihak yang sama juga turut cuba menjual selimut, yang mana selimut yang dijual adalah yang hampir sama dengan bantuan sebelum ini yang diberikan secara percuma! Dan tidak dijangka juga, bahawa orang yang sama turut berbaris untuk mendapatkan bantuan selimut ketika bantuan dari kerajaan sampai di pusat. Makanan & minuman sampai di pusat dalam jam 1 pagi. 13/03/2011 - Bantuan makanan & minuman sebelah pagi agak lambat, dan telah sampai pada lebih kurang jam 12 tadi. Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini melalui Jabatan Kebajikan amat diperlukan bagi mangsa-mangsa banjir yang kebanyakannya dari keluarga miskin. Terima Kasih dari penduduk yang dipindahkan kepada Puan D.O Kota Marudu, yang sangat prihatin dengan nasib penduduk yang dilanda banjir.

Tuesday, March 1, 2011

PUISI- SAPU TANGAN TANDA MATA





SAPU TANGAN TANDA MATA

Sapu tangan warna biru
ku sepuh kelarai rindu
pada puncak tiap bucu
ada baldu kasih ku.

Ku lipat sapu tangan
segi empat berpasangan
dua singahsana
putera gagah perkasa
puteri di anjung setia
mahligai indah bahagia.

Sapu tangan yang mekar
dalam senyap ku hantar
hatinya pasti bergetar
tanda tanya berhias debar.

Mata melirik manja
hati tertanya-tanya
siapa gerangan empunya
sapu tangan tanda mata.

Pabila mata bertemu
matanya terpaku ayu
lidah ku kelu membisu
terubat  rindu terbuku
riang menggebu-gebu
manisnya
ku bawa beradu.


HANAFIAH MZ
SULAMAN

(New Sabah Times, 01 Mac 2011)