SAM

SAM

Followers

Dengarkan Utara.FM - Macam Biasa Juga Bah

Sunday, March 13, 2011

anak kera di hutan disusui anak di rumah mati kebuluran

Kota marudu dilanda bencana banjir lagi dan kali ini agak teruk berbanding dengan banjir yang melanda awal bulan Febuari 2011. Untuk makluman, banjir yang melanda pada masa ini merupakan banjir gelombang kedua, selepas banjir petang semalam surut dan seperti yang kita sedia maklum, banjir gelombang kedua biasanya lebih teruk. Ya, memang tepat sekali, memang teruk. Tetapi apa yang ingin saya katakan dalam nota ini bukan tentang teruknya banjir yang melanda tetapi lebih kepada teruknya pengurusan pihak berwajib dalam usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

Saya ingin menyunting situasi yang dihadapi oleh beberapa orang sepupu saya yang tinggal di Perumahan Kuranji, Kota Marudu dan situasi atau masalah mereka ini dipanjangkan sebagai topik perbincangan atau lebih sesuai dipanggil luahan oleh kakak mereka dalam wall FBnya.

Melalui luahan tersebut, sepupu-sepupu ini sudah beberapa kali menghubungi pusat gerakan banjir tetapi malangnya jawapan yang diberikan langsung tidak membantu meringankan kebimbangan sebaliknya turut memberikan alasan bahawa mereka tidak cukup kakitangan untuk dikerahkan ke tempat yang terjejas dan juga kekurangan peralatan. Malah lebih menyedihkan lagi mangsa banjir diminta menunggu sahaja. Ya, memang akan menunggu, kalau tidak menunggu, apa lagi yang boleh dilakukan? Kalau ada bot sendiri tidak payah susah payah meminta pertolongan mereka.

Saya bukannya berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak. Cuma sedikit terkilan dengan jawapan yang diberikan.

Jabatan metrology telah pun mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat Jingga di bebarapa kawasan Negeri Sabah termasuklah daerah kota marudu, dan sepatutnya antara pihak yang lebih dulu mengambil langkah drastik ialah jabatan-jabatan penyelamat serta pusat gerakan banjir dimana mereka perlu memperlengkapkan jentera mereka sama ada dari segi kakitangan dan juga peralatan. Tetapi kenapa masih didengar jawapan atau lebih layak dipanggil alasan begitu?

Mungkin juga ada sebahagian kita akan mempersoalkan kenapa mangsa yang terlibat tidak berpindah sahaja lebih awal sebelum banjir lebih teruk, kenapa tidak berdikari dalam hal keselamatan masing-masing, kenapa terlalu mengharapkan bantuan pasukan penyelamat? Ada juga yang menyamakan mereka ini seperti budak yang sentiasa mahu disuap.

Adakah mereka layak kita panggil dungu,?

Tetapi saya ingin mengajukan persoalan berikut?

Seberapa pantaskah pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Kota Marudu? Adakah selepas amaran hujan peringkat jingga itu dikeluarkan, maka pusat pemindahan banjir pun dibuka? Ataukah, selepas 1 malam hujan tidak berhenti turun? Bila?

Terdapat juga yang menyarankan agar terus pergi ke Dewan Komuniti Kota Marudu kerana dewan tersebut sentiasa menerima mangsa banjir. Ya, cadangan yang baik.

Tetapi untuk itu saya ingin mengajukan persoalan ini.

Bagaimana hendak ke sana? Berenang kuak lentang?

Tahukah kita dimana kedudukan perumahan Kuranji? Kawasan ini merupakan antara kawasan yang paling teruk sekali sekiranya banjir datang dan saya sangat yakin tidak ada kenderaan yang sanggup masuk ke kawasan tersebut semata-mata untuk menyelamatkan dan seterusnya menghantar mangsa banjir ke Dewan Komuniti Kota Marudu.

Rasanya tidak ada pilihan yang rasional selain dari menghubungi dan menunggu pasukan penyelamat datang “menyelamat”.

Bagaimana pula dengan makan dan minum mangsa? Seberapa pantas bantuan makanan dan minuman akan disalurkan kepada mangsa yang pergi ke Dewan tersebut sekiranya mereka berpindah terlalu awal?

Ataukah nanti ada lagi cakap-cakap sindiran yang berbunyi, tanggung sendiri lah, itupun mau harap ehsan kebajikankah? Tidak mustahil dan saya percaya saluran bantuan makan pasti lambat sampai. Sedangkan bot penyelamat tidak sampai, apakah lagi bantuan makanan yang jelas sekali memerlukan ongkos.

Atau juga ada cakap-cakap seperti ini- syukurlah bah selamat, tidak makan pun tidak apa. Terfikirkah kita pada anak-anak kecil yang turut bersama?

Memang dalam suasana seperti banjir, kita tidak layak dilayan seperti artis bertaraf dunia tetapi apa maknanya kita mempunyai agensi-agensi kebajikan sekiranya mereka tidak dapat memberikan kebajikan yang sepatutnya kepada mereka yang memerlukannya.

Kenapa bila ada bencana alam yang melanda tempat lain –negara lain seperti kita berlumba-lumba menghantar bantuan tetapi bila bencana melanda depan mata kita, banyak sangat alasan dan “songeh”. Benarkah kita ini seperti peribahasa anak kera di hutan disusui, anak di rumah mati kebuluran?

Jam 9.20 pagi tadi saya ada menghubungi sepupu saya yang terlibat dalam banjir di Perumahan Kuranji dan mereka tidak dipindahkan. Air pada malam tadi telah memcecah lantai rumah. Keadaan sekarang beransur pulih. Syukur alhamdulillah.

Kay Masingan

13/3/2011

1 comment:

Anonymous said...

adehhhh...kasian betul mangsa di situ.kira mau tanya ba dimana itu "rakyat didahulukan"?